Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Empat filem pendek dilancarkan, papar semangat dan sumbangan rakyat S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Botol plastik terbuang yang 'pandai' berkata-kata bangkitkan semangat dan sifat mesra alam dalam diri seorang pemuda bagi menggalak lebih ramai untuk ikut serta. 

Pelik dan luar biasa, namun itulah watak utama dalam filem pendek berjudul 'Evi', arahan pengarah filem tempatan, Eysham Ali.

Beliau antara empat pengarah yang terpilih bagi menghasilkan filem pendek di bawah projek Singapura Bersama yang dilancarkan pada Selasa (19 Jul). 

"Saya rasa saat ini, lebih-lebih masa kini, dengan isu-isu sekitaran dan perubahan iklim, saya rasa kita perlu lebih sedar tentang bukan sahaja isu-isu yang berkenaan dengan kita tapi juga tentang langkah-langkah bagaimana kita sebagai individu boleh menjadi huraian kepada masalah," kata Eysham, 36 tahun yang sudah mula menceburi bidang perfileman sejak 2008.

Menerusi karya sepanjang 10 minit itu, penonton juga dapat saksikan bagaimana Dana Eko SG yang dilancarkan pada November 2020 oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) membantu seorang tukang kayu untuk mengubah perniagaannya menjadi lebih mampan.

Ia sebenarnya berdasarkan kisah syarikat Semula Pte Ltd - iaitu antara 105 individu dan pertubuhan yang telah meraih manfaat daripada dana tersebut.

Dengan dana tersebut, syarikat itu dapat mengguna semula sisa plastik menjadi bahan mentah untuk memperbaiki perabot dan banyak lagi.

Setakat Mac tahun ini, dana berjumlah S$6.6 juta itu sudahpun dimanfaatkan bagi usaha memastikan Singapura kekal mesra alam dan boleh didiami untuk generasi akan datang. 

Bagi projek ini, Eysham bekerja rapat dengan Semula Pte Ltd untuk memahami usaha mereka itu dan beliau berharap penonton akan tergerak untuk mengambil tindakan bagi kelestarian alam sekitar selepas menonton filemnya.

"Menerusi penceritaan, mereka (penonton) akan bertanyakan beberapa soalan kepada diri mereka tentang bagaimana mereka perlakukan bumi dan lihat bagaimana boleh melakukan lebih," tambah Eysham. 

DIILHAMKAN OLEH KISAH-KISAH SEBENAR

'Evi' adalah antara empat filem pendek yang dihasilkan sempena sambutan ulang tahun ketiga, gerakan Singapura Bersama. 

Tiga filem lain berjudul 'Never Too Late' oleh Vishali Panch, 'One Million Reasons' hasil arahan Sabrina Poon dan 'A Bridge' oleh Nicky Loh.

Kesemuanya diilhamkan daripada kisah-kisah benar yang mencerminkan sumbangan serta semangat rakyat Singapura untuk mencipta bersama dan melaksanakan idea-idea untuk membangunkan Singapura yang lebih baik.

Di samping menggalak sikap lebih mesra alam, isu-isu lain yang dikupas setiap filem termasuk menjadikan Singapura sebuah bandar yang mampan, sokongan untuk golongan susah dan mempertingkatkan golongan bergaji rendah.

Ia selaras dengan antara usaha yang diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan Perikatan untuk Bertindak (AfA) Singapura Bersama.

Semasa melancarkan filem-filem pendek itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah memuji mereka yang telah menyumbang kepada usaha-usaha ini.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, beliau berkongsi bahawa lebih 140,600 rakyat Singapura sudahpun bekerjasama menerusi 35 AfA yang dibentuk sejak tiga tahun lalu.

"AfA terdiri daripada individu-individu dari pelbagai latar belakang yang telah ke hadapan untuk berkongsi masa dan kepakaran mereka tentang isu-isu yang dekat di hati mereka. Sumbangan mereka dan ada sudah membuat perbezaan kepada masyarakat kita, dan menjadikan Singapura lebih prihatin, inklusif, adil dan mampan," kata Cik Indranee.

USAHA BANTU PEKERJA BERGAJI RENDAH DAPAT SAMBUTAN

Antara 160 projek yang sudah diusahakan melalui AfA ialah seperti yang dijalankan syarikat Solve n+1.

Di bawah AfA untuk Pekerja Bergaji Rendah (LWW), syarikat itu menghasilkan sebuah buku panduan untuk menyediakan ruang rehat yang mampan yang direka sama antara para pekerja dan majikan mereka. 

"Apabila kita bercakap tentang ruang-ruang rehat untuk pekerja bergaji rendah atau pekerja penting, kita bercakap tentang mengadakan tempat-tempat kondusif untuk  mereka berehat dan apabila bercakap tentang menyediakan ruang yang mereka boleh datang, ia dilengkapi dan mempunyai perabot dan betul-betul untuk mereka datang dan rehat, daripada pandangan orang awam," kata Encik Lewin Low, Konsultan Projek di Solve N+1.

Encik Low menambah, ideanya itu disambut baik oleh syarikat-syarikat dan pusat membeli-belah.

Dalam pada itu, Cik Indranee memberi ulasan tentang inisiatif Forward SG seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bulan lalu.

Beliau berkata pemerintah akan terus berusaha untuk memahami keprihatinan, wujudkan cara-cara baru untuk bekerjasama dan jadikan idea-idea menjadi usaha bersama.

"Kami menjangkakan proses ini untuk bawa perubahan kepada dasar dan dalam kerjasama baru dengan pihak berkepentingan untuk mereka dan melaksanakan perubahan-perubahan ini," kata Cik Indranee.

Beliau juga berharap siri filem pendek itu akan memberi inspirasi kepada setiap rakyat Singapura untuk tampil ke hadapan bagi menyertai usaha “Forward Singapore”  dan gerakan Singapura Bersama untuk bangunkan Singapura yang lebih baik bersama. 

Keempat-empat filem pendek itu boleh disaksikan menerusi lelaman Facebook, Instagram dan YouTube Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan