Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

EMAS terima tambahan 20 pelajar setahun dengan pembukaan pusat ke-4 di RI

Anggaran Waktu Membaca:
EMAS terima tambahan 20 pelajar setahun dengan pembukaan pusat ke-4 di RI

Program EMAS di Sekolah Menengah Anderson. (Gambar fail: Anis Qurratu'aini/Facebook)

SINGAPURA: Bermula tahun depan, satu program khas yang mengupaya pelajar menengah mempelajari bahasa dan budaya Melayu dengan lebih mendalam lagi, akan dibuka kepada sehingga 20 lagi pelajar.

Menteri Kedua Pendidikan (MOE) Dr Mohd Maliki Osman berkata, pihaknya bersedia menambah lagi tempat bagi pelajar menyertai program itu jika diperlukan.

Ini setelah Kementerian Pendidikan semalam (7 Mac) mengumumkan, sebuah lagi sekolah, iaitu Raffles Institution, akan dijadikan sebagai Pusat Program Elektif Bahasa Melayu Sekolah Menengah (EMAS).

Menerusi program 4 tahun itu, para pelajar boleh mengikuti pelbagai program pengayaan yang akan membolehkan mereka menggunakan Bahasa Melayu dalam wadah autentik - seperti simposium yang menggalak pemikiran kritis menerusi perbincangan isu-isu semasa.

Program itu juga memberikan pendedahan untuk mereka menghayati nilai-nilai budaya yang mendasari kesusasteraan Melayu.

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp selepas membahaskan peruntukan belanjawan kementeriannya di Parlimen pada Isnin (7 Mac), Dr Maliki menjelaskan bahawa program itu diperluaskan lagi kerana beliau yakin "ramai lagi" anak Melayu masih mahu menceburi bahasa dan budaya Melayu.

"Kita ingin mendapatkan satu generasi baru. Hari ini kita mempunyai tiga pusat EMAS dan kita yakin bahawa ada terdapat ramai lagi anak-anak Melayu kita yang ingin meningkatkan kemahiran mereka, menceburi bidang bahasa dan budaya dengan lebih mendalam lagi," terang Dr Maliki sambil menambah, lebih 2,000 pelajar sudah menyertai program itu sejak ia diperkenalkan pada 2001.

PELAJAR BUKAN DARI RI JUGA BOLEH DAFTARKAN DIRI

EMAS buat masa ini ditawarkan Sekolah Menengah Anderson, Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.

Sungguhpun demikian, EMAS dibuka kepada semua pelajar Bahasa Melayu Lanjutan walaupun mereka bukan dari sekolah-sekolah yang disebutkan. Ini bermakna, asalkan anda seorang pelajar Bahasa Melayu Lanjutan, anda boleh mendaftarkan diri untuk program yang ditawarkan Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Sekolah Menengah Anderson, Tanjong Katong dan tidak lama lagi, Raffles Institution.



Menurut Dr Maliki, sama seperti tiga pusat EMAS sedia ada, Raffles Institution dijangka menerima antara 10 hingga 20 pelajar - dari RI atau sekolah lain - bagi kohort pertamanya.

"Di pusat-pusat sedia ada hari ini, ada lebih kurang 10 hingga 20 pelajar dari setiap peringkat yang memasuki program EMAS ini. Kami harap yang sama juga dengan RI. Lebih daripada 10 ataupun 20. Kalau boleh lebih sikit. Kami bersedia, lebih ramai lebih baik kerana ia menunjukkan keinginan," tambah Dr Maliki.

MENGAPA RI DIPILIH JADI PUSAT EMAS?

Ditanya pula mengapa RI, sebuah institusi pendidikan yang ulung, dipilih sebagai Pusat EMAS, ini jawapan beliau:

"Sebab utamanya ialah RI mempunyai minat dan kebolehan dari segi struktur, dari segi kurikulum. Mereka juga mempunyai ‘critical mass’ (jumlah mencukupi). Apabila kita melancarkan sesebuah program kita perlu ‘critical mass’ untuk menjalankan program tersebut dan RI mempunyai bilangan para penuntut Melayu yang boleh dikatakan mencukupi untuk menjalankan program tersebut."

Dr Maliki juga berharap pembukaan Pusat EMAS di RI juga akan menarik lebih ramai pelajar Melayu untuk memasuki sekolah itu.

"Mungkin sebelum ini (ada) yang ingin memasuki RI tetapi (kerana sekolah itu) tidak mempunyai program EMAS, mereka memasuki sekolah lain yang mempunyai EMAS. Ini akan memberi peluang untuk mereka memasuki RI dan mengikuti program tersebut," katanya lagi.

Pendedahan menerusi EMAS pula diharap dapat memupuk minat dalam kalangan pelajar untuk menceburi bidang bahasa dan budaya dalam kerjaya mereka kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan