EMA siasat punca bekalan elektrik terputus seketika di Hougang
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan ia akan menyiasat punca bekalan elektrik terputus buat seketika yang menjejas beberapa kawasan di Hougang pada pagi Isnin (2 Jun).
Pengunjung Hougang RiverCourt duduk dalam keadaan bergelap semasa gangguan bekalan elektrik pada 2 Jun 2025. (Gambar: Facebook/August Gan)
Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, EMA menyatakan ia dimaklumkan bahawa bekalan elektrik di beberapa kawasan di Hougang terjejas pada kira-kira pukul 11.14 pagi, dan ia pulih sepenuhnya pada pukul 11.28 pagi.
"EMA mengambil serius sebarang insiden bekalan elektrik terputus dan akan menyiasat punca kejadian," menurut pihak berkuasa itu.
Pengendali grid SP Group sebelum ini mengesahkan dalam satu catatan Facebook bahawa beberapa kawasan Hougang terjejas oleh gangguan bekalan elektrik sementara yang berlarutan selama 14 minit.
"Para pegawai kami segera dikerahkan ke kawasan terjejas. Keutamaan kami adalah untuk memulihkan bekalan elektrik dengan selamat dan secepat mungkin," ia menambah.
"Mereka yang berada di bangunan komersial atau perindustrian mungkin perlu menetapkan semula rangkaian elektrik dalaman. Ini mungkin perlukan bantuan daripada pekerja elektrik berlesen yang dilantik."
SP Group menambah ia sedang menyiasat punca kejadian dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.
"Datang ke sini untuk makan di tempat berhawa dingin tetapi akhirnya berlaku gangguan bekalan elektrik... Panasnya sekarang," keluh seorang pengguna Facebook August Gan, yang berkata bahawa beliau telah berkunjung ke pusat beli-belah Hougang RiverCourt apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.
Menurut beberapa komen media sosial, beberapa pengguna juga mengadu gangguan bekalan elektrik turut menjejas beberapa kawasan di Sengkang seperti Rivervale Gardens.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.