Skip to main content

Singapura

EMA kaji piawai keselamatan bagi penggunaan hidrogen

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sedang mengkaji undang-undang, prasarana dan piawai keselamatan yang diperlukan untuk menggunakan hidrogen.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jan 2026 07:08PM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 06:26PM
SINGAPURA: Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sedang mengkaji undang-undang, prasarana dan piawai keselamatan yang diperlukan untuk menggunakan hidrogen.

Ia termasuk kod amalan bagi pengangkutan, penyimpanan dan penggunaannya.

Sementara itu, syarikat-syarikat janakuasa sudah mula menaik taraf kemudahan masing-masing bagi menggunakan bahan api baharu itu,yang dilihat sebagai satu kaedah utama ke arah mengurangkan pengeluaran karbon dan mempelbagaikan sumber tenaga.

Stesen Janakuasa Senoko adalah salah satu janakuasa paling besar di Singapura, yang sudah beroperasi selama hampir 50 tahun.

Ia menjalani pemeriksaan tahunan dan pembaharuan menyeluruh secara berkala.

Kini satu perubahan akan dilakukan. Dengan peralihan ke arah masa depan lebih bersih dan mesra alam, Singapura merancang mengimport hidrogen dari Malaysia, iaitu dengan menggunakan saluran paip sedia ada bagi menyalurkan 95 peratus gas asli dan 5 peratus hidrogen.

"Jika ia berjaya, kami boleh mengimport hidrogen lebih awal lagi berbanding yang lain," kata Ketua Divisyen Kejuruteraan, Penyenggaraan dan Operasi Senoko Energy, Marcus Tan.

Encik Tan berkata menggabungkan bahan api baharu seperti hidrogen ke dalam rangkaian gas sedia ada mungkin menimbulkan kebimbangan tentang aspek keselamatan.

Mengenai bilakah ia akan menjadi berdaya maju, Encik Tan berkata: "Saya akan kata mungkin dalam sedekad akan datang.

"Cabarannya adalah kami perlu menggunakan lebih banyak tenaga untuk menghasilkan hidrogen. Itu sebabnya ia lebih mahal."

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan ia sedia bertindak pantas jika teknologi hidrogen atau rangkaian bekalan global berkembang dengah lebih cepat daripada jangkaan.

Ini termasuk mengkaji undang-undang yang diperlukan untuk menyokong penggunaan hidrogen dalam sektor tenaga serta prasarana yang diperlukan, yang mungkin meliputi import serta kemudahan penyimpanan dan pengagihan.

Walaupun akan mengambil masa sebelum hidrogen digunakan, beberapa pemain sudah mula mengkaji peningkatan yang boleh dilakukan sekarang.

YTL PowerSeraya misalnya sedang menaik taraf loji-lojinya dengan memasang komponen turbin canggih untuk meningkatkan penyejukan dan penghasilan.

"Dengan kecekapan yang lebih tinggi dan lebih baik, kami boleh mengurangkan pengeluaran gas karbon sehingga sebanyak 11,000 tan setahun.

"Sudah tentu, dengan loji janakuasa yang lebih cekap, saya fikir ia akan membolehkan kami untuk menjadi lebih berdaya saing dari segi harga," kata Timbalan CEO YTL PowerSeraya, Lim Han Kwang.

Syarikat itu juga sedang mengkaji teknologi penangkapan gas karbon, yang mengasingkan karbon dioksida daripada gas-gas lain dan menyimpannya.

Salah satu idea adalah untuk menggabungkan sistem itu kepada sistem sedia ada tanpa merobohkan loji lama dan membina loji baharu.

Hasil kajian itu dijangka dikeluarkan bulan ini.

Langkah-langkah kecil yang diambil hari ini diharap dapat membantu Singapura memenuhi sasaran iklim jangka panjangnya.
Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita