Skip to main content

Singapura

EMA akan kaji sama ada tenaga geoterma boleh dilaksanakan di SG

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan menjalankan kajian mengenai sama ada penggunaan sistem tenaga geoterma boleh dilaksanakan di Singapura, menurut agensi itu pada Selasa (28 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
 EMA akan kaji sama ada tenaga geoterma boleh dilaksanakan di SG

Kolam Air Panas di Taman Mata Air Panas Sambawang. (Foto fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 28 Apr 2026 07:19PM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 07:22PM
  • Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengumumkan kajian kebolehlaksanaan tenaga geoterma di Singapura pada 28 April 2024.
  • Kajian ini melibatkan permintaan cadangan daripada pihak berminat dan pelantikan perunding, dengan tarikh akhir cadangan pada 30 Jun 2024.
  • EMA telah menjalankan tinjauan geofizik untuk mengenal pasti potensi tapak geoterma dan akan menilai aspek teknikal, persekitaran serta komersial sistem tersebut.
  • Usaha ini bertujuan mengurangkan penggunaan karbon dalam sektor tenaga dan memberi asas kepada pemerintah untuk membuat keputusan lanjut mengenai tenaga geoterma.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan menjalankan kajian mengenai sama ada penggunaan sistem tenaga geoterma boleh dilaksanakan di Singapura, menurut agensi itu pada Selasa (28 Apr).

Ia akan mengeluarkan "permintaan cadangan" bagi mempelawa pihak berminat untuk mengemukakan cadangan bagi kajian tersebut, yang merupakan sebahagian daripada usaha EMA untuk menghapuskan penggunaan karbon dalam sektor tenaga Singapura dan meningkatkan daya tahan tenaga.

Tenaga geoterma adalah sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Secara konvensional, sistem tenaga memanfaatkan air panas dan wap untuk menjana elektrik.

Sistem-sistem geoterma biasanya digunakan di tempat yang mempunyai suhu tinggi secara semula jadi, akuifer dan pembentukan batu telap atau mudah resap - biasanya ditemui di kawasan geologi aktif seperti zon gunung berapi.

Walaupun tidak mungkin Singapura akan mempunyai sumber tenaga geoterma konvensional seperti itu, "kemajuan global terkini dalam teknologi geoterma mencipta peluang baharu untuk memanfaatkan haba bawah permukaan untuk keperluan tenaga, pemanasan dan penyejukan", menurut EMA dalam kenyataan medianya.

Kajian itu akan menilai kebolehlaksanaan teknikal, persekitaran dan komersial bagi penerapan sistem geoterma generasi baharu di Singapura, menurut EMA.

Perunding yang dilantik bagi kajian itu akan ditugaskan untuk mengenal pasti kawasan bagi kajian lanjut.

Beliau juga akan mencadangkan rangka kerja dasar untuk projek geoterma yang berpotensi.

Kajian itu adalah berdasarkan tinjauan geofizik bukan invasif yang berterusan, di mana EMA menyatakan ia sudah laksanakan pada 2024 bagi mengenal pasti tempat-tempat di Singapura dengan potensi kehadiran tenaga geoterma.

"Secara bersama-sama, tinjauan geofizik seluruh negara dan kajian kebolehlaksanaan itu bertujuan untuk memberikan penilaian yang mantap dan menyeluruh terhadap potensi tenaga geoterma Singapura," menurut EMA.

"Ia juga akan memberi pemerintah asas untuk memutuskan langkah seterusnya dalam usaha mencapai sistem tenaga geoterma di Singapura."

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, EMA menyatakan tinjauan geofizik yang sedang dijalankan dan kajian kebolehlaksanaan akan datang sedang mengkaji "aspek berbeza potensi geoterma Singapura".

"Tinjauan itu bertujuan memetakan geologi Singapura untuk mengenal pasti potensi tapak-tapak geoterma di seluruh Singapura.

"Kajian kebolehlaksanaan, sebaliknya, direka untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal, persekitaran dan komersial untuk menggunakan sistem geoterma dalaman."

Jurucakap itu menambah "dengan perkembangan terkini, di mana beberapa sistem geoterma generasi seterusnya mula dirintis, adalah tepat pada masanya untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan ini untuk memberikan penilaian yang lebih mendalam mengenai teknologi ini".

EMA mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan mereka selewat-lewatnya pukul 4.00 petang pada 30 Jun.

Ia menjangka untuk melantik perunding bagi kajian kebolehlaksanaan pada tahun ini, sambil menambah bahawa tempoh kajian akan bergantung kepada cadangan yang dikemukakan, serta skop dan kerumitan kerja yang diperlukan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita