Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Elynur Marie tekad kembali bersekolah 7 tahun selepas peperiksaan peringkat A

Dengan perwatakannya yang ceria lagi bertenaga, mungkin sukar untuk membezakan Elynur Marie, 29 tahun, daripada rakan-rakan kursusnya di Politeknik Temasek (TP), yang kira-kira 10 tahun lebih muda daripadanya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan perwatakannya yang ceria lagi bertenaga, mungkin sukar untuk membezakan Elynur Marie, 29 tahun, daripada rakan-rakan kursusnya di Politeknik Temasek (TP), yang kira-kira 10 tahun lebih muda daripadanya.

Ini kerana, penuntut tahun 3 jurusan Sains Makanan, Pemakanan dan Kulinari itu kembali ke bangku sekolah hanya pada usia 26 tahun, sedangkan usia bagi penuntut yang baru memulakan pengajian di politeknik lazimnya adalah 17 tahun.

Tidak seperti kebiasaannya bagi pelajar lain, selepas menduduki peperiksaan peringkat ‘A', Elynur memilih untuk bekerja terlebih dahulu sebagai seorang jurutera jualan dan pemerolehan selama tujuh tahun.

Elynur mengambil keputusan tersebut kerana pada waktu itu beliau masih mencari-cari minatnya, masih cuba mengenali dirinya.

Malah, sampai suatu tahap, Elynur hilang minat dalam bidang pekerjaannya.

“Walaupun pekerjaan itu merupakan pengalaman yang baik bagi saya, lama-kelamaan saya dapat rasa yang saya tidak berminat untuk mendalami bidang itu,” kata Elynur semasa ditemui BERITAmediacorp.

Mujurlah, pada 2015, beliau menjalani program pengurusan berat badan di bawah Hospital Khoo Teck Phuat, di mana beliau berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan pakar diet dan pakar khasiat. Di sinilah tercetusnya minat dalam bidang yang baru.

“Selepas saya bertemu dengan mereka, saya sedar, wah, apa yang mereka lakukan itu agak 'cool', saya pun nak cubalah,” tambahnya sambil tersenyum.

elynur marie

Sejak dari itu, terbit minat untuk lebih mendalami bidang tersebut. Elynur mula berazam untuk mencari jalan demi mencapai impiannya yang baru.

Sungguhpun demikian, perjalanan untuk mengejar cita-citanya bukanlah mudah.

Untuk mengikuti jurusan Sains Makanan, Pemakanan dan Kulinari di TP, beliau perlu mempunyai keputusan yang baik dalam mata pelajaran Sains.

Namun, semasa menduduki peperiksaan O buat kali pertama, Elynur tidak mendapat markah yang baik bagi subjek Sains. Ini mengehadkan pilihannya kepada kursus-kursus yang ditawarkan semasa beliau menuntut Institut Millenia pada waktu itu.

“Saya terpaksa menduduki peperiksaan peringkat O sekali lagi untuk memasuki TP. Saya dah cuba untuk melihat sama ada saya layak untuk masuk kursus itu, tetapi masih perlukan sains,” ujar Elynur, yang kini sedang menjalani program latihan di bawah syarikat FrieslandCampina.

Pada awalnya, Elynur tidak memberitahu ibu bapanya tentang keputusan untuk menduduki peperiksaan peringkat O sekali lagi. Beliau bertekad untuk tekun belajar meskipun sedang bekerja sepenuh masa.

Akhirnya, keputusan peperiksaan peringkat O bagi mata pelajaran Sains itu berada dalam genggaman Elynur. Malah, beliau meraih gred A bagi mata pelajaran yang menjadi faktor penting demi mencapai aspirasinya.

Langkah seterusnya adalah untuk memberitahu kedua orang tuanya.

“Apabila saya memberitahu ibu saya, beliau menyokong saya, walaupun beliau ingin bersara. Tetapi, katanya, tak apalah, awak terus belajar.

“Tetapi saya rasa bersalah. Sekarang kan saya bersekolah, jadi adik-adik lelaki saya perlu memikul tanggungjawab lebih…Jadi saya harap dapat cepat habis dan membantu mereka,” ujar Elynur.

Namun, cabaran Elynur untuk meraih diploma itu tidak berakhir di situ.

BUKA MATANYA KEPADA DUNIA BARU

Apabila di sekolah, Elynur perlu berinteraksi dan belajar dengan rakan-rakan yang berusia 10 tahun lebih muda daripadanya.

“Salah satu cabaran bagi saya adalah cara kami berkomunikasi. Bagi budak-budak generasi Z yang lebih muda, cara mereka berbual itu seperti bahasa baru bagi saya. Setiap kali kami bertemu, mereka akan menggunakan slanga, emoji dan ada juga ‘meme’,” katanya sambal tertawa.

Walaupun beliau akur berasa agak ketinggalan dan kekok apabila berdepan dengan gelagat mereka pada awalnya, kini beliau mendapati bahawa kelakuan mereka menghiburkan dan satu pengalaman baru bagi dirinya.

“Mereka banyak mengajar saya, dari teknologi ke media sosial. Mereka selalu memberitahu saya benda-benda baru, jadi saya tak ketinggalan sangat,” tambahnya.

Selain itu, Elynur berasa pengalaman belajar dengan rakan-rakan yang bukan sebaya dengannya memberikannya peluang untuk melihat beberapa perkara daripada sudut yang lain.

“Bagi saya, ia sangat menyeronokkan untuk bekerja dengan mereka yang lebih muda. Dari segi idea, kadangkala mereka benar-benar kreatif.

“Tetapi sebagai kakak kumpulan, saya harus memastikan mereka membumi juga,” ujarnya kepada BERITAmediacorp.

Memainkan peranan sebagai ‘kakak’ ataupun ‘nenek’ bagi rakan-rakannya itu, Elynur banyak memberi nasihat kepada mereka, kadangkala mengenai hal-hal serius.

JIKA DAPAT PUTAR BALIK WAKTU…

Walaupun mengambil masa yang lebih panjang untuk mara ke politeknik, Elynur tidak menyesal dengan perjalanannya itu.

“Memang saya boleh mengambil ijazah saya daripada universiti privet selepas menghabiskan peperiksaan peringkat A saya. Tetapi, pada waktu itu, saya tidak tahu apa yang saya ingin ceburi.

“Oleh itu, saya rasa, baik tidak membuang masa, bekerja dahulu dan kemudian jika saya memupuk minat dalam sesuatu bidang, mungkin saya boleh pulang ke sekolah,” kata Elynur.

Kali ini, beliau tidak ingin mensia-siakan peluang keduanya dan membulatkan tekad untuk mendalami bidang tersebut sehingga dapat menggengam ijazah kelak.

“Adalah kelas-kelas yang sangat teknikal, tetapi apa boleh saya buat, saya harus mengharunginya kerana ini adalah bidang yang saya berminat untuk ceburi,” tambahnya.

Nasihatnya kepada mereka yang ingin kembali ke sekolah: “Jangan takut. Jangan malu. Itu semua fikiran anda. Sekiranya anda kembali ke sekolah pada usia lewat pun, tiada seseorang pun yang akan kisah. Ada pun yang tidak tahu yang saya ini tua.”

“Memang satu kebiasaan untuk anda fikir, wah, apa yang saya buat ini? Semua rakan saya berusia 17 dan 18 tahun, mereka pandai, mereka cepat tangkap. Saya adakalanya terfikir, apa yang saya buat sebelum ini? Tetapi saya rasa ia kebiasaan untuk terasa tergugat, di mana saya berada, jadi saya lebih bermotivasi untuk bekerja keras. Jika mereka boleh, saya pun,” ujarnya.

Elynur bakal menamatkan pengajiannya di TP tahun depan, pada usia 30 tahun.

Ternyata, usia bukan penghalang untuk mencapai cita-cita. Yang penting, genggam bara api biar sampai jadi arang.

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan