Skip to main content

Singapura

Elemen pengembaraan, haiwan baharu bakal jadi tarikan taman hidupan liar baharu SG

Anggaran Waktu Membaca:
Elemen pengembaraan, haiwan baharu bakal jadi tarikan taman hidupan liar baharu SG

Gambar: Mandai Wildlife Group

Diterbitkan : 09 Nov 2024 11:25AM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 11:44AM
SINGAPURA: Singapura akan membuka sebuah taman hidupan liar baharu tahun depan. Rainforest Wild Asia, yang merupakan fasa pertama taman zoologi kelima Singapura itu, bakal dilancarkan pada Mac 2025.

Ia akan menampilkan lebih 25 spesies haiwan, dengan sebahagiannya belum pernah dilihat di taman hidupan liar di Singapura.
Elemen pengembaraan Rainforest Wild Asia juga akan menjadikannya, taman zoologi pertama seumpamanya, yang berlandaskan pengembaraan di Asia.

Berikut adalah antara tarikan yang boleh dinanti-nantikan para pengunjung, sebaik sahaja ia dibuka kepada orang ramai:

HAIWAN BAHARU

Dua spesies haiwan akan membuat kemunculan di Singapura di Rainforest Wild Asia. Taman tersebut adalah taman zoologi pertama di negara ini, yang akan menempatkan lotong (langur) Francois dan rusa bertompok Filipina.

Berasal dari China dan utara Vietnam, lotong Francois disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). Menurut laman IUCN, hanya terdapat kira-kira 2,000 hingga 2,100 haiwan matang daripada spesies itu yang tinggal.

Di Rainforest Wild Asia, para pengunjung akan berpeluang melihat monyet terancam itu di habitat berkonsep terbuka mereka di zon "Karsts" taman tersebut.

IUCN menganggarkan bahawa hanya tinggal sebanyak 700 rusa Filipina matang ketika ini. Spesies ini, yang mempunyai bulu berwarna coklat yang bertaburan dengan tompok putih, terancam oleh kemusnahan habitat dan pemburuan yang dilakukan dengan semakin kerap.

Mereka yang berminat boleh mengunjungi zon "Canopy" untuk melihat rusa yang jarang ditemui itu.

Beruang madu, harimau Malaya, lutung (langur) Jawa dan dhole merah, sejenis anjing liar Asia, adalah antara haiwan lain yang boleh dilihat oleh para pengunjung di Rainforest Wild Asia.
Gambar: Mandai Wildlife Group
HABITAT YANG FLEKSIBEL DAN LALUAN JEJAK DI SEKELILING HUTAN

Rainforest Wild Asia merupakan taman hidupan liar pertama di Singapura, untuk menampilkan habitat yang fleksibel. Ini bermakna, haiwan yang berbeza akan dipaparkan pada masa berbeza sepanjang hari di tempat tarikan tersebut.

Menurut Mandai Wildlife Group, habitat sedemikian akan menyediakan "persekitaran yang merangsangkan" bagi haiwan tersebut, yang sekali gus menggalakkan munculnya karenah semula jadi haiwan itu.

Salah satu habitat fleksibel itu akan berada di zon "Rock Cascade", di mana kumpulan spesies pemangsa dan mangsa secara bergilir-gilir akan ditempatkan di habitat bersebelahan tetapi dipisahkan dengan teliti.

Pengunjung akan dapat meneroka taman hidupan liar melalui laluan hutannya yang akan bertaburan dengan kayu balak yang gugur, batu besar, sungai dan jambatan.

Sebagai alternatif, mereka juga akan dapat menggunakan laluan pejalan kaki yang ditinggikan dan luas di taman yang boleh diakses oleh pengguna kerusi roda dan keluarga yang menggunakan kereta sorong bayi.
Gambar: Mandai Wildlife Group
"CAVERN" DIINSPIRASIKAN DARIPADA GUA MULU

Rainforest Wild Asia akan turut menampilkan gua sepanjang 220m, yang diilhamkan daripada gua Mulu di negeri Sarawak, Malaysia.

Sistem gua itu adalah salah satu yang terbesar dan paling rumit di Asia Tenggara, dan bahkan, Taman Negara Gunung Mulu, di mana terletaknya gua itu, merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Formasi batuan gua Mulu itu direka semula di taman tersebut oleh pasukan reka bentuk Rainforest Wild Asia dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak.

PENGALAMAN "PENGEMBARAAN-PLUS"

Taman hidupan liar baharu itu juga akan menawarkan beberapa aktiviti, seperti lawatan gua dan lompatan terjun bebas, yang dikenakan bayaran bagi pengunjung.

Bagi mereka yang mencari pengalaman yang lebih mesra kanak-kanak, mereka boleh melawat Arboreal Bounce, kawasan permainan terbuka di taman itu, yang merangkumi jaring memanjat dan gelongsor sepanjang 9 meter (m).

Critter Crawl, di mana pengunjung boleh meneroka terowong gua sepanjang 60m yang dipenuhi dengan formasi batuan stalaktit dan stalagmit serta jejak fosil, juga sesuai untuk kanak-kanak.

Untuk pengalaman yang meningkatkan adrenalin, pengunjung boleh ke "Canopy Jump", di mana mereka dapat terjun bebas dari platform setinggi 13m atau 20m sebelum diturunkan dalam keadaan terkawal.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita