Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Elemen-elemen baru ditampilkan dalam segmen Pertahanan Mutlak NDP 2023

Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini mahu menggalakkan semua orang memainkan peranan dalam Pertahanan Mutlak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini mahu menggalakkan semua orang memainkan peranan dalam Pertahanan Mutlak.

Pihak penganjur berharap dapat menyajikan persembahan sesuai dengan temanya yang memberi tumpuan kepada keluarga.

Kira-kira 1,700 peserta mengambil bahagian tahun ini.

Antaranya adalah pasangan ibu dan anak Cik Ismadiana Samsudin, 40 tahun dan Nurul Qusyairah Hamzah, 20 tahun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagaikan mimpi menjadi kenyataan - begitulah perasaan Cik Ismadiana apabila mendapat peluang menyertai NDP tahun ini.

"Saya memang teringin sangat hendak menyertai perbarisan. Tidak dapat sertai pun tidak apa. Dapat hadir untuk tengok perbarisan pun saya sudah gembira. Jadi bila saya dapat peluang ini untuk berbaris, lagi-lagi dekat Padang ini, saya rasa macam teruja sangat. Betul-betul tidak dijangkakan. Sangat bermakna untuk saya," kata Cik Ismadiana, yang sudah sembilan tahun bertugas di Singapore Post.

Minatnya kepada NDP bermula sejak dari dulu lagi.

"Dulu masa zaman sekolah, kita kena beratur untuk dapatkan tiket NDP. Jadi tiap-tiap tahun kita akan beratur untuk dapatkan tiket. Sejak tiket ini perlu didapatkan secara online, saya tidak pernah dapat.

"Namun, saya akan pastikan saya menyaksikan NDP tidak kira dekat rumah ataupun kita pergi dekat kelab masyarakat ataupun dekat mana yang ada dapat tengok perbarisan, dapat nyanyi sama-sama," ujarnya.

SERTAI NDP DEMI IBU

Jika tahun lalu, penyelia di Singapore Post itu hanya dapat berbaris secara 'virtual', tahun ini beliau lebih bersemangat kerana akan disertai juga puteri tersayang, Nurul Qusyairah

"Saya sangat rasa bangga sebab saya tidak sangka yang anak saya yang mulanya tidak ingin untuk masuk tapi kerana dia 'okay saya akan mengalah, dan saya akan ikut kamu'," kata ibu dua orang anak itu.

Bagi Nurul Qusyairah, ini juga peluang untuk luangkan masa bersama-sama ibunya.

"Selama ini saya tidak bersamanya pada hujung minggu, saya macam menyesal. Jadi disebabkan NDP ini, saya rasa selepas NDP, ia tidak sepatutnya berhenti. Saya mesti menghargai detik-detik ini bersamanya," katanya, yang juga bertugas di Singapore Post sebagai pegawai pos.

Beliau bersemangat untuk terus menjadi relawan untuk NDP pada tahun-tahun mendatang.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pelajar menengah tiga Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang Muhammmad Danish Arman juga teruja dapat menyertai NDP tahun ini.

Beliau merupakan satu-satunya wakil sekolahnya dalam kontinjen Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC).

Lebih istimewa, beliau berpeluang melalui pengalaman menyertai perbarisan bersama bapanya yang sudah lebih 16 tahun menjadi Ketua Jurulatih untuk kontinjen Pasukan Polis Singapura (SPF).

"Saya hendak masuk NDP tahun ini sebab saya ingin menikmati pengalaman bersama bapa saya," kata Danish, 15 tahun, anak kedua empat beradik.

Bapanya, Inspektor Abdul Majid Salim Selamat, 51 tahun yang sudah kerap membawa keluarganya menyaksikan NDP sejak 2007 juga tumpang gembira.

"Saya rasa sangat bangga. Saya tidak sangka yang anak-anak saya akan menyertai NDP pada tahun ini. Dia akan mengalami apa yang saya alami selama 16 tahun dalam NDP," kata Inspektor Majid.

PAMERAN ASET-ASET BARU

Buat pertama kalinya dalam NDP tahun ini, enam kenderaan berhias besar dan 20 aset Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan dipaparkan dalam segmen yang memberi penghormatan kepada semua rakyat Singapura yang menyumbang kepada Pertahanan Mutlak.

Pasukan Home Team akan menampilkan dua kenderaan terbaru.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Salah satunya adalah Kenderaan Serangan Taktikal (TSV) yang boleh melindungi para anggota Unit Taktikal Polis (SOC) daripada ancaman-ancaman bersenjata.

"Saya adalah komander kenderaan untuk TSV pada hari kebangsaan tahun ini. Ini pertama kali kenderaan ini ditampilkan untuk hari kebangsaan. Saya terharu untuk dipilih menjadi pemandu kenderaan istimewa ini. NDP tahun ini adalah istimewa kepada saya kerana ini adalah pertama kali saya mengambil bahagian dalam (Perbarisan) Hari Kebangsaan," kata Sgt (3) Syed Ameen Hussain.

Satu lagi adalah kenderaan oleh SCDF yang dilengkapi dengan robot untuk membantu usaha memadamkan api daripada jarak jauh.

Buat julung-julung kalinya juga, kontinjen Kawalan Kehormatan akan menampilkan pegawai dari Perkhidmatan Digital dan Perisikan SAF.

Mereka gigih berlatih sejak lebih dua bulan yang lalu untuk perbarisan fizikal berskala penuh yang pertama di Padang sejak 2019.

Para penonton akan berpeluang menyaksikan tatu ketenteraan dan aksi nekad pertunjukan udara oleh Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF).

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan