Elemen baharu dalam kurikulum bahasa Melayu sekolah rendah jadikan pembelajaran lebih seronok, relevan
Dalam satu sesi perbincangan dengan ibu bapa pada Sabtu (27 Sep), ramai yang berkongsi maklum balas daripada anak-anak mereka bahawa ia lebih menyeronokkan, perubahan yang bermakna dan relevan dengan kehidupan kanak-kanak pada zaman ini.
"Kurikulum baharu ini bertujuan untuk membantu para pelajar mengalami keseronokan ketika belajar Bahasa Melayu. Selain daripada membina kecekapan bahasa, kurikulum ini memberi tumpuan kepada kecekapan Abad ke-21 seperti silang budaya," kata Penolong Pengarah dan Pakar Kanan Bahasa Melayu MOE, Noor Azimah Mohd Haad.
"Kami berharap usaha ini akan membuat mereka (para pelajar) sayang akan bahasa Melayu dan ingin terus mempelajari bahasa Melayu sepanjang hayat mereka," tambah beliau.
Sesi itu juga bertujuan untuk melengkapi ibu bapa pengetahuan dan tips bagaimana mereka boleh menyokong pembelajaran anak-anak mereka di rumah bagi kurikulum baharu itu.
Ia diperkenalkan bagi kesemua mata pelajaran bahasa Ibunda bagi sekolah rendah sejak awal tahun 2024.
Sesi perbincangan itu, jelas Cik Azimah, bukan sahaja bertujuan berkongsi maklumat tetapi juga membina jalinan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (MOE), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakkan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), sekolah-sekolah dan ibu bapa.
"Kami menjalankan sesi sebegini dan acara-acara seperti Simposium Bahasa Ibunda untuk memberikan sokongan dan berkongsi informasi dengan ibu bapa agar menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak mereka," kongsi beliau.
BERI PENEKANAN PADA ELEMEN 'GAMIFIKASI', TEKNOLOGI & BERCERITA
Cik Azimah berkongsi bahawa kurikulum baharu itu memberi penekanan kepada 'pembelajaran melalui permainan' dan juga 'bermain sambil belajar'.
"Melalui pengalaman pembelajaran berbilang mod, peningkatan penggunaan teknologi dan juga pengajaran gamifikasi di dalam dan luar bilik darjah, kami berharap ia akan meningkatkan minat pembelajaran pelajar, proses pembelajaran dan hasil pembelajaran mereka," kata Cik Azimah.
Satu lagi elemen baharu yang diperkenalkan dalam kurikulum 2024 itu ialah pembelajaran melalui bercerita.
"Melalui sesi bercerita, para pelajar akan terdedah kepada kosa kata, struktur ayat dan aspek bahasa tertentu tanpa disedari oleh mereka. Ini akan menjadikan mereka lebih bersedia apabila guru mula mengajar secara eksplisit," kongsi Cik Azimah.
Pendekatan-pendekatan itu dijangka akan memenuhi keperluan pelajar dengan gaya pembelajaran yang berbeza.
"Teknologi ini sebenarnya menjadikan pembelajaran lebih hidup dan menarik, agar setiap kanak-kanak boleh mencari kaedah pembelajaran yang sesuai untuk diri mereka," kata Cik Azimah.
Ibu bapa yang ditemui berkongsi bahawa sesi itu merupakan inisiatif penting untuk membantu mereka lebih memahami peranan mereka dalam menyokong pembelajaran bahasa anak-anak di rumah.
Mereka menyambut baik pendekatan baharu dalam kurikulum bahasa Melayu yang diperkenalkan, terutamanya dari segi penggunaan teknologi, kandungan yang lebih relevan serta penglibatan ibu bapa secara langsung.
"Saya berharap anak saya dapat belajar bahasa Melayu seiringan dengan teknologi semasa. Macam sekarang ini, ada pelbagai aplikasi di iPad, infokom (ICT) dan sebagainya. Jadi ini membuat mereka lebih minat. Sekarang saya dapat tahu yang ada SLS (Student Learning Space) yang kita boleh gunakan untuk mendapatkan sumber-sumber," kata Raja Eulyndra Raja Khalif, ibu kepada seorang pelajar Darjah 1.
Tambahnya, penggunaan teknologi seperti aplikasi pembelajaran, bahan digital dan kod QR dapat meningkatkan minat para pelajar.
Cik Nurlieja Onnawaty Mas'at pula berharap kurikulum baharu itu dapat menyemai minat dan memperbaiki penguasaan bahasa Melayu anaknya.
"Harapan saya di hari muka, untuk perkembangan bahasa anak saya ialah, dia lebih berminat untuk bertutur dalam bahasa Melayu terutama sekali dengan adanya lagu-lagu dan cerita-cerita yang lebih interaktif dan lebih kena dengan apa yang terjadi di persekitarannya.
"Jadi, saya rasa lagu-lagu yang lebih rancak, dengan rentak dan irama yang lebih menarik akan dapat menarik minat dia dan ini akan membantu dia untuk menggunakan kosa kata Melayu yang lebih indah dan lebih baik pada masa akan datang," kata beliau.
"Kita sebagai ibu bapa harus lebih berusaha untuk mengambil tahu tentang perubahan-perubahan ini dan melibatkan diri kita dan anak-anak kita dalam usaha-usaha tersebut.
"Jadi persekitaran yang lebih sihat dan menyuburkan minat dan kebolehannya untuk berbahasa Melayu itu adalah amat penting untuk ibu bapa memastikan bahawa kita yang menyediakan ruang dan peluang itu," kata Cik Nurlieja.
Sesi yang berlangsung selama hampir dua jam di Auditorium Perpustakaan Woodlands itu dihadiri lebih 100 ibu bapa bersama anak-anak mereka yang berusia antara 5 hingga 8 tahun.
Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.