Skip to main content

Singapura

ELD terima aduan terhadap poster kempen GE2020 WP Dennis Tan; digantung tidak ikut peraturan

Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengesahkan pada Isnin (31 Ogos) bahawa ia menerima aduan semasa Pilihan Raya Umum mengenai poster kempen anggota Parti Pekerja (WP) Dennis Tan yang digantung di bawah syarat ketinggian 2.2 meter (m) yang ditetapkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
ELD terima aduan terhadap poster kempen GE2020 WP Dennis Tan; digantung tidak ikut peraturan

Poster menunjukkan calon Parti Pekerja Dennis Tan kelihatan di Hougang Avenue 5 pada 30 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Sep 2020 09:04AM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 09:05AM

SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengesahkan pada Isnin (31 Ogos) bahawa ia menerima aduan semasa Pilihan Raya Umum mengenai poster kempen anggota Parti Pekerja (WP) Dennis Tan yang digantung di bawah syarat ketinggian 2.2 meter (m) yang ditetapkan.

Jabatan itu mendedahkan demikian sebagai respons terhadap Anggota Parlimen (AP) Hougang itu yang berkata di Parlimen pada petang Isnin bahawa seorang penduduk terlihat beberapa poster kempen beliau "diturunkan" daripada ketinggian asalnya semasa Pilihan Raya Umum.

Encik Tan menambah dua aduan dibuat kepada ELD semasa Pilihan Raya Umum berhubung poster beliau.

"Sebahagian daripada aduan pertama termasuk 13 dakwaan mengenai poster pilihan raya saya yang digantung di bawah ketinggian yang ditetapkan iaitu 2.2m. Dengan rasa hormat, para relawan saya yang berpengalaman musykil kerana mereka amat pasti mereka memasang poster-poster itu pada ketinggian yang betul," jelasnya.

Selepas aduan pertama, Encik Tan berkata para relawannya "memeriksa dan membuat penyesuaian yang wajar". Namun dua hari kemudian, aduan kedua difailkan meliputi aduan serupa.

Encik Tan berkata ini "lebih mengelirukan" sambil menambah bahawa seorang penduduk memberitahunya beliau "menyaksikan" pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dipercayai menurunkan poster-poster itu daripada ketinggian asalnya.

RESPONS ELD

"Dalam kes Encik Dennis Tan, ELD mengesahkan kedua-dua aduan berkaitan posternya adalah kerana ia dipasang di bawah ketinggian 2.2m yang ditetapkan. Ini bagi memastikan poster tidak menghadang pemandangan para pemandu," jelas jabatan itu dalam responsnya kepada pertanyaan media.

Apabila ELD menerima aduan seumpama itu, ia akan meminta ejen pilihan raya untuk membetulkan poster dalam tempoh tiga jam "tanpa mengira parti politik", tambah jabatan tersebut.

"Jika ini dilakukan, tiada tindakan lanjut akan diambil. Dalam kebanyakan kes, pembetulan dilakukan dalam tempoh tiga jam dan tiada tindakan lanjut diambil.

"Ini juga sama bagi aduan berkaitan psoter Encik Dennis Tan. ELD menyatakan Encik Tan memperakui di Parlimen bahawa ELD "adil" dalam menangani aduan yang diterima."

Dalam respons kepada dakwaan Encik Tan bahawa seorang penduduk terlihat pasukan PAP menurunkan posternya dari ketinggian asal, ELD menyatakan ia adalah "dakwaan serius" tetapi ia tidak menerima "aduan seumpama itu" daripada Encik Tan.

"Encik Tan seharusnya memfailkan aduan kepad ELD supaya ini boleh disiasat," menurut jabatan itu.

ELD menyatakan ia menerima lebih 220 maklum balas dan aduan daripada orang ramai serta parti politik berhubung poster dan sepanduk yang dipasang oleh calon serta parti politik semasa Pilihan Raya Umum tahun ini.

Antara pelanggaran termasuk meletakkan poster dan sepanduk dalam jarak 50m dari sebuah pusat mengundi, bukan dalam bidang kuasa Pegawai Pilihan Raya dan di bawah peraturan ketinggian 2.2m.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita