Skip to main content

Singapura

Elaun Program Pelatih SGUnited dinaikkan sehingga S$800 mulai 1 Apr

Para lulusan Diploma dan lepasan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang bakal menjalani program pelatih SGUnited mulai 1 April akan menerima elaun maksimum yang dinaikkan sebanyak S$300.

Anggaran Waktu Membaca:
Elaun Program Pelatih SGUnited dinaikkan sehingga S$800 mulai 1 Apr

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 04:24PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 04:26PM

SINGAPURA: Para lulusan Diploma dan lepasan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang bakal menjalani program pelatih SGUnited mulai 1 April akan menerima elaun maksimum yang dinaikkan sebanyak S$300.

Elaun maksimum bagi para karyawan pertengahan kerjaya yang berusia 40 tahun dan ke atas pula akan meningkat sebanyak S$800, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (3 Mac).

Dalam kenyataan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan bahawa Program Pelatih SGUnited akan dilanjutkan selama 12 bulan lagi sehingga Mac tahun depan supaya mereka yang tamat pengajian pada tahun ini juga layak untuk menyertainya.

Mulai 1 April, elaun bulanan akan dinaikkan bagi kumpulan pelatih berikut:

- Lulusan ITE akan menerima elaun antara S$1,600 dengan S$1,800 - berbanding S$1,100 hingga S$1,500 sekarang

- Lulusan Diploma akan mendapat elaun antara S$1,700 hingga S$2,100 - berbanding S$1,300 dengan S$1,800 sekarang

- Pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas boleh mendapat elaun antara S$1,400 dengan S$3,800 - berbanding S$1,400 dengan S$3,000 sekarang

Bagaimanapun, elaun latihan antara S$1,800 hingga S$2,500 bagi para graduan universiti kekal tidak berubah.

Selain itu, berikut adalah perubahan-perubahan lain pada program pelatih itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 April:

- Tempoh maksimum program pelatih akan disingkatkan dari sembilan kepada enam bulan

- Syarikat-syarikat tidak akan dibenarkan mengambil pelatih untuk menjalani program pelatih kedua; mereka perlu menggajikan pelatih itu jika mereka ingin mengekalkan tenaga mereka

Semasa berucap di Parlimen semasa membahaskan belanjawan MOM, Menteri Negara kementerian itu, Gan Siow Huang berkata pada Rabu bahawa jumlah elaun latihan yang lebih tinggi bagi para lulusan baru akan memberikan dorongan kepada mereka kerana keadaan semakin sukar untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

"Kami berharap para lulusan baru yang tidak belum berhasil mendapatkan pekerjaan boleh menimbangkan untuk menjalani program pelatih ini," katanya.

Pemerintah juga akan menaikkan pembiayaan bersama bagi elaun latihan pekerja matang yang berusia 40 tahun dan ke atas dari 80 peratus kepada 90 peratus. Ini bermakna syarikat-syarikat yang menggajikan para pekerja matang perlu membayar 10 peratus daripada elaun mereka mulai 1 April.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata: "Dengan peningkatan ini, ia lebih dimampui untuk menggajikan seseorang yang berpengalaman berbanding seseorang yang baru saja mula bekerja."

Sebagai sebahagian daripada tokokan S$5.4 bilion kepada Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited bagi membantu para pemohon kerja semasa pandemik, sehingga 35,000 peluang pelatih, bekerja sambil belajar dan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan yang dilanjutkan akan menyokong pengambilan 200,000 pekerja tempatan.

Cik Teo berkata pada Rabu: "Bagi mengurangkan kesannya, kita harus bersiap sedia menghadapi lebih banyak pemberhentian pekerja.

"Tanpa Insentif Pertumbuhan Pekerjaan yang mengurangkan kesannya, pergerakan pekerja ke syarikat-syarikat dan industri yang berkembang mungkin lebih perlahan."

Insentif itu dilanjutkan sehingga hujung September bagi memberikan para majikan yang menggajikan rakyat tempatan bantuan gaji sehingga 12 bulan bermula dengan bulan pertama mereka diambil bekerja dan sokongan bagi tempoh sehingga 18 bulan bagi pekerja matang, pekerja kurang upaya dan bekas pesalah.

"Kami akan menilai apa yang diperlukan selepas September," kata Cik Teo.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita