Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Elaun NSF naik 4% hingga 5% bagi sebilangan besar anggota perkhidmatan negara

Anggaran Waktu Membaca:
 Elaun NSF naik 4% hingga 5% bagi sebilangan besar anggota perkhidmatan negara

Askar-askar berbaris di Singapura. (Foto: Facebook/BMTC)

Diterbitkan : 03 Mar 2025 06:34PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 06:44PM
SINGAPURA: Semua Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menerima kenaikan antara $35 hingga $75 pada elaun bulanan mereka, bermula 1 Julai depan.

Ini merupakan peningkatan sekitar empat hingga lima peratus bagi sebilangan besar anggota perkhidmatan.

Elaun tersebut menyokong penjagaan peribadi NSF dan mengiktiraf khidmat mereka, dan ia sentiasa dikaji semula untuk memastikan ia kekal mencukupi, menurut Menteri Negara Kanan Pertananan Heng Chee How dalam perbahasan Belanjawan Kementerian Pertahanan (MINDEF) di parlimen.

Ini merupakan semakan keempat kepada elaun NS dalam tempoh sepuluh tahun, menurut kementerian itu.

Peningkatan sebelumnya dilakukan pada Julai 2023, apabila elaun dinaikkan sebanyak S$125 kepada S$200, berdasarkan pangkat dan vokasi anggota perkhidmatan tersebut.

Dengan semakan terbaharu ini, sebagai contoh, seorang anggota NS yang memegang pangkat rekrut atau pelatih akan menerima elaun sebanyak S$790, berbanding S$755 sekarang.

Bagi seorang penyelam tentera laut NSF SAF, anggota pasukan taktikal polis NSF SPF atau anggota bomba NSF SCDF yang memegang pangkat koperal, elaun bulanan akan meningkat kepada S$1,290 daripada S$1,250.

REKA SEMULA PERANAN

SAF turut mengkaji semula sistem klasifikasi perubatannya untuk beralih daripada model binari yang sesuai untuk pertempuran atau tidak sesuai untuk pertempuran.

Encik Heng pertama kali mengumumkan peralihan ini semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya pada tahun 2021.

"Sistem baharu itu akan menilai setiap anggota perkhidmatan pada skala yang lebih terperinci, membolehkan penilaian kesihatan dan kebolehan mereka dibuat dengan lebih tepat supaya mereka dapat dipadankan dengan lebih baik kepada peranan yang lebih berkesan secara operasi," katanya pada Isnin (3 Mac).

"Ini adalah perubahan asas yang kami kaji dengan teliti dan tentukan cara untuk melaksanakannya."

Sepanjang dua tahun yang lalu, SAF sudahpun menjalankan penilaian fungsi untuk bakal pelatih dengan keadaan ortopedik terpilih, sebagai tambahan kepada pemeriksaan perubatan standard.

Sejak 2022, sekitar 300 orang yang belum mendaftar bagi menjalani perkhidmatan negara sudahpun menjalani penilaian fungsi tertentu dan 230 - atau dua pertiga daripada mereka - dapat menyumbang dengan lebih berkesan dalam pelbagai peranan yang lebih luas, kata Encik Heng.

SAF juga terus memanfaatkan teknologi dan mereka semula pekerjaan untuk memperluaskan peluang kerahan anggota perkhidmatan.

Sejak 2021, ia mereka semula 2,000 peranan merentasi 25 vokasi, seperti medik pertempuran, pengendali Kenderaan Pengangkut Infantri Terrex dan polis tentera.

Lebih 1,000 NSF juga ditempatkan dalam pelbagai peranan operasi yang lebih luas setakat ini, tambah MINDEF.

CPMB DIBUKA SECARA BERPERINGKAT

Sebagai sebahagian daripada peningkatan pengalaman NS, Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang baru, terletak berhadapan dengan Stesen MRT Cashew, akan dibuka secara berperingkat bermula Mei 2025.

Encik Heng sebelum ini mengumumkan kemudahan baharu ini semasa perbahasan Belanjawan tahun lalu. Ia akan menggantikan CMPB yang sedia ada di Depot Road.

CMPB baru ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti bersepadu untuk pentadbiran NS. Ini termasuk melengkapkan pemeriksaan perubatan, menghadiri aktiviti kecergasan NS di pusat penyesuaian kecergasan segala cuaca dan membeli keperluan NS, kata Encik Heng.
Illustrai CMPB baharu di Bukit Gombak. (Gambar: MINDEF)
CMPB baharu ini juga akan menempatkan hab kesihatan kedua SAF di negara, dengan yang pertama di Kem Kranji III.

Merangkumi dua tingkat, hab CMPB akan menggabungkan kemudahan penjagaan kesihatan utama di satu lokasi, kata Encik Heng.

"Hari ini, seorang bakal pelatih dengan keadaan perubatan sedia ada perlu melawat beberapa lokasi pada hari yang berbeza untuk ujian klasifikasi perubatannya dan pemeriksaan pakar.

"Di hab kesihatan negara, yang akan dibina di CMPB baru, bakal rekrut ini akan dapat menyelesaikan penilaian perubatannya dalam satu lawatan, dengan temu janji pakar dijadualkan pada hari yang sama."

Terdapat juga sistem pengurusan barisan yang lebih baik untuk mengurangkan masa menunggu, tambahnya.

"Dengan memperkemaskan proses perubatan ini, hab ini dijangka akan melayani sekitar 200 anggota perkhidmatan setiap hari, memastikan sokongan penjagaan kesihatan yang segera dan menyeluruh sepanjang perjalanan NS mereka."

Sementara itu, orang awam boleh mengakses kemudahan senaman di CMPB baru, seperti laluan larian terbuka, zon kecergasan dan padang bola sepak.

Orang awam juga boleh menikmati kemudahan seperti pusat jagaan kanak-kanak, kafe dan medan selera.

MINDEF juga akan membina kelab SAFRA baharu - yang terbesar setakat ini - di kawasan Bayshore, dengan akses terus ke stesen MRT.

"Kami merancang untuk SAFRA Bayshore siap dalam beberapa tahun lagi dan untuk menggantikan kelab tertua kami di SAFRA Tampines, yang dibina pada tahun 1988," kata Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan Zaqy Mohamad.

SAFRA ditubuhkan pada tahun 1972 untuk meningkatkan semangat kekitaan dan meningkatkan semangat dalam kalangan anggota perkhidmatan. Pada masa ini, terdapat tujuh kelab SAFRA di seluruh Singapura yang menyediakan kemudahan rekreasi dan tawaran gaya hidup yang berpatutan untuk anggota perkhidmatan dan keluarga mereka, tambah Encik Zaqy Mohamad.

SAF YANG MAMPAN

Sementara itu, sebuah ladang solar akan dibina di dalam Pangkalan Udara Sembawang tahun ini, untuk membantu mengimbangi permintaan tenaga Kementerian Pertahanan dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memenuhi sasaran nasional di bawah Pelan Hijau Singapura 2030.

Perancangan tersebut bertujuan untuk memajukan agenda nasional Singapura mengenai pembangunan mampan.

Pada 2021, Kementerian Pertahanan komited untuk memasang lebih banyak panel solar di kem dan pangkalan SAF, untuk mencapai sasaran 50 megawatt-puncak kapasiti solar menjelang 2025, bersamaan dengan penggunaan elektrik tahunan 13,000 flat HDB empat bilik.

Ladang solar di dalam Pangkalan Udara Sembawang akan menjana tenaga bersamaan dengan elektrik yang digunakan oleh 4,700 flat HDB empat bilik dalam setahun, kata Encik Zaqy.

Ini akan membawa kepada penjimatan kos sekitar S$1.9 juta setahun dan memastikan kementerian lebih dekat untuk mencapai sasaran pengurangan emisi untuk tahun 2030, tambahnya.

Lokasi untuk panel solar tersebut telahpun "dipilih dengan teliti" untuk memastikan keberkesanan operasi SAF tidak terjejas, katanya. Ini termasuk kajian terperinci untuk memastikan silau dari panel tidak menimbulkan bahaya kepada pesawat tentera.

Panel tersebut akan dipasang di atas tanah seluas kira-kira tujuh hektar serta di atas bumbung bangunan terpilih di dalam Pangkalan Udara Sembawang. Tenaga yang dijana akan disalurkan ke Pangkalan Udara Sembawang dan grid nasional, menurut MINDEF secara berasingan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan