Elak tawarkan pakej wisata ke Timur Tengah, GSA hanya tawarkan pakej umrah buat sementara waktu
SINGAPURA: Syarikat-syarikat penyedia pakej umrah dan haji (GSA) yang ditemui BERITA Mediacorp mengambil keputusan untuk tidak menawarkan pakej baharu bagi wisata atau umrah berserta wisata ke Timur Tengah buat sementara waktu ekoran pergolakan di Palestin.
Tiga GSA itu juga berusaha sedaya upaya untuk buat perubahan saat-saat akhir bagi pakej ke Baitulmakdis yang sudah ditempah para jemaah.
Ini termasuk menukar destinasi dan membuat rancangan perjalanan baharu ke Turki, Uzbekistan atau Mesir misalnya.
Namun, ini menelan kos yang lebih tinggi kerana tempahan dilakukan pada saat-saat akhir.
"Kami tukar perjalanan dari Baitulmaqdis ke Turki. Kami tidak boleh bandingkan pakej Umrah dan Turki sedia ada yang sudah kami jual dari awal tahun kerana tempat duduk pesawat misalnya, kita sudah beli dari awal. Kerana penukaran pada masa singkat ini, harganya lebih sedikit tetapi pihak agensi kami, kami usahakan agar para jemaah tidak perlu membuat tokokan dan tambahan supaya mereka dapat menunaikan umrah dan sambung pesawat mereka dari Istanbul menuju ke Tanah Suci," jelas Pengarah Hamidah Travel & Tours, Badruzzaman Abdul Majid.
Malah syarikat itu juga memulangkan sebahagian kos pakej itu kerana perbelanjaan ke Turki lebih rendah berbanding ke Baitulmakdis. Namun, Encik Badruzzaman tidak mendedahkan jumlah yang dipulangkan kepada jemaah.

Menurut laman syarikat itu, kos pakej umrah dan Baitulmakdis berharga S$5,500 sedangkan pakej umrah berserta lawatan ke Turki berharga $4,860.
Selain menggantikannya dengan destinasi baru bagi pakej umrah dan wisata, syarikat itu juga perlu menawarkan pakej baru bagi pakej-pakej ke Baitulmakdis yang dibatalkan sepenuhnya.
Mereka membatalkan empat pakej 'Jejak Rasul' pada bulan ini dan Disember.
Pakej itu meliputi lawatan ke Kaherah, Baitulmakdis dan Jordan.
Encik Badruzzaman berkata, "Ada yang meminta kami pakej yang kami ada selain ke Baitulmakdis kerana mereka sudah mengambil cuti. Namun, pakej yang kami sediakan seawal 2023 untuk Disember tahun ini sudah 99 peratus penuh."

"Jadi kami usaha untuk buatkan pakej baru seperti pakej ke Uzbekistan atau Turki. Ada yang dapat tukar destinasi. Bagi yang tidak ingin ikuti pakej itu, mereka terpaksa tunggu sehingga menyiapkan pakej baru pada tahun hadapan," tambah beliau.
BATAL TEMPAHAN PADA SAAT-SAAT AKHIR, HOTEL DI PALESTIN PULANGKAN DEPOSIT SEPENUHNYA
Selain menggantikannya dengan destinasi lain, ada juga GSA lain yang cuba menukar jadual perjalanan agar tidak memerlukan tempahan penerbangan baharu.
"Untuk pakej yang Jordan dan Aqsa, kita akan tukarnya sepenuhnya kepada Jordan sahaja. Ada dua hari tambahan di Jordan, kita tambah tempat-tempat ziarah," jelas Pengarah Urusan Zaki Alwie Travel and Services, Shaikh Ahmad Zaki Shaikh Alwie.

Beliau juga bersyukur dengan kerjasama yang diberikan rakan-rakan kerja dan pihak hotel di Palestin.
"Rakan kerja kita berbaik hati, mereka fahami situasi. Tempahan Hotel 'Holy Land', 700 meter dari Aqsa. Apabila ini terjadi, pihak hotel memberi kembali duit penempahan itu kepada rakan kerja kami dan mereka gunakan duit itu untuk baki dua hari yang jemaah patut ke Aqsa tetapi sebaliknya di Jordan. Rakan kerja kami tidak minta duit tambahan, meskipun ada penempahan bilik, jadual baru pada saat akhir," kata Encik Zaki.
AMBIL LANGKAH BERJAGA-JAGA, PANTAU KEADAAN BAGI TAWARKAN PAKEJ 2024
Untuk elak kerumitan dari segi perancangan bagi pihak jemaah juga seperti jadual cuti kerja dan menjaga anggota keluarga yang sudah dirancang sesetengah jemaah lebih awal, syarikat-syarikat ini akan menumpukan kepada menawarkan pakej umrah sahaja buat bulan-bulan mendatang.
"Untuk selamat, kita tempah untuk umrah sahaja. Apa-apa yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa, kita tidak adakan dahulu. Kita fokus kepada umrah, Makkah dan Madinah. Kita ada perancangan untuk Umrah dan Mesir atau Yaman tetapi itu pun kita perlu pantau dahulu kerana Timur Tengah sangat bergolak sekarang," jelas Encik Zaki.
Bagi syarikat Hagel Travel & Tours pula, Encik Syed Agil menjelaskan, "Kalau ikut peruntukan, kita sudah siap sehingga Mac tahun depan. Hanya sekarang ini, kita perlu ikut pada keadaan, kalau kawasan itu selamat, baru kita laksanakan pakej itu. Kalau tidak, kita perlu alihkan. Bagi pakej umrah, mereka akan laksanakan umrah sahaja tanpa tempat lain. "

Syarikat-syarikat ini berharap keadaan akan pulih segera dan menjangkakan pakej wisata ke Baitulmakdis, paling awal akan hanya ditawarkan bermula akhir tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.