Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Elak "panik moral" dan bina dialog rasional berhubung pemansuhan Seksyen 377A, kata pakar

Ruang dialog yang terbuka perlu dibina untuk menggalak masyarakat berfikir secara rasional tentang pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ruang dialog yang terbuka perlu dibina untuk menggalak masyarakat berfikir secara rasional tentang pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Demikian pandangan seorang pengamat politik dan kaunselor keluarga yang menekankan tanggungjawab individu dan perbincangan berkesan dalam keluarga.

Ini kata mereka, boleh membentuk norma-norma yang sihat dan mengelakkan berlakunya "kepanikan moral" dalam masyarakat dalam menghadapi isu LGBTQ.

Antara keprihatinan kumpulan-kumpulan agama berkaitan pemansuhan undang-undang yang menganggap seks antara lelaki sebagai jenayah, adalah kesannya terhadap nilai masyarakat.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, ketika mengumumkan perubahan undang-undang itu di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 21 Ogos telah memberi jaminan bahawa pemerintah akan memelihara institusi perkahwinan antara lelaki dengan wanita.

Di samping itu, Singapura sudahpun mempunyai undang-undang yang memelihara norma-norma di khalayak ramai misalnya batasan terhadap kelakuan sumbang di tempat awam namun pilihan individu dalam ruang peribadi masih menimbulkan perbahasan.

"Mungkin kita ada pandangan tentang hubungan sejenis. Kita perlu melihat bahawa agama Islam juga mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan. Agama kita menekankan kita perlu menghormati hak-hak peribadi seorang individu. Itu penting. Di Singapura, kita tidak ada konsep dasar agama. Kita tidak pergi ke bilik-bilik hotel dan mengetuk pintu. Itu bukan budaya dan amalan kita.

"Pemansuhan 377A ini saya rasa adalah soal peribadi dan kita perlu faham perbezaan isu dosa, perhubungan manusia dengan Tuhan atau spiritual dan kita perlu bezakan hal ini dengan konsep jenayah dalam masyarakat," kata Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan di ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Seorang kaunselor keluarga, Rafiz Hapipi pula akui bahawa terdapat kegelisahan dalam masyarakat berkenaan perubahan undang-undang itu tetapi beliau berpendapat ia tidak akan merubah cara kehidupan masyarakat.

"Ia tidak bermaksud pengasuhan seks (sexual grooming) antara seorang dewasa dan seorang di bawah umur diperbolehkan. Ia juga tidak bermaksud kegiatan pelacuran lelaki mahupun pelacuran perempuan diperbolehkan. Ia juga tidak bermaksud percubaan atau perlakuan seks secara paksa diperbolehkan dan ia juga tidak bermaksud perhubungan kelamin di khalayak ramai diperbolehkan. Ini adalah batasan dan garis panduan yang akan tetap menjadi batas-batas untuk menegakkan sistem kekeluargaan yang utuh," kata Encik Rafiz.

BUDAYA DIALOG TERBUKA DAN BERTERUSAN

Dalam menghadapi perkembangan LGBTQ, pengamat politik Dr Norshahril Saat menyarankan agar dialog keagamaan terbuka yang membincangkan sebab dan akibat sesuatu tindakan diadakan.

Ini bagi menekankan tanggungjawab peribadi seorang Muslim terhadap pilihan yang dibuatnya sendiri.

"Kita perlukan satu ekosistem yang membenarkan ruang perbezaan dan memupuk nilai penting dalam masyarakat. Kalau kita lihat kesannya dalam masyarakat Melayu/Islam, mungkin terhadap pasangan, ibu bapa tentang tindakan anak mereka, mungkin terhadap norma baru yang mungkin berbeza dengan generasi sebelumnya," kata Dr Norshahril.

Budaya dialog secara berterusan juga dilihat perlu bagi mengukuhkan institusi keluarga, yang membolehkan sebarang isu dan cabaran dibincangkan dengan baik sekiranya ia timbul.Ini tidak hanya melibatkan isu LGBTQ.

"Banyak lagi isu yang menjadi cabaran yang perlu ditangani masyarakat seperti isu ketagihan media sosial, pornografi, dadah sintetik, isu pengangguran, peluang dan kemampuan, pekerjaan setaraf dan seimbang, isu tanggungjawab bertingkat di kalangan keluarga berangkai, kitaran trauma dalam keluarga dan kemampuan dan peluang menerap komunikasi berkesan dan berkualiti di kalangan ahli keluarga. Ini adalah perkara-perkara dan isu-isu yang masih lagi menjadi cabaran kepada masyarakat kita," jelas Encik Rafiz, seorang kaunselor keluarga di sektor swasta.

CABARAN SOSIAL TIDAK AKIBATKAN PERUBAHAN NORMA: KAUNSELOR

Encik Rafiz berkata khidmat kaunseling yang beliau berikan berpusat terhadap harga diri seseorang klien tanpa berbelah bagi, tidak kira apa cabaran yang dihadapi individu tersebut.

Beliau menambah, tanggungjawabnya adalah untuk membangunkan dan mengembalikan kemampuan dan keyakinan diri dan untuk cuba membimbing kliennya tentang bagaimana untuk kenal pasti trauma yang menghambat keyakinan diri.

Sokongan keluarga juga akan menentukan norma-norma yang penting untuk sebuah masyarakat tidak akan berubah.

"Apakah isu penagihan dadah itu menjadi norma dalam keluarga? Mungkin ia terjadi pada segelintir keluarga tetapi secara umumnya ia tetap menjadi sesuatu yang ditolak. Sepertinya juga isu yang pernah diberikan tumpuan iaitu isu seks remaja. Sama juga, mungkin berlaku pada segelintir keluarga oleh kerana mungkin keruntuhan dalam komunikasi ataupun proses bimbingan, proses sosialisasi tapi ia tidak bermakna ia menjadi norma kepada masyarakat, keluarga dalam masyarakat lain," ujar Encik Rafiz.

ELAK "PANIK MORAL"

Dalam dunia serba moden yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai idea berbeza, Dr Norshahril berkata, masyarakat perlu digalak untuk berfikir tentang kebertanggungjawaban individu dan menilai akibat sesuatu tindakan.

"Kita perlu memberikan ruang untuk anak-anak kita berfikir baik dan buruknya apakah implikasi pemilihan sesuatu tindakan terhadap masyarakat. Saya fikir bahawa kita perlu kukuhkan ruang berwacana dalam aspek ini. Kita perlu beri ruang kepada pelbagai golongan untuk berikan pandangan, termasuk asatizah. Kita perlu lakukan sesuatu untuk meyakinkan bahawa jika anak-anak kita memilih satu tindakan, ini adalah implikasinya, sudahkah mereka bersedia untuk menerima implikasi tersebut? " kata Dr Norshahril.

Encik Rafiz menambah meskipun pemansuhan Seksyen 377A menimbulkan kegelisahan, pendekatan berhikmah perlu diutamakan.

"Setiap komuniti dalam masyarakat yang memegang teguh kepada pegangan ugama sebagai landasan moral mungkin rasa tercabar bukan setakat masyarakat Melayu/Islam. Ia juga menjadi kegelisahan pada masyarakat-masyarakat lain. Apa yang perlu kita berhati-hati sikit ialah untuk tidak dijadikan perkara ini sebagai satu panik moral di mana tiba-tiba muncul gesaan perasaan untuk bertindak," kata Encik Rafiz.

Ini katanya adalah bagi mencegah perbalahan antara satu kumpulan masyarakat dengan yang lain, yang boleh mencetuskan perpecahan.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan