Skip to main content

Singapura

Eksport utama SG naik 12.4% pada April, lebih pesat daripada jangkaan

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport utama SG naik 12.4% pada April, lebih pesat daripada jangkaan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 May 2025 12:48PM Dikemas Kini : 16 May 2025 12:50PM
SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura pada April berkembang lebih pesat daripada yang dijangkakan.

NODX naik 12.4 peratus, berbanding April tahun lalu, menurut angka yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Jumaat (16 May).

Selain mengatasi jangkaan, kadar kenaikan itu juga lebih tinggi daripada pertumbuhan 5.4 peratus yang dicatatkan pada Mac.

Kenaikan terbaharu itu merangkumi kedua-dua eksport barangan elektronik dan bukan elektronik.

Eksport barangan elektronik naik 23.5 peratus, hampir seganda pertumbuhan yang dicatatkan pada Mac sebanyak 12.2 peratus.

Ia dipacu oleh eksport komputer peribadi, cakera media dan litar bersepadu.

Eksport barangan bukan elektronik pula naik 9.3 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan 3.7 peratus, pada Mac.

Dari segi 10 pasaran utama Singapura, eksport ke Indonesia, Thailand, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat, berkembang.

Namun eksport ke China dan Malaysia, merosot.

Eksport ke Amerika menunjukkan pertumbuhan yang sederhana sebanyak 1.2 peratus berbanding 6.2 peratus yang dicatatkan pada Mac, manakala eksport ke Indonesia melonjak 111.2 peratus berbanding 62.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Secara keseluruhan, penghantaran ke China jatuh sebanyak 17 peratus tahun ke tahun pada April berbanding kemerosotan 29.5 peratus pada Mac.

NODX ke Malaysia jatuh 1 peratus berbanding dengan peningkatan 12.4 peratus pada Mac.

Prestasi eksport Singapura pada masa depan kekal tidak menentu kerana perdagangan global dijangka menjadi perlahan di bawah tarif yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat.

Seorang ahli ekonomi di bank OCBC, Selena Ling, berkata eksport tinggi yang dicatatkan pada April mungkin satu tanda pelanggan cuba membuat persiapan awal bagi sebarang peningkatan dalam ketegangan perdagangan global.

Ini terutamanya kerana tarif yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengecualikan elektronik.

"Dengan penangguhan tarif timbal balas selama 90 hari dan pelbagai rundingan perdagangan yang sedang berlangsung, tempoh beberapa bulan ini memberi ruang dan kelegaan di mana penghantaran awal berpotensi berterusan sehingga keadaan menjadi lebih jelas," katanya.

EnterpriseSG mengatakan pihaknya memantau secara aktif perkembangan keadaan tarif.

Jika perlu, ia akan membuat penyesuaian kepada unjurannya mengenai NODX tahun ini bagi mencerminkan perubahan keadaan pasaran.
Sumber : CNA/SU/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita