Eksport SG jatuh 1.5% pada Disember, sektor elektronik terus kuncup
Eksport domestik bukan minyak (NODX) jatuh 1.5 peratus tahun ke tahun, menurut data Enterprise Singapore pada Rabu (17 Jan) berbanding kenaikan 1 peratus pada November.
SINGAPURA: Eksport utama Singapura kembali mencatat pertumbuhan negatif pada Disember disebabkan penghantaran elektronik yang terus merosot.
Eksport domestik bukan minyak (NODX) jatuh 1.5 peratus tahun ke tahun, menurut data Enterprise Singapore pada Rabu (17 Jan) berbanding kenaikan 1 peratus pada November.
Prestasi bulan November mencatat peningkatan berikutan kemerosotan 13 bulan berturut-turut.
Berdasarkan bulan ke bulan, NODX merosot sebanyak 2.8 peratus.
Eksport elektronik jatuh sebanyak 11.7 peratus pada Disember, selepas menguncup 12.8 peratus pada November. Ia menandakan kemerosotan bulan ke-17 berturut-turut dalam elektronik NODX.
Komputer peribadi, yang membentuk hampir 10 peratus elektronik NODX merosot 34.3 peratus daripada asas tinggi setahun lalu. Litar bersepadu menguncup sebanyak 7.9 peratus, iaitu kadar penurunan yang berterusan dalam eksport sektor itu.
Sebaliknya, eksport bukan elektronik meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding tahun lalu. Ia menandakan pertumbuhan bulan kedua berturut-turut, berikutan peningkatan 5.2 peratus pada November.
Ia didorong sebahagian besarnya oleh farmaseutikal, emas bukan kewangan, dan pelbagai barangan perkilangan.
Eksport ke pasaran utama Singapura merosot secara keseluruhan terutamanya ke Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.
Namun, eksport ke Amerika Syarikat, China, Hong Kong dan Kesatuan Eropah (EU) naik, dengan eksport ke EU tumbuh 8.6 peratus, sekali gus membantu mengurangkan kemerosotan 21.7 peratus yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Enterprise Singapore meramalkan pemulihan yang sederhana tahun ini dengan NODX dijangka tumbuh antara 2 hingga 4 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.