Eksport S'pura tumbuh 8% pada suku ketiga
Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) naik 8 peratus pada suku ketiga 2018, dipacu eksport bukan elektronik, menurut data yang dikeluarkan agensi perdagangan Enterprise Singapore hari ini (22 Nov).

Kontena-kontena di Terminal Keppel di S'pura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) naik 8 peratus pada suku ketiga 2018, dipacu eksport bukan elektronik, menurut data yang dikeluarkan agensi perdagangan Enterprise Singapore hari ini (22 Nov).
Ini menyusuli kenaikan 9.3 peratus pada suku sebelumnya.
Eksport bukan elektronik naik 12.6 peratus, pertumbuhan lanjut daripada kenaikan 16.5 peratus pada suku kedua. Penyumbang utama kenaikan dalam eksport bukan elektronik adalah persiapan makanan, alat ukur dan farmaseutikal.
Dalam pada itu, eksport elektronik susut 3.0 peratus, menyusuli penurunan 7.8 peratus pada suku kedua, menurut Enterprise Singapore. Penyumbang utama kemerosotan adalah diod, transistor, litar bersepadu (IC) dan bahagian komputer peribadi (PC) yang kesemuanya mengalami penyusutan.
Perdagangan barangan Singapura keseluruhannya meningkat 14.7 peratus pada suku ketiga, lebih tinggi daripada kenaikan 10.2 peratus pada suku sebelumnya, sedang perdagangan minyak dan bukan minyak meningkat.
Perdagangan minyak melonjak 28.2 peratus pada suku ketiga di tengah-tengah harga minyak lebih tinggi berbanding setahun lalu, selepas mencatat kenaikan 23.1 peratus pada suku sebelumnya. Perdagangan bukan minyak naik 11.7 peratus pada suku ketiga, iaitu pertumbuhan lanjut daripada kenaikan 7.1 peratus pada suku sebelumnya.
Eksport ke pasaran-pasaran terbesar Singapura umumnya meningkat pada suku ketiga berbanding setahun lalu, kecuali ke China, Korea Selatan dan Hong Kong. Penyumbang utama bagi kenaikan eksport Singapura adalah Amerika Syarikat (34.6 peratus), Kesatuan Eropah (18.4 peratus) dan Indonesia (28.1 peratus).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.