Eksport S'pura naik untuk bulan ketiga berturut-turut namun kadar pertumbuhan lebih perlahan
NODX tumbuh 1.1% bulan lalu jauh lebih rendah daripada pertumbuhan 15.5% pada Mei
SINGAPURA: Eksport Singapura meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut pada Jun, meskipun kadar pertumbuhan mencatat kemerosotan akibat pertumbuhan eksport farmaseutikal yang lebih perlahan. Demikian menurut data rasmi yang didedahkan hari ini (17 Jul).
Menurut perangkaan agensi perdagangan Enterprise Singapore, eksport bukan minyak dalam negeri (NODX) tumbuh hanya 1.1 peratus bulan lalu, jauh lebih perlahan daripada peningkatan 15.5 peratus yang dicatat pada Mei dan 11.8 peratus pada April.
Perangkaan tersebut lebih rendah berbanding pertumbuhan 7.6 peratus yang diunjurkan oleh para penganalisis dalam tinjauan Reuters.
Berdasarkan penyesuaian dari bulan ke bulan, eksport merosot sebanyak 10.8 peratus pada Jun selepas tumbuh 10.3 peratus pada bulan sebelumnya. Tinjauan tersebut menjangkakan penguncupan lapan peratus.
Eksport farmaseutikal tumbuh sebanyak 19.1 peratus pada Jun berbanding setahun lalu iaitu lebih perlahan daripada pertumbuhan 32.1 peratus pada Mei.
Eksport elektronik jatuh 7.9 peratus menyusuli kejatuhan sebanyak 7.8 peratus pada Mei. Pertumbuhan eksport bukan elektronik pula merosot kepada 4.6 peratus pada Jun selepas pertumbuhan sebanyak 26.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Secara keseluruhan, eksport ke empat daripada 10 pasaran utama Singapura mencatat pertumbuhan dipacu pasaran Amerika Syarikat dan indonesia. Eksport ke China, pasaran terbesar Singapura merosot sebanyak 15.8 peratus menyusuli kemerosotan enam peratus pada Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.