Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Eksperimen sosial 5 restoran nasi padang S'pura libatkan 1,200 pelanggan. Ini hasilnya...

Hampir 1,200 pelanggan di lima restoran nasi padang tempatan terlibat dalam satu eksperimen sosial secara serentak hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 1,200 pelanggan di lima restoran nasi padang tempatan terlibat dalam satu eksperimen sosial secara serentak hari ini (26 Sep). 

Eksperimen itu meninjau apakah ada perbezaan bagi mereka antara rasa nasi biasa berbanding jenis nasi lebih sihat.

BERITAmediacorp turun padang untuk merakamkan eksperimen anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bersama lima restoran tersebut, dan membawakan hasil eksperimen sosial itu.

SAJIAN NASI TAMPAK SAMA TAPI...

Perniagaan berjalan lancar seperti biasa pada waktu sibuk makan tengah hari di restoran Hajjah Maimunah di Jalan Pisang, siang tadi.

Namun, ada seperkara yang disorokkan daripada pengetahuan para pelanggan - iaitu nasi yang disajikan kepada mereka sudah dicampurkan dengan 20 peratus nasi dari beras perang - yang sememangnya lebih sihat.

Bukan restoran ini sahaja, tetapi empat restoran popular lain iaitu Pu3, Pariaman, Sabar Menanti dan Sinar Pagi juga menjalankan eksperimen sosial secara serentak.

Para pemilik restoran dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin, kemudian muncul dan bertanya kepada para pelanggan maklum balas spontan mereka.

"Saya tidak tahu, baru tahu. Rasanya tiada beza, sama sahaja," kata seorang pelanggan ketika memberikan reaksi.

"Rasanya mungkin kurang kanji. Biasanya nasi putih banyak kanji," Cik Noor Hafidza Abdul Samad berkongsi pandangannya.

"Saya malah rasa saya boleh terima lebih banyak beras perang," kata seorang lagi pelanggan yang terkejut apabila mendapat tahu sajian nasinya bukan 100 peratus nasi putih biasa.

Ternyata, sogokan 'nasi campur' yang merupakan pilihan lebih sihat itu tidak kalah rasa, berbanding nasi putih biasa.

MAKLUM BALAS POSITIF

Setelah sekitar 1,200 pelanggan mencubanya, para pemilik restoran dan Encik Amrin melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan hasilnya kerana rata-rata tiada maklum balas negatif diterima.

Sentimen yang sama juga diterima apabila wartawan BERITAmediacorp sendiri meninjau sebilangan pelanggan secara lisan.

"Jadi ini satu perkembangan yang baik kerana ia menunjukkan ia hanya di minda. Ini harus kita berusaha secara berterusan supaya kita dapat pastikan yang masyarkat kita sentiasa sihat dan makan dengan makanan yang baik," komen Encik Amrin tentang hasil eksperimen sosial itu.

Usaha ini dilakukan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mendukung Program Pilihan Makanan Lebih Sihat kendalian HPB.

Encik Amrin bagaimanapun akur, keberkesanan inisiatif tersebut akan juga bergantung kepada penerimaan para pelanggan dan orang ramai.

Pastinya usaha ini akan memakan masa, tambah beliau.

"Usaha ini hanya boleh berkekalan jika lebih ramai yang meminta. Jadi ini satu perkara yang penting. Harus ada kesedaran dari pihak keluarga dan pihak individu itu untuk meminta nasi perang ini, untuk meminta bukan hanya nasi perang, untuk meminta bahan-bahan yang berkhasiat," ujar Encik Amrin lanjut.

HAJJAH MAIMUNAH PROAKTIF TAWAR PILIHAN MAKANAN LEBIH SIHAT

Yang penting, sudah ada restoran yang memperjuangkan makanan pilihan lebih sihat. Sebelum eksperimen sosial hari ini, restoran Hajjah Maimunah sendiri mendorong orang ramai mencuba pilihan makanan lebih sihat.

Ia dimulakan beberapa tahun lalu dengan memperkenalkan hidangan yang dimasak melalui kaedah bakar atau rebus.

Bulan lalu pula, ia memberikan nasi perang secara percuma kepada para pelanggannya untuk digandingkan bersama lauk-pauk yang diingini.

Antara pilihan makanan lebih sihat oleh restoran Hajjah Maimunah. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Kini, restoran nasi padang yang juga mempunyai cawangan di Geylang Serai itu mempunyai lima hidangan tetap yang rendah kalori dan kurang atau tanpa minyak.

"Rancangan selanjutnya adalah untuk menambah lebih banyak kepelbagaian dalam hidangan lebih sihat. Jadi apabila pelanggan datang, mereka ada lebih banyak pilihan. Sebab kadang-kadang, ada pelanggan yang datang beberapa kali seminggu. Jadi mereka menantikan menu baru," kongsi pemilik restoran Hajjah Maimunah, Cik Mastura Didih.

Memang ada keprihatinan bahawa penyediaan makanan pilihan sihat mungkin lebih mahal.

Mentelah lagi, belum tentu ada manfaat ekonomi skala (economies of scale) kerana permintaannya belum besar.

Namun demikian, restoran Hajjah Maimunah membuat keputusan untuk tidak mengenakan bayaran lebih tinggi bagi hidangan-hidangan pilihan lebih sihat. Harga yang dikenakannya kini sama dengan harga hidangan biasa.

Maka itu, Encik Amrin berkata rintangan utama untuk diatasi sekarang adalah mengubah corak minda masyarakat menerusi pendidikan kesedaran yang berterusan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan