Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

EKSKLUSIF: “Kami bersyukur dapat lihat mama buat kali terakhir”: Anak mangsa ke-15 COVID-19 S’pura

Seminggu sebelum Cik Salha Mesbee meninggal dunia, anak sulungnya Cik Siti Noraisah Ali menerima panggilan dari doktor mengesahkan bahawa ibunya sudah bebas dari jangkitan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seminggu sebelum Cik Salha Mesbee meninggal dunia, anak sulungnya Cik Siti Noraisah Ali menerima panggilan dari doktor mengesahkan bahawa ibunya sudah bebas dari jangkitan COVID-19.

“Mama dah disahkan bebas COVID-19. Cuma sayangnya badannya tak mampu bertahan lagi,” kata Cik Noraisah, 37.

“Kami diberitahu mama dah semakin teruk, kesan virusnya dah sampai ke otak dan harapan sangat tipis,” tambah suri rumah yang menjalankan perniagaan dari rumah itu.

Ibunya meninggal dunia akibat komplikasi dari COVID-19 pada Khamis (30 Apr).

EMPAT SEKELUARGA DIJANGKITI

Cik Salha Mesbee, 58, merupakan pesakit ke-15 dan termuda yang tewas akibat virus itu di Singapura. 17 lagi pesakit yang meninggal dunia berusia antara 60 dengan 95 tahun.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada 26 Mac selepas pulang dari bercuti ke Turki bersama suaminya yang juga disahkan dijangkiti virus tersebut.

Cik Salha Mesbee disahkan bebas COVID-19 seminggu sebelum beliau meninggal dunia tetapi virus itu telah menjejas otaknya dan beliau tewas akibat komplikasi pada 30 Apr. (Gambar: Siti Noraisah Ali) 

Dua anak lelaki mereka – seorang yang tinggal serumah dengan mereka dan seorang lagi yang mengambil mereka pulang di lapangan terbang juga dijangkiti.

Keempat-empatnya dirawat di Hospital Ng Teng Fong dan semuanya akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang kecuali Cik Salha yang mengalami pelbagai komplikasi.

Ketika dihubungi pada Ahad (3 Mei), Cik Noraisah memberitahu BERITAmediacorp bahawa ibunya tidak mempunyai latar belakang penyakit lain sebelum ini.

KEADAAN IBU SEMAKIN TENAT

“Ibu dimasukkan ke ICU kerana paru-parunya lemah, tekanan darahnya rendah, kemudian jangkitan mula merebak ke organ lain seperti ginjal dan hati. Doktor kata dia antara pesakit yang paling tenat,” katanya.

Keluarganya tetap bergantung pada harapan bila ibunya disahkan bebas dari virus COVID-19 seminggu sebelum beliau meninggal dunia.

“Perjuangannya dengan COVID-19 sudah habis. Kami gembira kerana ibu sudah tidak ada COVID-19 lagi,” kata Cik Noraisah, ibu kepada empat orang anak.

Harapan itu bagaimanapun pudar tidak lama kemudian. Beliau memberitahu BERITAmediacorp bahawa sehari kemudian, doktor menyampaikan berita yang mengejutkan.

“Hari terakhir, malamnya, doktor periksa mata beliau. Mama tak beri respons pada cahaya lalu doktor segera lakukan imbasan CT dan mendapati beliau mengalami bengkak otak,” katanya.

“Keesokan paginya doktor mengesahkan otaknya didapati mati, dan beliau bergantung kepada sistem sokongan hayat. Kami perlu membuat keputusan untuk meneruskan atau membenarkan mama pergi.”

JUMPA IBU BUAT KALI TERAKHIR

Sehingga saat berpisah dengan ibunya buat selama-lamanya, Cik Noraisah sekeluarga tidak pernah meragui kesungguhan pasukan jagaan kesihatan Hospital Ng Teng Fong untuk memberi rawatan terbaik kepada ibunya.

“Bila kami berjumpa doktor, kami memang dapat rasa doktor tu telah cuba sedaya upaya,” ujarnya.

Oleh kerana para doktor mengesahkan ibunya sudah bebas sepenuhnya dari virus COVID-19, pihak keluarga dibenarkan oleh hospital untuk membawa jenazahnya pulang ke rumah untuk diuruskan.

“Amat merisaukan jika tak dapat jumpanya buat kali terakhir. Itu satu perkara yang sangat kami syukuri. Bila kami dapat bawa mama pulang dan memberikan pengebumian yang normal, itu amat menggembirakan keluarga kami.

Dengan empat anggota keluarganya dijangkiti COVID-19, beliau menekankan pentingnya untuk orang ramai memandang serius virus itu dan mendapatkan rawatan segera sekalipun simptom yang dialami ringan.

SOKONGAN KELUARGA

(Gambar: Siti Noraisah Ali)

Cik Noraisah memberitahu BERITAmediacorp bahawa ibunya seorang yang sangat disenangi ramai dan aktif dalam kegiatan-kegiatan anjuran Jawatankuasa Penduduk (RC) dan masjid serta mesra bergaul dengan sesiapa sahaja yang dikenalinya.

“Semua terkesan dengan pemergiannya. Beliau memang seorang yang sangat periang, yang sangat menitikberatkan tentang orang. Mereka tahu perwatakannya dan merasa kehilangannya,” kata Cik Noraisah.

Ibunya meninggalkan suami, tiga anak dan lima cucu berusia antara dua dengan sembilan tahun.

Ketika seluruh keluarga berduka atas pemergian Cik Salha, anak-anaknya kini ingin memberi sepenuh perhatian kepada bapa mereka memandangkan kedua ibu bapa mereka sangat rapat.

Kehilangan itu lebih terasa kerana Cik Salha telah pergi berdua dengan suaminya ke Turki untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

Menurut Cik Noraisah, ia merupakan percutian bulan madu pertama pasangan itu sejak mereka mendirikan rumahtangga 38 tahun lalu.

“Ibu sentiasa ke mana-mana bersama baba.

“Pada saat ini kami sedang menjaga baba, memberinya sokongan yang beliau perlukan untuk melangkah ke hadapan.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan