Skip to main content

Singapura

Eksekutif dipecat SingPost "tidak tahu fakta penuh" semasa diminta beri pandangan

Anggaran Waktu Membaca:
Eksekutif dipecat SingPost "tidak tahu fakta penuh" semasa diminta beri pandangan

Encik Vincent Phang (kiri) dan Encik Vincent Yik. (Gambar fail: TODAY, GD EX website)

Diterbitkan : 31 Dec 2024 06:12PM Dikemas Kini : 31 Dec 2024 06:13PM
SINGAPURA: Dua daripada tiga eksekutif kanan yang baru-baru ini dipecat oleh Singapore Post (SingPost) disebabkan tatalaku mereka semasa siasatan ke atas aduan seorang pemberi maklumat berkata mereka tidak tahu fakta penuh perkara itu semasa diminta memberi pandangan mereka.

Bekas CEO kumpulan Vincent Phang dan bekas ketua pegawai kewangan kumpulan Vincent Yik berkata mereka akan mencabar keputusan syarikat itu untuk memecat mereka. Kedua-duanya berhujah bahawa pemecatan mereka dilakukan "tanpa alasan munasabah" dan prosesnya tidak adil.

SingPost sebelum ini menyatakan kedua-dua eksekutif tersebut, dan juga Encik Li Yu, bekas CEO unit perniagaan antarabangsa, membuat "dakwaan palsu" semasa siasatan ke atas pemalsuan data penghantaran bungkusan unit tersebut.

Dakwaan itu timbul dalam aduan pemberi maklumat yang diterima syarikat pada Januari, di mana selepas itu siasatan dilancarkan oleh audit dalaman kumpulan (GIA).

Menurut SingPost, jawatankuasa audit itu bertemu pada 11 Mac dan 3 April untuk membincangkan dapatan GIA. Oleh kerana perwakilajn yang dibuat oleh pihak pengurusan bercanggah dengan dapatan GIA, jawatankuasa audit mendapatkan bantuan peguam luar pada 3 April dan penyedia khidmat forensik pada 19 April.

Dalam kenyataan yang dibuat pada Selasa (31 Dis), Encik Phang dan Encik Yik berkata mereka diminta memberi pandangan pada 11 Mac dan 3 April dan "memberi respons sewajarnya berdasarkan fakta yang diberikan kepada kami pada waktu itu".

"Fakta penuh hanya kami ketahui selepas siasatan pasukan forensik luar menentukan hubungan sebab musabab pada 27 April 2024," tambah mereka.

Kenyataan mereka dibuat selepas SingPost menjawab pertanyaan pihak berkepentingan pada 29 Disember mengenai keputusannya untuk memecat tiga eksekutif kanan sekali gus.

"Pemecatan pengurusan kanan itu dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak lembaga, berdasarkan fakta yang ditetapkan dan disokong oleh nasihat guaman, termasuk pendapat bebas kedua daripada peguam kanan sebuah lagi firma guaman," kata pengerusi Simon Israel.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita