Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi SG diramal tumbuh perlahan pada 2023; antara 0.5% - 2.5% di tengah ketidaktentuan global

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2022 09:26AM Dikemas Kini : 23 Nov 2022 08:30PM
SINGAPURA: Ekonomi Singapura diramal akan tumbuh pada rentak yang perlahan antara 0.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2023 di tengah-tengah ketidaktentuan global berbanding pertumbuhan 3.5 peratus yang diunjurkan pada tahun ini.

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Rabu (23 Nov).

Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi tahun ini mengecil daripada 4 peratus kepada 3 peratus.

Sejak Ogos, unjuran permintaan luar Singapura semakin lemah berikutan ramalan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) yang lembap sedang krisis tenaga dan China masih bergelut dengan penularan semula COVID-19 dan kemerosotan pada pasaran hartanah, menurut MTI.

Bagi sepanjang tahun ini, prospek ekonomi luar yang lebih lemah akan mempengaruhi pertumbuhan sektor-sektor yang bergantung kepada pasaran luar Singapura termasuk kelompok elektronik dan kimia.

Pemulihan kukuh bagi perjalanan udara dan ketibaan pelawat antarabangsa dijangka akan terus memanfaatkan sektor-sektor berkaitan penerbangan dan pelancongan seperti pengangkutan udara, seni dan hiburan serta sektor-sektor yang mengutamakan pengguna seperti khidmat makanan dan minuman, menurut MTI selanjutnya.

Sekatan-sekatan perjalanan udara yang dimansuhkan di Singapura dan rantau ini juga sudah mencergaskan pemulihan sektor perkhidmatan profesional, tambah kementerian itu.

Bagi suku ketiga tahun ini, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, turun sedikit jika dibandingkan dengan pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi negara tumbuh sebanyak 1.1 peratus berbanding penguncupan 0.1 peratus pada suku kedua.

RAMALAN 2023

Dalam ramalan MTI bagi 2023, kementerian itu menyatakan kadar pertumbuhan GDP bagi sebahagian besar ekonomi utama dijangka akan tumbuh lebih sederhana berbanding paras 2022 dengan kemerosotan mendadak diunjurkan di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Gangguan pada bekalan global berkemungkinan akan berterusan sehingga tahun depan, dengan peperangan di Ukraine dijangka akan berlarutan meskipun gangguan sedemikian dijangka akan berkurangan.

GDP Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dijangka akan tumbuh pada rentak yang lebih perlahan.

Di Asia, pertumbuhan ekonomi China dijangka akan meningkat daripada asas yang rendah namun tetap hambar disebabkan oleh dasar-dasar sifar COVID-19 negara itu yang dijangka akan terus dikuatkuasakan bagi membendung perbelanjaan isi rumah, menurut MTI.

"Pada masa yang sama, ketidaktentuan yang ketara dan risiko kemelesetan ekonomi global kekal," menurut MTI.

Dengan ekonomi-ekonomi maju menaikkan kadar faedah secara serentak untuk mengawal kadar inflasi yang semakin meningkat, kesan keadaan kewangan yang ketat terhadap pertumbuhan global mungkin lebih besar daripada yang dijangkakan.

Peperangan di Ukraine yang semakin meruncing dan ketegangan geopolitik dalam kalangan kuasa-kuasa besar boleh memburukkan lagi gangguan bekalan, melemahkan keyakinan pengguna dan perniagaan serta menjejaskan perdagangan global, tambah MTI.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan