Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi SG diramal tumbuh 1.8% pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi SG diramal tumbuh 1.8% pada 2023

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Dec 2022 05:34PM Dikemas Kini : 14 Dec 2022 08:22PM

SINGAPURA: Para pakar ekonomi sudah menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2023,  menurunkan ujuran pertumbuhan bagi hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura kepada 1.8 peratus.

Unjuran itu lebih rendah berbanding 2.8 peratus yang diramalkan dalam tinjauan pada September. 

Tinjauan pakar ekonomi sektor privet yang dijalankan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) setiap tiga bulan, diterbitkan pada Rabu (14 Dis) dan ia menarik perhatian kepada kesan kelembapan ekonomi luar negara dan pergolakan sosial yang tercetus akibat perintah berkurung COVID-19 di China sebagai risiko utama kepada ekonomi Singapura. 

Tinjauan itu dikongsi dengan 25 pakar ekonomi dan penganalisis yang memantau ekonomi Singapura dan 21 daripada mereka sudah memberikan pandangan mereka, menurut MAS. 

Ramalan pertumbuhan GDP mereka sejajar dengan ramalan rasmi bagi tahun 2023. 

Bulan lalu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan, ia menjangkakan ekonomi Singapura akan tumbuh antara 0.5 hingga 2.5 peratus pada 2023. 

RISIKO NEGATIF

Para responden menyebut tiga risiko negatif dan positif yang berpotensi menjejas ekonomi Singapura. 

Risiko negatif lazimnya merujuk kepada acara, trend atau isu yang akan menjejas ekonomi secara negatif. 

Bagi risiko negatif, 62.5 peratus pakar ekonomi menyatakan kemerosotan pada pertumbuhan ekonomi sejagat, manakala 50 peratus menyatakan ketegangan geopolitik berpotensi menjejas ekonomi Singapura. 

Beberapa contoh ketegangan geopolitik sejagat termasuk peperangan di Ukraine dan hubungan tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut pakar ekonomi kepada Mediacorp. 

Tinjauan itu turut mendapati bahawa kesan berlarutan akibat perintah berkurung COVID-19 di China, serta pergolakan sosial, dirujuk oleh 43.8 peratus responden sebagai risiko negatif. 

Apabila ditanya mengenai risiko paling utama terhadap ekonomi Singapura, 31.3 peratus responden menyebut tentang pertumbuhan luaran dan China. 

INFLASI & PENGAMBILAN PEKERJA

Tinjauan tersebut juga mendapati para pakar ekonomi menaikkan ramalan bagi kedua-dua 2022 dan 2023. 

Ramalan median inflasi bagi 2022 adalah 6.1 peratus, naik daripada 5.7 peratus yang diramal pada tinjauan September. 

Ramalan bagi 2023 pula adalah 5.4 peratus, meningkat daripada ramalan sebelum ini, iaitu 3.5 peratus. 

Inflasi teras untuk tahun ini dijangka meningkat kepada 4.1 peratus, lebih tinggi berbanding ramalan para pakar ekonomi sebelum ini, iaitu 3.8 peratus. 

Inflasi teras bagi 2023 dijangka mencecah 4 peratus, naik daripada 3.1 peratus yang diramalkan sebelum ini. 

Para responden tinjauan tersebut turut menyatakan bahawa mereka tidak menjangkakan MAS akan mengubah pendirian dasar kewangannya pada April dan Oktober 2023. 

Bagi pasaran buruh, para pakar ekonomi meramalkan kadar pengangguran Singapura pada akhir 2022 mencatat 2.1 peratus, naik sedikit daripada 2 peratus berbanding tinjauan sebelum ini. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan