Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi S'pura diramal tumbuh lebih perlahan; pertumbuhan tidak setara bagi banyak industri

Ekonomi Singapura mungkin mengalami gangguan bagi baki tahun ini dan sehingga 2020 dengan tekanan luar, seperti ketegangan perdagangan Amerika-China, meninggalkan kesan tidak setara pada industri-industri di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Oct 2019 02:02PM Dikemas Kini : 30 Oct 2019 08:40PM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura mungkin mengalami gangguan bagi baki tahun ini dan sehingga 2020 dengan tekanan luar, seperti ketegangan perdagangan Amerika-China, meninggalkan kesan tidak setara pada industri-industri di sini. Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan demikian pada Rabu (30 Okt).

Kelompok berkaitan perdagangan, yang menanggung sebahagian besar impak tersebut sejauh ini, masih menghadapi "ketidaktentuan yang ketara" pada masa hadapan. Ini menurut kajian makroekonomi setengah tahun terkini oleh bank pusat berkenaan.

Namun, kelompok perkhidmatan moden yang termasuk teknologi infokom (ICT), kewangan dan insurans serta industri perkhidmatan profesional dianggap sebagai "penggerak utama pertumbuhan" dan akan terus memberi sokongan.

Satu lagi bidang yang menjadi tunggak kekuatan adalah kelompok yang berorientasikan domestik. Diterajui oleh sektor binaan yang sedang pulih, ia juga seharusnya menyaksikan "peningkatan keuntungan tambahan", menurut MAS.

Di tengah-tengah pertikaian perdagangan dan kemerosotan elektronik, ekonomi Singapura melembab dengan ketara sepanjang 2019.

Pertumbuhan yang dicatatkan adalah 0.1 peratus dari tahun ke tahun bagi kedua-dua suku kedua dan ketiga, jauh lebih rendah berbanding purata pertumbuhan 1.2 peratus dalam dua suku sebelumnya. Sektor pengilangan yang penting juga mengalami penguncupan sejak permulaan 2019.

MAS menyatakan kemerosotan pada pertumbuhan keseluruhan berpunca daripada kelemahan dalam kelompok berkaitan perdagangan terutamanya daripada kegiatan berkaitan dengan elektronik.

Sebaliknya, perkhidmatan moden kekal sebagai pemacu ekonomi Singapura, disokong oleh kegiatan yang berkaitan dengan pendigitalan dalam sektor ICT serta kewangan dan insurans.

Kelompok yang lebih condong kepada pasaran domestik membuat sumbangan positif kecil kepada pertumbuhan keseluruhan dalam dua suku lalu, menurut MAS. Kelompok tersebut meraih manfaat daripada pemulihan dalam sektor binaan setempat meskipun kelemahan dalam segmen runcit mengatasi keuntungan yang diraih.

Industri berkaitan pelancongan juga menyaksikan peningkatan sedang jumlah pengunjung naik 2.5 peratus berbanding setahun lalu dari April hingga Ogos. Ini menandakan kemajuan daripada 1.7 peratus yang dicatatkan pada suku terakhir tahun lalu hingga suku pertama 2019, berikutan ketibaan pelawat yang ramai dari Amerika dan tanah besar China.

Keseluruhannya, MAS menjangkakan kelompok khidmat moden untuk menyaksikan kesederhanaan dalam pertumbuhan tetapi kekal sumber pertumbuhan utama pada 2020.

Bank pusat itu menekankan lagi jangkaannya bagi pertumbuhan Singapura untuk berada di tahap pertengahan julat ramalan antara sifar hingga 1 peratus pada 2019 sebelum bertambah baik dengan lebih "sederhana" tahun depan.

Di luar Singapura, MAS menjangkakan pertumbuhan sejagat turun dari 4.3 peratus pada 2018 kepada 3.6 peratus tahun ini. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan