Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi S’pura akan 'terus berkembang' tahun ini meski berdepan cabaran, kata PM Lee

Sedang ekonomi di seluruh dunia mengalami kelembapan disebabkan oleh pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura dan rantau ini akan turut terjejas akibat pertikaian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi S’pura akan 'terus berkembang' tahun ini meski berdepan cabaran, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa lawatan ke SATS pada hari pertama Tahun Baru Cina. (Gambar: Gwyneth Teo)

Diterbitkan : 05 Feb 2019 01:41PM Dikemas Kini : 05 Feb 2019 01:47PM

SINGAPURA: Sedang ekonomi di seluruh dunia mengalami kelembapan disebabkan oleh pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura dan rantau ini akan turut terjejas akibat pertikaian itu.

"Tahun lalu, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan baik. Tahun sebelumnya, ekonomi negara juga mencatatkan pertumbuhan baik. Tahun ini, ekonomi akan terus berkembang namun ia mungkin tidak sebaik tahun-tahun sebelum ini.

"Bagaimanapun kita akan terus bekerja keras dan meskipun ekonomi agak lembab pada tahun ini, kami akan terus berusaha mencatat pertumbuhan baik pada tahun depan," kata PM Lee pada Selasa (5 Feb) di akhir lawatan bagi melahirkan penghargaan kepada para kakitangan SATS pada hari pertama Tahun Baru Cina.

Meskipun ekonomi negara tumbuh lebih tiga peratus pada tahun lalu, namun PM Lee berkata ekonomi negara mungkin tidak begitu kukuh pada tahun ini.

"Kita harus terus, dalam persekitaran ini, untuk mempertingkatkan diri kita dan meningkatkan kehidupan para pekerja. Kita juga akan menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan," katanya.

PM Lee turut mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan SATS kerana terus memastikan hab udara beroperasi dengan lancar sepanjang musim perayaan ini, sambil menarik perhatian bahawa ia adalah komponen penting bagi ekonomi Singapura.

Merujuk kepada ekonomi secara keseluruhannya, PM Lee menyifatkan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi Singapura adalah serupa dengan cabaran yang diharungi oleh industri penerbangan. Beliau berkata persaingan bukan sahaja wujud dari dalam negeri, tetapi juga dari luar negara terutamanya dari negara-negara serantau.

Sungguhpun demikian, PM Lee berkata bahawa dalam tempoh jangka panjang, industri itu akan terus berkembang kerana orang ramai akan terus melakukan perjalanan.

Malah, perniagaan-perniagaan juga akan bertambah baik dalam tempoh jangka panjang. "Jika kita terus memastikan kita kekal berdaya saing, kita akan membantu Singapura menjadi lebih maju," kata PM Lee.

Pada tahun lalu, sejumlah 65.6 juta penumpang - satu paras rekod - melakukan persinggahan melalui Lapangan Terbang Changi.

Ditanya pula mengenai bagaimana ketegangan udara dan maritim antara Singapura dengan Malaysia akan menjejas industri penerbangan, PM Lee berkata: "Bagi isu-isu kami dengan Malaysia, kami akan membincangkannya dengan negara itu."

"Kami akan bekerja keras untuk memastikan kami membolehkan Changi untuk terus beroperasi dengan lancar, dan agar rakyat Malaysia juga mempunyai lapangan terbang yang dapat beroperasi dengan lancar dan semoga trafik udara dapat terus melakukan penerbangan melalui rantau ini."

PM Lee diiringi oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Ng Chee Meng, Presiden NTUC Mary Liew serta para pemimpin kesatuan dan para Anggota Parlimen semasa lawatan tersebut.

Pada awal hari ini (5 Feb), Encik Ng dan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin juga beramah mesra dengan sekitar 50 pemandu teksi di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi bagi menunjukkan penghargaan kepada para pemandu teksi tersebut. 

Sumber : CNA/AI/ai

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa