Skip to main content

Singapura

Ekonomi digital SG tumbuh S$12 bilion, pekerjaan teknologi meningkat kepada 214,000

Ekonomi digital Singapura menyumbang hampir 20 peratus, atau sekitar S$128 bilion, kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara dan menyediakan 214,000 pekerjaan teknologi pada 2024, menurut data terkini.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Oct 2025 06:48PM Dikemas Kini : 13 Oct 2025 04:18PM
SINGAPURA: Ekonomi digital Singapura menyumbang hampir 20 peratus, atau sekitar S$128 bilion, kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara dan menyediakan 214,000 pekerjaan teknologi pada 2024, menurut data terkini.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) turut mendedahkan dalam Laporan Ekonomi Digital Singapura yang dikeluarkan pada Isnin (6 Okt) bahawa ekonomi digital negara berkembang sebanyak S$12 bilion pada tahun lalu, membentuk S$128.1 bilion – atau 18.6 peratus – daripada GDP negara.

Ini satu peningkatan daripada $116.1 bilion pada 2023, yang telah diubah daripada S$113 bilion yang dilaporkan sebelum ini disebabkan oleh semakan tahunan oleh Jabatan Statistik Singapura, tambah IMDA.

Pada dasarnya, lebih S$1 daripada setiap S$6 GDP Singapura adalah daripada ekonomi digital pada 2024.

Sama seperti 2023, sekitar dua pertiga daripada ekonomi digital Singapura pada 2024 adalah daripada pendigitalan merentas sektor-sektor lain, terutamanya kewangan dan insurans, perdagangan borong, serta pengilangan. Baki sepertiga disumbangkan oleh sektor infokom.

Mengenai segmen-segmen ini yang mencatatkan pertumbuhan berterusan tahun lalu, IMDA menyatakan: "Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan digital Singapura bukan sahaja didorong oleh syarikat-syarikat teknologi, tetapi oleh pendigitalan merentas semua industri."

Seperti dua laporannya yang lalu, IMDA menggunakan komponen yang sama untuk menentukan saiz ekonomi digital Singapura:

- Jumlah nilai tambah atau sumbangan ekonomi daripada sektor infokom

- Nilai tambah yang timbul daripada pendigitalan seluruh ekonomi, di mana sektor bukan digital menggunakan teknologi atau huraian digital

Menurut IMDA, ekonomi digital berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 12 peratus antara 2019 dan 2024, mengatasi kadar pertumbuhan GDP nominal sebanyak 7.3 peratus. GDP nominal mengukur jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam ekonomi negara tanpa mengambil kira inflasi.

PENINGKATAN PEKERJAAN DAN GAJI DALAM SEKTOR TEKNOLOGI

Walaupun prospek pengambilan pekerja yang berhati-hati dalam sektor teknologi di peringkat global dan domestik tahun lalu, bilangan karyawan teknologi di Singapura terus berkembang - meningkat daripada 208,300 pada 2023 kepada 214,000 pada 2024.

Peranan pekerjaan yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) dan data, serta keselamatan siber, adalah antara pekerjaan teknologi dengan pertumbuhan terpantas pada 2024.

Pertumbuhan bilangan karyawan teknologi didorong terutamanya oleh sektor di luar infokom, yang menyaksikan peningkatan 3.9 peratus pada pekerjaan teknologi yang mengatasi pertumbuhan 1.1 peratus dalam sektor infokom.

Secara keseluruhannya, pekerjaan teknologi menyumbang 5.3 peratus daripada jumlah pekerjaan pada 2024, naik sedikit daripada 5.2 peratus pada 2023.

Penggunaan AI yang lebih besar oleh firma-firma telah mendorong permintaan untuk kemahiran AI, dedah IMDA.

Jawatan pekerjaan teknologi yang memerlukan kemahiran AI meningkat daripada 11 peratus pada 2019 kepada 14 peratus pada 2024.

Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan pada permintaan merentas semua sektor, termasuk infokom, kewangan dan insurans, pengilangan, serta perkhidmatan profesional.

Secara khususnya, sektor infokom, yang membentuk sebahagian besar tawaran bagi pekerjaan teknologi yang memerlukan kemahiran AI, mencatatkan peningkatan hampir empat kali ganda dalam tawaran pekerjaan sedemikian, daripada 1,020 pada 2019 kepada lebih 4,030 pada 2024.

Gaji bulanan median untuk pekerja teknologi Singapura dan Penduduk Tetap (PR) meningkat 13.5 peratus pada tahun ini berbanding setahun lalu, hampir seganda berbanding pertumbuhan 6.8 peratus yang dicatatkan setahun lalu untuk keseluruhan pekerja tempatan.

Gaji bulanan median untuk pekerja teknologi dalam kalangan pekerja tempatan juga kekal lebih tinggi pada S$7,950 berbanding S$4,860 untuk keseluruhan pekerja tempatan pada 2024. Pada 2023, ia sekitar S$7,000 berbanding S$4,550.

PERMINTAAN YANG BERTAMBAH UNTUK AI DAN KEMAHIRAN TEKNOLOGI LAIN

Tahun lalu, semua sektor menyaksikan kadar penggunaan AI yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dengan infokom serta sektor perkhidmatan profesional menerajui perkembangan itu, menurut IMDA.

Kedua-dua sektor ini mencatatkan kadar penggunaan AI tertinggi, masing-masing sebanyak 36 peratus dan 26 peratus, manakala sektor kewangan dan insurans menyusulinya dengan kadar penggunaan 23 peratus.

Penggunaan AI dalam kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Singapura meningkat tiga kali ganda dalam satu tahun, dengan 14.5 peratus daripada syarikat-syarikat SME ini menggunakan AI tahun lalu, meningkat daripada 4.2 peratus pada 2023.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh perniagaan mikro dan kecil, yang majoritinya menggunakan peralatan AI generatif seperti ChatGPT, Gemini, Midjourney dan Copilot, tambah IMDA.

Kadar penggunaan AI juga melonjak dalam kalangan bukan SME, daripada 44 peratus kepada 62.5 peratus.

Firma-firma yang menggunakan AI juga menyaksikan keuntungan yang ketara.

Dapatan IMDA turut menunjukkan bahawa tahun lalu, syarikat-syarikat SME melancarkan huraian-huraian yang didayakan AI di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan
mencapai purata penjimatan kos sebanyak 52 peratus. Geran itu membantu syarikat-syarikat Singapura meningkatkan daya penghasilan masing-masing dan mengautomasikan proses sedia ada melalui huraian dan peralatan IT.

Syarikat-syarikat SME yang menggunakan huraian keselamatan siber dikuasakan AI menyaksikan penjimatan lebih besar sebanyak 71 peratus.

Secara berasingan, permintaan untuk kemahiran teknologi tertentu juga telah berubah.

Antara 2019 dan 2024, bahasa pengaturcaraan seperti Python dan Structured Query Language (SQL) adalah antara kemahiran teknologi yang sangat dicari, dan terdapat peningkatan pada permintaan untuk kemahiran yang berkaitan dengan platform cloud dan infrastruktur digital berskala yang disokongnya, kata IMDA.

Pada tahun 2024, pengetahuan tentang Python adalah kemahiran yang diperlukan dalam 24 peratus daripada semua tawaran pekerjaan teknologi, naik 9 peratusan mata berbanding 2019, manakala SQL diperlukan bagi 20 peratus tawaran pekerjaan teknologi, meningkat 5 peratusan mata dalam tempoh yang sama.

Sebaliknya, kemahiran teknologi yang dikaitkan dengan pembangunan web menjadi kurang menonjol.

Sebagai contoh, jumlah pekerjaan teknologi yang memerlukan kemahiran dalam JavaScript merosot daripada 21 peratus pada 2019 kepada 12 peratus pada 2024, dengan trend serupa diperhatikan untuk kemahiran berkaitan seperti JavaScript Object Notation (JSON), HyperText Markup Language (HTML) dan Cascading Style Sheets (CSS).

"Walaupun masih penting dalam pembangunan web, peralatan ini kini kerap digunakan dalam persekitaran pembangunan yang lebih luas yang mengautomasikan kebanyakan skrip manual. Akibatnya, peralatan ini kurang disebut sebagai kemahiran yang tersendiri," menurut IMDA.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita