Skip to main content

Singapura

Ekonomi digital SG berkembang S$144.1 bilion pada 2025; penggunaan AI semakin pesat

Ekonomi digital SG berkembang kepada S$144.1 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan, sedang penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin pesat.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi digital SG berkembang S$144.1 bilion pada 2025; penggunaan AI semakin pesat

Ekonomi digital menyumbang 19.3 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) SG pada 2025. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 05 Oct 2026 04:34PM
Singapore's digital economy grows to S$144.1 billion in 2025; AI use accelerates
  • Singapore's digital economy rose to S$144.1 billion in 2025, contributing 19.3 per cent to GDP and outpacing overall economic growth.
  • IMDA reported that the non-I&C sector remained the main driver, while the I&C sector also grew and technology jobs rose to 222,200.
  • AI use increased among companies, SMEs, large companies and workers, with many reporting better productivity as well as cost savings.
  • Although workers want to upgrade their AI skills, access to training remains limited, so IMDA plans to train technology and non-technology professionals by 2029.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ekonomi digital SG berkembang kepada S$144.1 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan, sedang penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin pesat.

Menurut Laporan Ekonomi Digital Singapura yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Isnin (5 Okt), ekonomi digital menyumbang 19.3 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), meningkat daripada 18.8 peratus atau S$136.5 bilion pada 2024.

Ini merupakan pertumbuhan 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, mengatasi pertumbuhan GDP nominal sebanyak 3.1 peratus pada 2025.

Sektor bukan maklumat dan komunikasi (I&C) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan menyumbang lebih dua pertiga daripada ekonomi digital.

Nilai tambah nominal hasil pendigitalan dalam sektor-sektor itu meningkat 3.6 peratus kepada S$97 bilion.

Sektor I&C pula berkembang 6.1 peratus kepada S$47.1 bilion pada 2025.

Jumlah pekerja teknologi turut meningkat 3.8 peratus kepada 222,200 pada 2025, dengan pekerjaan berkaitan AI, data dan keselamatan siber antara yang paling pesat berkembang.

PENGGUNAAN AI MENINGKAT

Menurut IMDA, kadar penggunaan AI dalam kalangan semua syarikat meningkat daripada 14.7 peratus pada 2024 kepada 23.5 peratus pada 2025.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (SME), kadarnya meningkat daripada 14.5 peratus kepada 23.4 peratus.

Dalam kalangan syarikat besar tempatan pula, penggunaan AI meningkat daripada 62.5 peratus kepada 70.4 peratus.

Hampir sembilan daripada 10 syarikat yang menggunakan AI memanfaatkan alat AI komersial seperti ChatGPT, Claude, Gemini atau Microsoft Copilot.

Sekitar 87.6 peratus syarikat yang menggunakan AI menyatakan peningkatan produktiviti dan proses sebagai manfaat utama, manakala 44 peratus melaporkan pengurangan kos dan sumber yang dioptimumkan.

SME yang menggunakan penyelesaian digital berasaskan AI menerusi Geran Penyelesaian Produktiviti pula mencatatkan purata penjimatan kos sebanyak 49.5 peratus pada 2025.

86% PEKERJA GUNA AI DI TEMPAT KERJA

Penggunaan AI dalam kalangan pekerja SG juga meningkat, dengan 86 peratus menggunakannya di tempat kerja pada 2026, berbanding 78 peratus pada 2025.

Daripada jumlah itu, 73 peratus melaporkan peningkatan produktiviti, 69 peratus mutu kerja yang lebih baik dan 68 peratus peningkatan keupayaan menyelesaikan masalah.

Namun, IMDA mendapati masih terdapat jurang antara keinginan pekerja untuk meningkatkan kemahiran AI dengan akses kepada latihan.

Sekitar 68 peratus pekerja mengakui perlunya meningkatkan atau mempelajari kemahiran baharu berkaitan AI, tetapi hanya 37 peratus mengikuti latihan berkaitan AI sepanjang 12 bulan lalu.

Di bawah Program Impak AI Nasional (NAIIP), IMDA akan meningkatkan kemahiran 40,000 karyawan teknologi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

100,000 karyawan bukan teknologi pula akan dilatih dalam kemahiran AI khusus mengikut bidang menjelang 2029.

PEKERJAAN TEKNOLOGI TAWAR GAJI LEBIH TINGGI

Jumlah pekerja teknologi meningkat daripada 214,000 pada 2024 kepada 222,200 pada 2025.

Gaji bulanan median pekerja teknologi pemastautin pula adalah S$8,000 pada 2025, lebih tinggi berbanding gaji median keseluruhan pekerja pemastautin sebanyak S$5,000.

IMDA menyatakan angka itu menunjukkan pekerjaan teknologi terus menawarkan pendapatan yang kukuh, disokong permintaan berterusan bagi karyawan teknologi dalam sektor I&C dan bukan I&C.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita