Skip to main content

Singapura

Ekonomi digital Asia Tenggara dijangka atasi nilai AS$300b jelang hujung 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi digital Asia Tenggara dijangka atasi nilai AS$300b jelang hujung 2025
Cik Sapna Chadha dari Google, Encik Florian Hoppe dari Bain and Company, dan Encik Fock Wai Hoong dari Temasek berucap di acara tahunan e-Conomy SEA pada 11 Nov 2025. (Gambar: CNA/Abigail Ng)
Diterbitkan : 11 Nov 2025 06:01PM Dikemas Kini : 11 Nov 2025 06:02PM
SINGAPURA: Ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melepasi AS$300 bilion (S$391 bilion) menjelang hujung tahun ini selepas menyaksikan pertumbuhan kukuh sepanjang dekad yang lalu, menurut laporan baharu oleh Google, Temasek, dan Bain and Company.

Laporan itu juga mendapati bahawa pembiayaan kecerdasan buatan (AI) swasta di Singapura melonjak 55 peratus dari separuh kedua 2024 hingga separuh pertama 2025.

Ketiga-tiga syarikat itu melancarkan laporan e-Conomy SEA yang ke-10 pada Selasa (11 Nov), dan meluaskan liputannya berbanding laporan sebelum ini untuk menyertakan Brunei, Kemboja, Laos, dan Myanmar buat kali pertama.

Sebelum ini, ia hanya merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

"Sepuluh tahun lalu, kami mengeluarkan angka besar ini. Kami katakan bahawa kami akan menjadi ekonomi digital bernilai AS$200 bilion (S$260.5 bilion) menjelang 2025," kata Cik Sapna Chadha, naib presiden bagi sempadan Asia Tenggara dan Asia Selatan di Google.

Ramalan untuk nilai kasar barangan dagangan (GMV) rantau itu - yang merujuk kepada nilai semua barangan yang dijual - dianggap tinggi pada masa itu, katanya.

"Rantau ini bukan sahaja mencapai matlamat ini. Kami sangat berbesar hati untuk menunjukkan bahawa kami mengatasi matlamat ini, dan ia diatasi tiga tahun lebih awal daripada jadual," tambahnya.

Laporan itu menarik perhatian bahawa empat negara tambahan membentuk kira-kira dua peratus daripada nilai kasar barangan dagangan, dan disertakan bagi memberikan "pandangan yang lebih menyeluruh mengenai ekonomi digital rantau yang sedang berubah-ubah."

Pendapatan di seluruh 10 negara dijangka mencecah AS$135 bilion (S$176 bilion) apabila keuntungan semakin meningkat.

Bagi tujuan laporan ini, nilai kasar barangan dagangan (GMV) termasuk jualan dalam e-dagang, penghantaran makanan, pengangkutan, perjalanan online, dan media online, manakala pendapatan termasuk sektor-sektor tersebut serta perkhidmatan kewangan digital.

E-dagang adalah segmen terbesar, dan jualan dijangka mencapai AS$185 bilion (S$241 bilion) tahun ini, manakala pendapatan diunjurkan mencecah AS$41 bilion (S$53 bilion).

Ini didorong oleh skala ekonomi yang ketara bagi platform terkemuka di rantau ini, serta pengembangan pesat perdagangan video.

"Hiburan beli-belah" atau 'Shoppertainment' mendorong pertumbuhan perdagangan video, yang dijangka menyumbang 25 peratus daripada jualan e-dagang, berbanding kurang daripada lima peratus pada 2022.

Encik Florian Hoppe, rakan kongsi di Bain and Company, sebuah syarikat perundingan global, berkata pembeli mahu berinteraksi dengan penjual.

Perjalanan online adalah segmen terbesar seterusnya dalam GMV Asia Tenggara yang semakin meningkat, dengan pertumbuhan disokong oleh tambang penerbangan dan kadar penginapan yang tinggi, serta kelonggaran skim visa.

PELABURAN DALAM AI

Laporan itu juga mendapati terdapat peningkatan dalam pembiayaan swasta di Asia Tenggara, yang meningkat sekitar 15 peratus dari setahun lalu kepada kira-kira AS$8 bilion (S$10 bilion).

Lebih daripada AS$2 bilion (S$2.6 bilion) pembiayaan sudah disalurkan kepada syarikat pemula yang berkaitan dengan AI dalam tempoh setahun yang lalu, kata Encik Fock Wai Hoong, ketua Asia Tenggara di Temasek, firma pelaburan negara Singapura.

"Walaupun sebahagian besar syarikat AI ini berpangkalan di Singapura sebagai hab serantau atau globalnya, kami melihat percambahan (proliferation) penggunaan AI di seluruh rantau yang lebih luas," katanya.

Singapura menempatkan hampir 500 syarikat pemula aktif AI, daripada hampir 700 di rantau ini.

Sebagai hab AI serantau yang terkemuka, Singapura memperoleh AS$1.31 bilion (S$1.71 bilion) dalam pembiayaan swasta AI dari separuh kedua 2024 hingga separuh pertama 2025.

Sepanjang tempoh yang sama, Singapura menerima 55 peratus daripada semua pelaburan AI ke dalam 10 negara Asia Tenggara yang termasuk dalam laporan itu.

Daya tarikan dan kekuatan Singapura juga mempunyai kesan limpahan, menyebabkan Asia Tenggara menjadi "magnet global untuk prasarana AI", kata Cik Chadha dari Google.

Singapura hampir mencapai had penggunaan tenaganya, dan penyedia cloud mengalihkan tumpuannya ke negara jiran seperti Malaysia.

Jumlah kapasiti pusat data di rantau ini dijangka berkembang sekitar 180 peratus, lebih pantas daripada pertumbuhan yang diunjurkan untuk rantau Asia Pasifik yang lain.

Dalam taklimat berasingan untuk media, Encik Fock dari Temasek berkata AI terus menjadi bidang yang akan diberi tumpuan oleh syarikat itu.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita