Skip to main content

Singapura

Ejen urusan kondominium Hillview Heights minta maaf atas kelemahan tender bersifat 'diskriminasi'

Ejen pengurusan di kondominium Hillview Heights pada Selasa (7 Sep) meminta maaf atas kesilapan menggunakan bahasa lapuk, yang dilabel  sesetengah orang sebagai berbaur perkauman dan bersifat diskriminasi terhadap orang lanjut usia, dalam satu tender bagi khidmat pengawal keselamatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen urusan kondominium Hillview Heights minta maaf atas kelemahan tender bersifat 'diskriminasi'

Kondominium Hillview Heights pada 7 Sep 2021. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

Diterbitkan : 08 Sep 2021 10:16AM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 10:17AM

SINGAPURA: Ejen pengurusan di kondominium Hillview Heights pada Selasa (7 Sep) meminta maaf atas kesilapan menggunakan bahasa lapuk, yang dilabel sesetengah orang sebagai berbaur perkauman dan bersifat diskriminasi terhadap orang lanjut usia, dalam satu tender bagi khidmat pengawal keselamatan.

Insiden itu membuatkan penduduk dan pengawal keselamatan di hartanah privet tersebut menjadi hairan.

Seorang wakil dari Savills Property Management berkata "keadaan tersebut tidak disengajakan dan timbul daripada bahasa lapuk yang digunakan dalam tender dari 2000". Syarikat itu juga katanya akan menyemak semula terma dan syarat kontrak untuk kelulusan pelanggannya.

“Kami meminta maaf setulusnya atas sebarang kekeliruan yang timbul dan sudahpun mengambil langkah-langkah bagi memastikan dokumen tender mencerminkan garis panduan perikatan tiga pihak bagi amalan pekerjaan adil," menurut Savills dalam responsnya kepada pertanyaan TODAY.

Tender bagi perkhidmatan keselamatan di kondominium sebanyak 360 unit di Bukit Batok itu, yang bertarikh 3 September, dibidas oleh Persatuan Keselamatan Singapura pada Isnin (6 Sep). Tender itu mensyaratkan bahawa firma keselamatan akan didenda jika tidak mengambil pengawal yang boleh bertutur bahasa Cina atau apabila ia mengerahkan pengawal lebih muda dari 21 tahun atau lebih 60 tahun tanpa kelulusan pihak pengurusan.

Badan perusahaan industri keselamatan itu menyifatkan perkara tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi berdasarkan kaum dan usia.

Insiden itu mencetuskan reaksi hebat di media sosial dengan ramai orang mengutuk syarat yang ditetapkan dalam tender berkenaan sementara yang lain mempertahankannya.

Bagaimanapun, para pengawal keselamatan sedia ada di kondominium itu, yang digajikan oleh Henderson Security Services, bingung dengan kekecohan yang berlaku kerana mereka tidak pernah mengalami diskriminasi berdasarkan kaum atau usia sepanjang bertugas di sana.

“Kami tidak mengalaminya di sini," kata seorang pengawal keselamatan yang enggan mendedahkan namanya kerana tidak dibenarkan membuka mulut kepada pihak media. Empat pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium itu semuanya dari kumpulan minoriti.

beberapa penduduk yang sudah lama tinggal di Hillview Heights juga, berkata mereka terkejut pihak pengurusan memasukkan syarat seumpama itu ketika berusaha mendapatkan perkhidmatan keselamatan. Ini memandangkan tiada keperluan khusus untuk mendapatkan pengawal bertutur dalam bahasa Cina atau pengawal dari kumpulan usia tertentu.

Mereka juga prihatinan bahawa penduduk kondominium mungkin dituduh oleh orang lain sebagai rasis atau diskriminasi terhadap usia.

Mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT), Chu Jin An, 24 tahun, yang sudah menetap di sana selama lebih sedekad, berkata: "Penduduk yang tinggal di sini ada yang berbangsa Cina tetapi juga orang India, Melayu dan ekspatriat asing. Tidak ada masalah dalam berkomunikasi dengan pengawal.

"Saya tidak pasti bagaimana dokumen tender ini dibuat tetapi saya rasa pihak pengurusan harus benar-benar menelitinya kerana ia menimbulkan kemarahan apabila ia (syarat usia dan kaum) bukan sesuatu yang diperlukan atau dimahukan penduduk."

Seorang lagi penduduk yang sudah 10 tahun tinggal di situ, dan hanya ingin dikenali sebagai Cik Aparna, berkata adalah salah jika penduduk berkeras mahukan pengawal Cina di kondominium mereka. Beliau menambah bahawa setahunya, tiada penduduk yang membuat permintaan seumpama itu semasa mesyuarat am tahunan kondominium tersebut.

Mediacorp sudahpun menghubungi syarikat pengurusan kondominium itu untuk mendapatkan ulasan.

DIKAWAL SELIA OLEH POLIS

Mengulas insiden berkenaan, Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan KH Security, Encik Gary Haris, berkata banyak syarikat pengurusan dan ejen urusan meletakkan klausa tidak adil dalam tender mereka yang mendiskriminasi berdasarkan kaum, jantina atau usia.

Agensi-agensi keselamatan, dan pengawal keselamatan yang digajikannya, sudahpun dikawal selia oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Para pegawai harus disahkan sihat untuk bekerja dalam industri itu oleh pengamal perubatan, maka tiada alasan bagi pembeli perkhidmatan untuk mengenakan syarat yang lebih tegas, ungkap Encik Haris.

Encik Steve Tan, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Keselamatan, bersetuju sambil menambah bahawa kesatuannya serta persatuan keselamatan selama ini mendidik pembeli perkhidmatan supaya membuat penyumberan luar secara bertanggungjawab.

KONTRAK BERDASARKAN HASIL

Dalam kenyataannya, Savills menyatakan ia mengalu-alukan dialog membina bersama Persatuan Keselamatan Singapura dan Persatuan Pengurus Strata "untuk memastikan kami semua sealiran pada masa hadapan".

Savills juga diminta polis untuk memperkenalkan kontrak berdasarkan hasil, tambahnya.

Kontrak berdasarkan hasil dianggap sebagai satu cara bagi pembeli perkhidmatan, seperti ejen pengurusan kondominium, mengeluarkan tender bagi perkhidmatan keselamatan berdasarkan hasil yang ingin ia lihat dan bukan mensyaratkan jumlah kakitangan dalam kontrak ini.

Mediacorp sudah menghubungi Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) serta Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mendapatkan ulasan. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita