Skip to main content

Singapura

Ejen pengurusan 'nikmati' kenaikan keuntungan 300%; kedudukan kewangan AHTC bertambah teruk

Para peguam bagi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) mengingatkan mahkamah bagaimana bekas ejen pengurusan majlis bandaran itu menikmati "keuntungan luar biasa" meskipun kedudukan AHTC "sangat teruk", dalam hujah penutup bagi perbicaraan kes itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen pengurusan 'nikmati' kenaikan keuntungan 300%; kedudukan kewangan AHTC bertambah teruk

(Dari kiri) Pritam Singh, Low Thia Khiang dan Sylvia Lim dari Parti Pekerja.

Diterbitkan : 21 Jan 2019 11:05PM Dikemas Kini : 21 Jan 2019 11:09PM

SINGAPURA: Para peguam bagi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) mengingatkan mahkamah bagaimana bekas ejen pengurusan majlis bandaran itu menikmati "keuntungan luar biasa" meskipun kedudukan AHTC "sangat teruk", dalam hujah penutup bagi perbicaraan kes itu. 

Para peguam Shook Lin & Bok meminta mahkamah supaya membenarkan tuntutan S$33.7 juta daripada lapan defendan, dalam dokumen yang difailkan pada Jumaat (18 Jan) dan dilihat Mediacorp pada Isnin (21 Jan).

Para Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim, Low Thia Khiang dan Pritam Singh dihadapkan ke mahkamah, bersama bekas penasihat majlis bandaran itu, Kenneth Foo dan Chua Zhi Hon pada Oktober tahun lalu kerana dipercayai melanggar tanggungjawab fidusiari mereka dengan melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pengurusannya.

FMSS diterajui oleh Encik How dan mendiang suaminya, Encik Loh. Kedua-duanya juga menyandang jawatan dalam majlis bandaran tersebut, dan dituduh bertindak tidak jujur dengan membantu melanggar tanggungjawab fidusiari.

Para pemerhati sebelum ini berkata bahawa sekiranya para defendan tidak dapat membayar ganti rugi, jika ada, maka prosiding muflis mungkin akan dikenakan terhadap mereka dan para AP WP pula mungkin akan hilang kerusi mereka di Parlimen.

Di bawah Perlembagaan Singapura, seseorang yang diisytiharkan muflis tidak boleh menjadi Anggota Parlimen dan ikut bertanding dalam sebarang pilihan raya parlimen.

AP WP yang terlibat dalam kes itu berjaya mengumpul sejuta dolar dalam tempoh beberapa hari pada Oktober selepas meminta bantuan orang awam untuk menampung kos guamannya.

MAJLIS BANDARAN BERTINDAK ATAS ARAHAN ENCIK LOW, CIK LIM: PEGUAM

Dalam hujah penutupnya setebal 156 muka surat, para peguam AHTC mengulangi hujah-hujah mereka bahawa para defendan tidak bertindak secara jujur dan melanggar tanggungjawab mereka dengan melantik FMSS sebagai ejen, tanpa membuka sebarang tender bagi kontrak pertama ejen pengurusannya.

Khususnya, para peguam majlis bandaran berkata Encik Low dan Cik Lim "tidak bertindak secara jujur dalam urusan mereka dengan FMSS", dan terdapat "gambaran membimbangkan tentang keputusan para ahli majlis bandaran yang bertindak tidak wajar".

"Majlis bandaran tersebut hakikatnya berdepan dengan pelbagai masalah dan segala yang berlaku adalah atas arahan Sylvia Lim dan Low Thia Khiang," menurut para peguam.

Mereka berhujah bahawa Cik Lim dan Encik Low melanggar tanggungjawab mereka dalam beberapa cara, termasuk: Bertindak atas kepentingan Parti Pekerja dan para penyokongnya; memutuskan untuk melantik FMSS tanpa membuka tender dan menimbangkan ejen pengurusan sedia ada; dan gagal mendedahkan pegangan saham FMSS sebelum memberikan kontrak kedua ejen pengurusan.

Para peguam juga membidas hujah pihak pembela, sambil menegaskan dakwaan bahawa mereka berniat baik adalah "tidak munasabah".

"Sylvia Lim, Low Thia Khiang, Danny Low dan How Weng Fan bertindak sewenang-wenangnya, maka itu mereka tidak boleh dikatakan bertindak secara jujur dan/atau menjalankan urus niaga dengan FMSS secara berhemah," kata para peguam.

"Kesan melantik FMSS yang paling ketara, dan hakikat bahawa Cik How, Encik Loh dan FMSS diberi kuasa penuh dalam proses bayaran AHTC, adalah FMSS menikmati keuntungan yang sungguh luar biasa (kenaikan lebih 300 peratus) dalam tempoh antara 2011 dengan 2015," menurut para peguam AHTC.

"Pada sisi lain, kedudukan kewangan AHTC sudah sangat mudarat dan Encik Loh sendiri mengisytiharkan pada 27 Sep 2014, bahawa 'majlis bandaran itu kini muflis dan berdepan dengan masalah kewangan yang sangat membebankan'."

Berhujah tentang FMSS pula, para peguam mendakwa bahawa ia "secara tidak jujur bersubahat dalam pelanggaran tanggungjawab fidusiari dengan menerima kontrak "walaupun tahu tentang konflik kepentingan yang wujud".

Ia menegaskan, kontrak-kontrak yang ditandatangani FMSS dengan majlis bandaran "tidak sah dari segi undang-undang awam", dan meminta mahkamah supaya menolak dakwaan bahawa "tiada sebarang kontrak akan dicapai" sekiranya AHTC membatalkan kontrak-kontrak dengan FMSS.

SYLVIA LIM ELAK-MENGELAK BERI KETERANGAN SEBAGAI SAKSI: PEGUAM AHTC

Peguam AHTC, dalam hujahnya, menumpukan perhatian khususnya kepada Cik Lim dan mendakwa bahawa beliau "seorang saksi yang suka mengelak kerana tidak akan teragak-agak mengada-adakan bukti dan cuba tidak memberi keterangan supaya tidak terikat dengan sumpah".

"Pemeriksaan balas terhadap Sylvia Lim juga mendedahkan bahawa keterangan-keterangannya di Parlimen sebelum ini tidak tepat dan jujur," kata para peguam. "Maka itu, kesimpulan-kesimpulan negatif boleh dirumuskan berdasarkan niat beliau di sebalik keputusan berkaitan kontrak FMSS dan/atau FMSI."

Para peguam juga mendakwa bahawa Cik Lim "mereka cerita", "mengada-adakan bukti" dan "sangat suka mengelak" serta "terus-menerus mengalihkan tumpuan perbicaraan apabila diminta memberi keterangan secara jujur".

Kedua-dua pihak mempunyai masa sehingga pertengahan bulan depan untuk memfailkan jawapan terhadap hujah masing-masing, sebelum melakukan pembentangan lisan pada Mac.

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita