Skip to main content

Singapura

Ejen pembantu rumah didenda S$20,000, iklankan amah di Carousell

Seorang ejen pengambilan pekerja yang mengiklankan pembantu-pembantu rumah asing di wadah dagang online Carousell bagi agensinya, SRC Recruitment, dikenakan denda S$20,000 hari ini (13 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen pembantu rumah didenda S$20,000, iklankan amah di Carousell

Pembantu rumah di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 07:03PM Dikemas Kini : 13 Nov 2018 07:04PM

SINGAPURA: Seorang ejen pengambilan pekerja yang mengiklankan pembantu-pembantu rumah asing di wadah dagang online Carousell bagi agensinya, SRC Recruitment, dikenakan denda S$20,000 hari ini (13 Nov).

Erleena Mohd Ali, 41 tahun, individu pertama yang didakwa dalam kes mengiklankan amah di wadah online. Erleena, yang kini menganggur, bekerja di agensi tersebut dari Jun 2017 dan kebanyakannya menguruskan para pembantu rumah Indonesia.

Dia seringkali mengiklankan biodata para amah di laman Netmaid. Namun, pada Ogos tahun ini, Erleena membuka akaun di laman Carousell di bawah nama "maid.recruitment", dengan menggunakan emel rasmi kerjanya.

Menurut dokumen mahkamah, Erleena meminta izin pihak pengurusan SRC untuk mencari para majikan melalui Carousell dan kemudian mendapat kelulusan.

"Tertuduh kemudian mengiklankan para pembantu rumah asing yang boleh dipilih para majikan di Carousell. Dia turut menyertakan butiran para amah dengan cara seolah-olah menjual barangan yang boleh dijual beli," menurut pendakwa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Vala M.

Erleena mengiklankan amah-amah itu dari 1 hingga 17 September tahun ini. Pada 17 September, MOM menjalankan siasatan selepas mendapat maklumat.

Erleena didapati bersalah atas 10 dakwaan di bawah Syarat Pelesenan Agensi Pekerja, kerana memasang iklan secara tidak sensitif, iaitu dengan memaparkan para amah dengan cara yang menjatuhkan maruahnya dan gagal memastikan nama serta nombor lesen agensinya disertakan ketika memuat naik iklan. 89 tuduhan lain turut dipertimbangkan.

Mahkamah difahamkan MOM mengeluarkan tiga amaran Agensi Pekerjaan pada 2014, 2016 dan 2018 yang mengingatkan agensi-agensi supaya jangan mengeluarkan iklan yang tidak sensitif ketika mencari majikan untuk para amah.

Amaran yang dikeluarkan pada 2016 khususnya menyebut tentang MOM yang tahu tentang sebilangan agensi yang menggunakan laman-laman seperti Carousell dan Gumtree.

"Kementerian menganggap iklan-iklan sedemikian sebagai tidak boleh diterima dan Agensi-Agensi Pekerjaan perlu berhenti mengamalkan perbuatan itu dengan serta-merta. Semua iklan di laman-laman komersil harus diturunkan," menurut MOM ketika itu.

Amaran seperti itu lazimnya dikirimkan melalui emel kepada para kakitangan agensi amah.

Ketika meminta Erleena dikenakan denda S$20,000, pendakwa mengatakan bahawa satu mesej tegas perlu disampaikan kepada agensi-agensi lain.

Semasa sesi rayuan bagi meringankan hukuman, Erleena yang tidak diwakili peguam, mengatakan bahawa dia tidak bekerja, menyara ibu bapanya yang sudah uzur serta dua daripada empat anaknya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita