Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ejen pelancongan tidak berlesen dijel jual tiket penerbangan murah

Seorang wanita yang menggelar dirinya sebagai ejen pelancongan bebas yang menawarkan tiket penerbangan murah dijatuhi hukuman penjara 23 bulan hari ini (3 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen pelancongan tidak berlesen dijel jual tiket penerbangan murah

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 03 May 2018 11:06PM Dikemas Kini : 03 May 2018 11:07PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang menggelar dirinya sebagai ejen pelancongan bebas yang menawarkan tiket penerbangan murah dijatuhi hukuman penjara 23 bulan hari ini (3 Mei).

Rohani Harun, 65 tahun, juga gagal memenuhi beberapa urus niaga selepas menerima bayaran daripada pelanggan.

Rohani didapati bersalah terhadap empat tuduhan - tiga daripadanya kerana melanggar Akta Ejen Pelancongan dengan beroperasi tanpa lesen sah dan satu lagi atas sebab pecah amanah melibatkan bayaran sebanyak S$47,940. Lapan lagi tuduhan diambil dalam pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan antara September 2014 dengan Januari 2016.

"Meskipun menghadapi masalah kewangan, Rohani tetap membuat urus niaga tanpa memenuhinya," demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu makluman media hari ini.

STB menambah bahawa sekurang-kurangnya tujuh pelanggan yang terjejas membuat laporan polis dan aduan kepada STB.

Menurut dokumen mahkamah, Rohani menawarkan tiket ulang alik bagi penerbangan pesawat Singapore Airlines antara Singapura dengan London dan Singapura dengan Afrika Selatan dan lain-lain lagi.

"STB memandang serius terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan ejen pelancongan tidak berlesen dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan bagi melindungi kepentingan pelanggan dan mempertahankan nama baik sektor pelancongan Singapura," menurut STB.

Ia turut menggesa orang ramai untuk membuat pemeriksaan sewajarnya apabila membuat rancangan perjalanan dan merujuk kepada senarai terkini mengenai ejen pelancongan berlesen di Singapura.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan