Ejen insurans didakwa pandu dalam keadaan mabuk dalam nahas Tanjong Pagar
Lelaki berusia 41 tahun yang memandu kereta Mercedes-Benz yang merempuh beberapa pejalan kaki di Tanjong Pagar Road malam semalam (7 Dis) dituduh memandu dalam keadaan mabuk hari ini (8 Dis).
Lim Kwong Fei yang dituduh di mahkamah atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk. (Gambar: NAjeer Yusof/TODAY)
SINGAPURA: Lelaki berusia 41 tahun yang memandu kereta Mercedes-Benz yang merempuh beberapa pejalan kaki di Tanjong Pagar Road malam semalam (7 Dis) dituduh memandu dalam keadaan mabuk hari ini (8 Dis).
Lim Kwong Fei, seorang ejen insurans di Great Eastern memandu bertentangan arah lalu lintas dan merempuh empat pejalan kaki yang sedang berdiri di pembahagi jalan.
Dia kemudian melanggar sebuah lori sekaligus melencong ke kiri, ternaik atas pembahagi jalan sekali lagi dan bertembung dengan sebuah teksi pula, menurut kertas pertuduhan terhadap Lim.
Pejalan kaki tersebut iaitu tiga rakyat Singapura dan seorang warga Australia masih dirawat di Hospital Besar Singapura.
Mereka adalah lelaki yang berusia 56 tahun yang masih lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan perdarahan dalam otak dan anaknya yang berusia 23 tahun yang mengalami luka melecet. Selain itu, seorang warga Australia yang berusia 40 tahun pula mengalami kecederaan saraf tunjang manakala mangsa yang keempat, seorang lelaki, 29 tahun, mengalami keretakan hidung.
Berpuluh orang menjadi saksi nahas itu yang berlaku di luar Amara Hotel pada sekitar 6.30 petang.
Lim ditangkap di tempat kejadian.
Dia tampil di mahkamah hari ini dengan rupa yang tidak kemas kerana ditahan semalam. Dia memberitahu mahkamah bahawa dia akan mendapatkan seorang peguam dan dia masih belum membuat keputusan sama ada akan mengaku bersalah atas tuduhan-tuduhan yang dijatuhi.
Lim ditawarkan ikat jamin sebanyak S$15,000 dan akan tampil di mahkamah pada 18 Januari tahun depan.
Seorang pendakwa raya polis berkata bahawa Lim mungkin menghadapi lebih banyak tuduhan.
Atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, Lim boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau didenda S$1,000 hingga S$5,000.
Bagi kesalahan yang kedua ataupun yang selanjutnya, individu yang memandu dalam keadaan mabuk menghadapi hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda sebanyak S$3,000 hingga S$10,000.
Julai lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan garis pandu baru bagi menjatuhkan hukuman ke atas individu yang memandu dalam keadaan mabuk.
Individu sedemikian, yang merosakkan harta ataupun mencederakan seseorang, boleh menjangkakan hukuman penjara kecuali bagi kes-kes yang tertentu, kata Hakim Besar Sundranesh Menon.
Tempoh hukuman penjara berdasarkan tahap kecederaan yang dialami mangsa, beberapa banyak minuman keras yang diminum pemandu itu dan berapa berbahaya dia memandu pada ketika itu.
Jumlah individu yang dipenjara atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, berlipat ganda dari 20 pada 2014 hingga hampir 190 tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.