Ejen hartanah dipenjara sebabkan kematian pegawai Polis Trafik
Seorang ejen hartanah yang mengakibatkan kematian seorang pegawai Polis Trafik dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu dan tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan selama lima tahun, pada Khamis (7 Mac).

Gambar fail. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Seorang ejen hartanah yang mengakibatkan kematian seorang pegawai Polis Trafik dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu dan tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan selama lima tahun, pada Khamis (7 Mac).
Toh Hwee Hong Freddy, 51 tahun, didapati bersalah pada Januari atas kecuaian mengakibatkan kematian Muhammad Mundzir Ithnin, 21 tahun, pada 21 Mac 2015.
Pada sekitar jam 8.17 pagi hari itu, Toh sedang memandu menuju persimpangan Woodlands Avenue 2 dengan Woodlands Avenue 1.
Apabila dia mengikuti kereta-kereta di hadapannya untuk membuat pusingan kanan, lampu trafik menunjukkan "hijau sahaja".
Pada hari kemalangan itu berlaku, Encik Mundzir, yang tidak bertugas sedang menunggang motosikalnya dari arah trafik bertentangan. Toh membuat pusingan ke kanan di persimpangan tersebut dan melanggarnya.
Beliau mengalami kecederaan teruk pada hatinya dan dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat.
Bagaimanapun sehari selepas pembedahan untuk mengeluarkan bahagian kanan hatinya, beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Toh, seorang pengarah divisyen bersekutu syarikat agensi hartanah PropNex Realty meminta dibicarakan bagi dakwaan ke atasnya. Dalam pembelaannya, dia mendakwa Encik Mundzir menunggang motosikalnya dengan laju pada ketika itu.
Timbalan Pendakwa Raya Jason Chua berhujuah semasa perbicaraan bahawa pembelaan Toh "menimbulkan kekeliruan", kerana kelajuan Encik Mundzir tidak relevan jika Toh boleh dibuktikan bertindak cuai hingga menyebabkan kematian Encik Mundzir.
DPP Chua menekankan bahawa Toh gagal memeriksa dengan teliti sebelum membelok di persimpangan. Beliau juga berkata kereta berwarna putih di sebelah kiri Toh yang menanti giliran tidak membuat pusingan sekali gus "mengukuhkan pendapat" bahawa pemandu itu melihat Encik Mundzir dari arah trafik bertentangan, bukan seperti Toh.
Toh akan mula menjalani hukuman penjara pada 21 Mac dan dikat jamin sebanyak S$10,000.
Bagi kesalahan cuai menyebabkan kematian tanpa niat dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.