Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ejen hartanah dikenakan perintah POFMA, buat dakwaan palsu tentang dasar integrasi etnik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Aug 2024 06:51PM Dikemas Kini : 02 Aug 2024 12:07AM
SINGAPURA: Seorang ejen hartanah pada Khamis (1 Ogos) dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) berhubung video terbaru yang dikongsinya di media sosial berhubung Dasar Integrasi Etnik (EIP).

Dalam video yang disiarkan di laman TikTok dan Instagramnya pada 24 Jul dan akaun YouTube sehari kemudian, Shaik Amar membuat dakwaan palsu dan mengelirukan berhubung EIP, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Shaik Amar berhubung video tersebut.

Shaik Amar, yang menggunakan nama "thatproperty.guy" di media sosial, dikehendaki meletakkan notis pembetulan pada akaun Instagram, Facebook dan YouTube miliknya. Menurut portal hartanah PropertyGuru dan 99.co, beliau adalah broker dengan ERA Realty Network.

Notis pembetulan itu mesti menyatakan bahawa video yang disiarkan pada 24 Jul dan 25 Jul mengandungi kenyataan palsu dan mengelirukan. Pautan kepada penjelasan pemerintah mesti juga disediakan.

"Ini akan membolehkan pembaca mempertimbangkan kedua-dua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri," kata MND.

Walaupun kementerian itu menyatakan bahawa Shaik Amar telah memadam video berkenaan di TikTok dan Instagram, ia masih terdapat di akaun YouTubenya.

MND menambah terdapat "keperluan untuk menangani kepalsuan yang mungkin telah tersebar di kalangan orang ramai akibat daripada penerbitan video ini".

Tinjauan Mediacorp menunjukkan bahawa setakat 3.45 petang Khamis, masih terdapat video itu di YouTube dan ia telah mendapat 163 tontonan. Shaik Amar juga telah meletakkan notis pembetulan pada tiga halaman media sosialnya.
EJEN "RAIH MANFAAT EIP"

Sebuah artikel yang diterbitkan di laman web semakan fakta pemerintah Factually menjelaskan sebab dakwaan Shaik Amar adalah palsu.

Shaik Amar telah mendakwa bahawa EIP tidak memberi faedah kepada isi rumah etnik minoriti dan hanya "menyebabkan kerugian kewangan yang besar apabila mereka menjual flat mereka".

"EIP diperkenalkan untuk memastikan keseimbangan gabungan kumpulan-kumpulan etnik yang tinggal di estet HDB bagi menggalak keharmonian kaum dan memperkukuh perpaduan sosial. Objektif ini masih relevan hingga ke hari ini," kata artikel itu.

"Disebabkan EIP, sebahagian flat diketepikan untuk masyarakat etnik minoriti dalam semua pembangunan HDB (termasuk yang lebih popular) melalui jualan Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF) serta tempahan terbuka.

"Ia memberi manfaat yang besar kerana EIP jamin bahawa bilangan tertentu flat di estet HDB, termasuk di estet yang sangat popular, tersedia untuk masyarakat."

Walaupun harga flat di kawasan yang lebih popular adalah lebih tinggi, "subsidi pemerintah yang diberikan oleh HDB menjadikannya dalam kemampuan ramai".

Menurut artikel itu lagi: "Encik Shaik Amar sendiri mendapat manfaat daripada EIP, kerana keluarganya mungkin tidak akan dapat memilih flat SBF jika tiada EIP."

"Semasa jualan SBF di mana isi rumahnya telah menempah flat SkyOasis @ Dawson, semua pemohon kali pertama dari golongan minoriti telah dijemput untuk memilih flat tiga bilik di Queenstown, termasuk keluarga Encik Shaik Amar."

"Sebagai perbandingan, hanya kira-kira 40 peratus pemohon kali pertama dari kaum Cina dijemput untuk memilih flat kerana had EIP Cina."

SkyOasis @ Dawson ialah flat gantian yang terletak di Queenstown di bawah Skim Pembangunan Semula Terpilih Secara Berkelompok (SERS).

Artikel itu mengatakan bahawa kadar pemilik daripada masyarakat minoriti dalam pembangunan yang lebih popular boleh menjadi jauh lebih rendah jika EIP tidak disediakan, walaupun ketika jualan ditawarkan HDB.

"EIP, secara amnya membolehkan lebih banyak isi rumah daripada masyarakat minoriti mendapat manfaat daripada peningkatan nilai yang berlaku apabila flat yang dibeli daripada HDB dijual semula pada harga yang lebih tinggi."

Maka itu, adalah "mengelirukan untuk memberi tumpuan semasa proses jualan semula, tanpa menyatakan bahawa flat itu pada mulanya diperoleh dalam rangka kerja EIP".

"Selain itu, EIP bukan sahaja tertakluk ketika proses pembelian flat daripada HDB, tetapi juga ketika proses jualan semula. Ini memastikan tiada kumpulan etnik dikecualikan daripada mana-mana kejiranan perumahan awam."

Artikel itu menarik perhatian hampir satu daripada tiga blok HDB, dan 11 peratus kejiranan HDB telah mencapai had EIP masing-masing.

"Tanpa EIP, kita mungkin akan melihat jumlah pemilik flat daripada masuyarakat minoriti berkurangan dalam estet perumahan yang sangat popular. Ini akan memberi kesan negatif kepada masyarakat minoriti," katanya.
LANGKAH BANTU PEMILIK EIP

Ia juga menjelaskan dakwaan palsu dalam video itu bahawa EIP menyebabkan semua isi rumah minoriti mengalami kerugian besar apabila menjual flat mereka.

"Pemerintah secara terbuka akur bahawa bagi sebilangan kecil pemilik flat EIP, pada masa penjualan semula, mungkin terdapat perbezaan dalam harga yang mungkin sanggup dibayar oleh pembeli Cina, berbanding dengan bakal pembeli daripada masyarakat minoriti."

Ia menyatakan bahawa terdapat langkah yang dilaksanakan HDB untuk membantu pemilik flat EIP sedemikian, seperti memberi mereka lebih masa untuk menjual flat mereka jika mereka telah membeli flat lain serta mengetepikan had EIP dalam "keadaan luar biasa".

HDB juga memperkenalkan skim pada 2022 untuk membeli balik flat daripada pemilik flat EIP yang layak yang menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka.

Dipanggil Skim Bantuan Beli Balik EIP, ia menyediakan pemilik flat yang benar-benar terjejas oleh had EIP dengan pilihan untuk menjual flat mereka kepada HDB pada harga yang berpatutan, berdasarkan keadaan pasaran semasa.

"Isi rumah perlu memiliki flat mereka untuk sekurang-kurangnya 10 tahun dan flat harus dipasarkan pada harga berpatutan sekurang-kurangnya enam bulan," kata MND.

Mereka yang berdepan keadaan yang sukar boleh merayu kepada HDB bagi pertimbangan khas untuk mengetepikan syarat itu.

Flat yang dibeli balik oleh HDB akan ditawarkan untuk jualan melalui SBF atau tempahan terbuka flat. HDB akan memberi subsidi yang besar kepada nilai pasaran flat tersebut bagi menentukan harga jualan.

"Di mana had EIP Cina dicapai, hanya pembeli daripada masyarakat minoriti akan layak untuk membeli flat tersebut, dan mereka akan mendapat manfaat daripada subsidi, seperti pembeli lain," tambah MND.

"EIP telah memastikan bahawa tiada kejiranan HDB di Singapura yang eksklusif untuk mana-mana kumpulan etnik dan dengan itu telah mencapai faedah yang sangat nyata untuk masyarakat minoriti."

Mengenai dakwaan Shaik Amar bahawa EIP diperkenalkan pada 1960-an dan tidak pernah diubah sejak itu, artikel itu menjelaskan bahawa dasar itu sebenarnya diperkenalkan pada 1989 dan telah diubah suai dari semasa ke semasa.

Misalnya, HDB mengumumkan pada 2010 bahawa had EIP untuk kaum India/Lain-lain akan dinaikkan sebanyak 2 peratus, daripada 10 peratus kepada 12 peratus di peringkat kejiranan, dan daripada 13 peratus kepada 15 peratus di peringkat blok.

 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan