Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ejen hartanah dijel, tipu pembeli & penjual flat HDB untuk terima komisyen 2 kali ganda

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang ejen hartanah dikenakan hukuman penjara 23 minggu dan didenda S$11,000 pada Khamis (9 Jun) kerana menipu kedua-dua pembeli dan penjual sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk menerima wang komisyen dua kali ganda. 

Toh Yew Hock, 52 tahun, mengaku bersalah awal bulan ini atas satu tuduhan melakukan dua perwakilan di bawah Peraturan Ejen Hartanah (Tugas Ejensi Hartanah) dan satu tuduhan jenayah pecah amanah, serta lagi satu tuduhan menipu. 

Toh merupakan jurujual yang berdaftar dengan PropNex Realty pada waktu kejadian. Seorang pendakwa Majlis Agensi Hartanah (CEA) memberitahu mahkamah bahawa pendaftarannya itu akan tamat tempoh pada hujung tahun ini. 

Pendakwa itu berkata, kesalahan itu terbongkar "secara tidak sengaja" setelah pembeli dan penjual berpeluang berbincang secara empat mata apabila Toh lewat semasa pemeriksaan flat itu. 

Semasa Toh tiada, pembeli dan penjual flat itu mula berbincang tentang penjualan unit tersebut dan mendapati bahawa kedua-duanya membayar komisyen pembeli kepada Toh. 

Apabila Toh tiba, mereka menyoalnya. Pembeli tersebut juga menyedari bahawa penjual itu tidak menerima cek sebanyak S$4,000 yang merupakan baki yuran bagi Pilihan Untuk Membeli (OTP). 

Toh mengaku menyimpan wang itu, tetapi mendakwa bahawa "itu haknya kerana dia sudah bekerja keras dan memenuhi jangkaan kedua-dua pihak dalam mencapai urus niaga itu pada harga yang disetujui," menurut dokumen mahkamah. 

Kedua-dua pembeli dan penjual itu melaporkan kejadian tersebut kepada CEA dan PropNex. 

Toh sudah membayar balik S$15,000 sepenuhnya kepada pembeli itu dan S$4,000 kepada penjual menerusi PropNex. Agensi tersebut juga menyerap kos komisyen ejen yang patut dibayar bagi urus niaga tersebut. 

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Phang berkata, kesalahan Toh sudah lama dirancang dan "dipertimbangkan dengan teliti untuk memanfaatkan maklumat berbeza daripada pembeli dan penjual untuk meraih manfaat peribadi". 

Setelah kes itu dibicarakan, CEA mengingatkan pengguna bahawa seorang ejen tidak boleh mewakili dan mendapatkan yuran komisyen daripada kedua-dua pembeli dan penjual, atau penghuni dan pemilik, dalam satu urus niaga hartanah. 

Agensi hartanah dan ejen juga tidak dibenarkan menguruskan wang urus niaga, termasuk yuran OTP, yang harus diuruskan oleh pengguna sendiri. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan