Ejen hartanah didenda S$1.16 juta; sewakan hartanah di AirBnB, HomeAway
Seorang lelaki didenda sekitar S$1.6 juta pada Isnin (30 Mei) kerana menyediakan penginapan jangka pendek yang tidak diluluskan melalui wadah-wadah seperti AirBnB dan HomeAway.
Unit-unit itu termasuk hartanah seperti Caribbean di Keppel Bay dan Claremont di Killiney Road. (Petikan gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Seorang lelaki didenda sekitar S$1.6 juta pada Isnin (30 Mei) kerana menyediakan penginapan jangka pendek yang tidak diluluskan melalui wadah-wadah seperti AirBnB dan HomeAway.
Simon Chan Chai Wan, 57 tahun, menyewa 14 unit dan kemudian menyewakannya bagi penginapan jangka pendek. Teman wanita Chan, Zhao Jing, 43 tahun, didenda S$84,000 kerana bersubahat dengannya.
Denda ke atas Chan adalah jumlah paling besar yang dikenakan ke atas seseorang di Singapura bagi kesalahan sedemikian, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Dokumen mahkamah menunjukkan kedua-dua Chan dan Zhao adalah ejen hartanah berlesan pada ketika itu.
Mereka juga adalah pengarah dua syarikat - HTM Solutions dan HTM Management - selama tempoh tertentu antara 2016 hingga 2018. Chan juga adalah bekas pengarah syarikat SNS Infotech.
Dokumen mahkamah menunjukkan Chan menyewa beberapa kediaman privet untuk menawarkan penginapan jangka pendek kepada kedua-dua tetamu tempatan dan warga asing melalui tiga syarikat.
14 unit itu meliputi kawasan seperti River Valley Road, Orchard Road, Killiney Road, Robinson Road dan Keppel Bay.
Urus niaga dilakukan melalui pelbagai wadah, termasuk AirBnB dan HomeAway, yang membolehkan pengguna untuk memuat naik senarai bagi apartmen atau rumah untuk penginapan jangka pendek.
Sepanjang tempoh sewa itu, Chan dan Zhao tidak memberitahu pemilik unit-unit tersebut bahawa mereka menyewanya untuk penginapan jangka pendek. Mereka tahu bahawa perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang, menurut dokumen mahkamah.
Selain menolong Chan untuk menyewa dua unit sebagai sebahagian daripada skim tersebut, Zhao juga membantu lelaki itu menubuhkan dan menguruskan akaun-akaun di wadah AirBnB serta memuat naik senarai bagi unit-unit berkenaan.
Siasatan mendapati Chan menyediakan penginapan jangka pendek secara haram di 14 premis antara 30 Jun 2017 hingga Julai 2018. Jumlah pendapatan yang diperolehinya menerusi kegiatan itu adalah S$1,254,907.78.
Zhao dibayar S$4,000 sebulan atas bantuannya kepada Chan dalam skim itu. Antara 30 Jun 2017 hingga 3 Ogos 2018, Zhao menerima pendapatan sekitar S$52,000.
Chan mengaku bersalah atas sembilan tuduhan di bawah Akta Perancangan, dengan lima tuduhan lain dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.
Di bawah peraturan URA, semua hartanah kediaman privet yang disewakan bagi tujuan penginapan tertakluk kepada tempoh penginapan sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut.
"Pemilik hertanah juga seharusnya melaksanakan langkah-langkah ketat untuk memastikan hartanah mereka tidak dipergunakan oleh para penyewa bagi tujuan yang tidak dibenarkan," menurut URA.
"Penginapan jangka pendek tidak dibenarkan dengan pertukaran tetamu sementara secara kerap bukan sahaja mengubah sifat sesebuah hartanah tetapi juga menyebabkan kesulitan kepada penduduk berjiran.
"URA akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pesalah penginapan jangka pendek termasuk pemilik hartanah, penyewa, ejen dan sesiapa yang didapati membantu dalam kegiatan haram seumpama itu demi melindungi kepentingan masyarakat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.