EHG diharap dapat imbangi permintaan antara flat baru dengan jualan semula, kata Lawrence Wong
Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) yang diumumkan baru-baru ini, dijangka dapat mengimbangi permintaan bagi flat-flat baru dan flat-flat jualan semula, menurut Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong, dalam satu wawancara bersama stesen radio CNA938 hari ini (19 Sep).
SINGAPURA: Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) yang diumumkan baru-baru ini, dijangka dapat mengimbangi permintaan bagi flat-flat baru dan flat-flat jualan semula.
Ia antara isu-isu yang dibincangkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong, dalam satu wawancara bersama stesen radio CNA938 hari ini (19 Sep).
Buat masa ini, 75 peratus pemohon kali pertama membeli flat baru manakala 25 peratus membeli flat jualan semula.
Encik Wong berharap dengan geran tersebut lebih ramai akan memilih untuk membeli flat jualan semula agar ada keseimbangan.
"Jika kita memenuhi permintaan hanya untuk flat-flat baru, akan ada risiko sebenar pada jangka panjang memandangkan trend penduduk dan demografi yang semakin menua. Tentu sekali akan terdapat bekalan flat berlebihan di Singapura," kata beliau. "Jadi pemerintah perlu memantau keadaan, untuk mencapai keseimbangan."
Encik Wong menambah peratusan pemohon pertama kali yang membeli rumah baru masa ini adalah sangat tinggi berbanding dahulu.
"Bahkan, peratusan itu sudah lebih tinggi berbanding jumlahnya dahulu dalam sejarah. 10 tahun lalu, 55 peratus membeli flat baru dan 45 peratus membeli flat jualan semula," jelas beliau lagi.
Menjawab pertanyaan jika harga flat akan meningkat disebabkan pemberiaan geran perumahan yang dipertingkat itu, Encik Wong berkata pemerintah bersedia untuk mengambil langkah-langkah bagi memastikan perumahan awam kekal dalam kemampuan.
Menteri itu juga ditanya mengenai keputusan menarik balik sekatan terhadap jenis flat bagi mendapatkan geran .
Beliau berkata, keputusan itu diambil bukan kerana ramai tidak mampu membeli flat.
Sebaliknya, Pemerintah telah menerima maklum balas daripada para pembeli yang inginkan flat-flat lebih besar di estet matang dan mereka yang mahu membeli flat jualan semula kerana tidak mahu menunggu lama bagi flat-flat BTO.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.