EgyptAir rancang penerbangan langsung Singapura-Kaherah mulai awal 2027
Para pelancong dari Singapura mungkin tidak lama lagi dapat terbang terus ke Mesir tanpa perlu membuat persinggahan.
EgyptAir merancang untuk menawarkan penerbangan langsung antara Singapura dengan Kaherah mulai awal 2027. (Gambar: CNA)
- EgyptAir, Changi Airport Group dan Sydney Airport mengumumkan rancangan penerbangan baharu menghubungkan Kaherah, Singapura dan Sydney bermula awal 2027.
- Laluan ini akan menjadi penerbangan terus pertama dari Singapura ke Kaherah, menggunakan pesawat Airbus A350-900, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
- Perkhidmatan ini dijangka memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara Mesir, Singapura dan Australia serta menawarkan sambungan ke destinasi lain melalui rangkaian EgyptAir.
- Butiran lanjut seperti jadual dan tambang akan diumumkan kemudian, sementara kini penumpang dari Singapura ke Mesir perlu transit di negara lain.
EgyptAir, Changi Airport Group dan Sydney Airport pada Khamis (10 Sep) mengumumkan rancangan bagi perkhidmatan baharu yang menghubungkan Kaherah, Singapura dan Sydney mulai awal 2027.
Perkhidmatan yang dicadangkan itu masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia.
EgyptAir menyatakan perkhidmatan tersebut akan dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A350-900 sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperluaskan kehadiran di pasaran Asia-Pasifik.
Bagi penumpang dari Singapura, laluan itu akan menyediakan penerbangan langsung pertama ke Kaherah, selain menawarkan penerbangan sambungan menerusi rangkaian EgyptAir ke destinasi lain di Afrika, Eropah dan Timur Tengah.
Menurut kenyataan media bersama ketiga-tiga pihak, Mesir merupakan pasaran terbesar di Afrika yang belum mempunyai hubungan penerbangan langsung dengan Singapura dan Australia pada 2025, berdasarkan jumlah penumpang yang melakukan perjalanan antara destinasi-destinasi tersebut.
PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI, BUDAYA
Selain menyediakan satu lagi pilihan perjalanan, perkhidmatan itu juga dijangka memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya antara Mesir, Singapura dengan Australia.
Kaherah, ibu kota Mesir, menempatkan beberapa tarikan terkenal termasuk Piramid Giza dan Muzium Besar Mesir.
Sungai Nil turut mengalir melalui bandar itu, manakala destinasi lain di Mesir termasuk bandar peranginan Hurghada dan Sharm El-Sheikh serta Al-Alamain di pesisir Mediterranean.
Pada masa ini, para penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura ke Mesir lazimnya perlu membuat sekurang-kurangnya satu persinggahan.
Antaranya termasuk di Bahrain jika menaiki Gulf Air, Dubai dengan Emirates atau Doha dengan Qatar Airways.
Butiran lanjut mengenai perkhidmatan yang dicadangkan itu, termasuk jadual penerbangan dan tambang, belum diumumkan dan akan didedahkan EgyptAir pada tarikh kemudian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.