Skip to main content

Singapura

Edzra Iskandar terima Anugerah Presiden bagi Guru-Guru 2018

Guru Sekolah Menengah Bedok South, Cikgu Edzra Iskandar, dinobatkan antara pemenang Anugerah Presiden bagi Guru-Guru 2018 kerana inovatif dalam mendidik.

Anggaran Waktu Membaca:
Edzra Iskandar terima Anugerah Presiden bagi Guru-Guru 2018

Encik Edzra Iskandar menerima anugerah daripada Presiden Halimah Yacob (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Mengharungi ombak di laut, mendaki gunung-ganang, berjemur di bawah terik mentari. Suasana sebegini mungkin jarang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang kerjaya seorang guru di Singapura.

Namun, alam semula jadilah yang menjadi 'bilik darjah' pilihan Cikgu Edzra Iskandar untuk mendidik anak-anak muridnya selama lebih 20 tahun beliau mengajar.

Atas daya inovatif, jasa dan ketekunan beliau terhadap pembangunan menyeluruh para pelajar, Cikgu Edzra dan tujuh guru lain dipilih daripada kalangan 2,500 guru yang dicalonkan untuk menerima Anugerah Presiden bagi Guru-Guru 2018.

Pengiktirafan tempatan paling berprestij buat guru itu disampaikan di Istana oleh Presiden Halimah Yacob pada malam semalam (29 Ogos). Anak kepada Iskandar Jalil - mahaguru tembikar terkenal Singapura - ini, malah tampil lengkap berbaju kurung dan berkain samping untuk menerima anugerah tersebut, lambang seorang yang yakin dengan jati dirinya.

Related article image
Encik Edzra Iskandar sekeluarga bergambar dengan Presiden Halimah Yacob (Gambar: MCI)

(Cikgu Edzra sekeluarga bergambar dengan Presiden Halimah Yacob (Gambar: MCI))

CIRI LUAR BIASA EDZRA SEBAGAI GURU SEKOLAH

Sebagai ketua jabatan Pendidikan Jasmani (PE) dan Aktiviti Luar Darjah (CCA) di Sekolah Menengah Bedok South, Cikgu Edzra percaya bahawa meletakkan murid-murid dalam situasi mencabar di luar darjah dapat membina perwatakan mereka.

Atas dasar prinsip ini, antara pelbagai inisiatif beliau adalah menghantar murid-murid aliran Normal Teknikal dari sekolahnya untuk melalui program sukan layar - suatu aktiviti yang lazimnya dikaitkan dengan sekolah 'elit'.

"Jika mereka dapat harungi cabaran di laut dengan cekal dan dengan bekerjasama, apabila menghadapi masalah dalam pelajaran, mereka juga akan dapat mengatasinya," kata Cikgu Edzra.

Kepercayaan beliau itu ternyata membuahkan hasil: Rekod kedatangan dan kes disiplin murid-murid melihatkan perubahan kepada positif selepas setiap program luar darjah yang dianjurkan.

Related article image
Cikgu Edzra Iskandar beraksi di padang bersama seorang murid (Gambar: MOE)

Namun beliau akur, tidak semua murid akan memberi reaksi positif secara serta merta kepada program yang beliau anjurkan.

"Jika kita hanya terlalu fikirkan tentang satu, dua murid yang tidak memberi respons baik sahaja, kita mungkin akan mudah putus asa.

"Kita mesti tumpukan juga pada manfaat yang boleh diraih oleh majoriti murid, dan terus berusaha. Setiap murid adalah penting," kongsi Cikgu Edzra kepada BERITAmediacorp.

JASA EDZRA DIKENANG HINGGA SELEPAS SEKOLAH

Syed Nooh Syed Alwee Zaaheir, seorang murid menengah tiga, menyifatkan Cikgu Edzra sebagai guru yang "penyayang" yang sentiasa bertanya tentang masalah yang dilalui murid-muridnya.

Malah keprihatinan beliau terhadap anak-anak didiknya menjangkaui premis sekolah.

Cikg Edzra berkongsi bahawa beliau pernah pada satu ketika berkunjung ke penjara untuk melawat dan memberi dorongan kepada seorang bekas murid.

Bekas murid itu selepas beberapa tahun keluar dari sekolah, tersilap langkah lalu terjebak dengan jenayah.

Meskipun sudah bertahun-tahun berpisah, murid itu masih teringat tentang keprihatinan yang pernah ditunjukkan guru itu lantas menghubungi beliau melalui sepucuk surat untuk mencari sokongan.

ISKANDAR JALIL: AYAH & PERAN CONTOH BAGINYA

Walaupun ayahnya seorang penerima Pingat Budaya dan mahaguru tembikar bertaraf antarbangsa yang sangat disegani, minat Edzra pula jelas terletak pada kegiatan fizikal dan luar darjah. Namun demikian, 'Cikgu Iskandar Jalil' tetap menjadi sumber inspirasi bagi Edzra yang mengikut jejak ayahnya dan menjadi seorang Cikgu.

Related article image
Encik Iskandar Jalil. 

(Encik Iskandar Jalil (Gambar: BERITAmediacorp))

Selain mendorongnya untuk menceburi bidang sukan dan kegiatan lasak sejak usia muda sebagai pembina perwatakan, ayahnya juga banyak membentuk kerjayanya.

"Beliau akan sering bertanya tentang kerja saya, dan akan menyoal saya, membuat saya fikir balik tentang apakah cara terbaik untuk melakukan kerja-kerja saya," kata Cikgu Edzra tentang ayahnya.

Tambahnya lagi, amat mudah untuk seseorang yang sudah berpuluh tahun bekerja untuk mengambil pendekatan 'copy and paste' - iaitu sekadar mengulangi apa yang pernah dilakukan.

Namun, melihat bagaimana Encik Iskandar terus berinovasi dan memberikan usaha terbaik dalam setiap ciptaannya walaupun selepas berdekad-dekad berkarya, Cikgu Edzra memilih untuk turut menerapkan semangat dan falsafah tersebut dalam kerjayanya sendiri.

"Paling penting sekali, ayah sentiasa menasihatkan saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Bukan dalam bentuk wang, tapi ilmu dan tenaga," kata beliau.

Berkongsi perasaannya tentang anugerah yang beliau sifatkan sebagai pengiktirafan buat "semua guru", Cikgu Ezra berkata: "Menerima anugerah tidak pernah sesekali menjadi satu sasaran. Namun, ia ibarat satu pengesahan bahawa usaha yang saya lakukan berada di landasan yang betul.

"Sekaligus ia menjadi pendorong untuk saya terus melakukan yang terbaik, kerana dalam kerjaya yang panjang ini, tidak lari daripada sebilangan pihak sinis yang kadangkala mempersoalkan apa yang anda lakukan," kata beliau.

"Lebih penting lagi, ini juga satu pengiktirafan terhadap sokongan daripada keluarga dan rakan sekerja."

Related article image
Para penerima Anugerah Presiden bagi Guru-Guru 2018 bersama Presiden Halimah Yacob dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung (Gambar: MCI)

7 FINALIS LAIN TURUT DIIKTIRAF TERMASUK ENCIK KHALID KASSIM

Selain Cikgu Edzra, tujuh orang guru atau pensyarah dari pelbagai sekolah atau institusi lain yang dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru-Guru tahun ini ialah Cik Goh Wai Leng dari Sekolah Rendah Geylang Methodist; Puan S Nirmala Devi dari Sekolah Rendah Guangyang; Encik Matthew Ong dari Sekolah St Andrew's Junior; Cik Ng Sheh Feng dari Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim; Dr Lim Yi-En dari Maktab Rendah Kebangsaan; Encik George Teo dari Polyteknik Singapura; dan Cik Tan Lay Khee dari Politeknik Temasek.

Selain lapan penerima anugerah tahun ini, tujuh finalis lain yang tidak terpilih selaku pemenang, turut diiktiraf atas sumbangan masing-masing. Mereka akan menerima geran pembangunan profesional untuk menghadiri sebarang sidang setempat atau di luar negara.

Salah seorang finalis ialah Encik Khalid Kassim, yang mengajar kursus kejuruteraan mekanikal di ITE Kolej Timur.

Related article image
Encik Khalid Kassim (Gambar: Deborah Wong/Mediacorp)

Bagi pensyarah mapan itu, membangunkan keyakinan pelajar bukan setakat dengan kata-kata. Mereka perlu ditunjukkan contoh bagaimana kemahiran mereka boleh digunakan dalam situasi kehidupan sehari-harian.

Lantaran itu, beliau menggalakkan para pelajarnya untuk melakukan kerja sukarela selepas sekolah, di mana mereka membantu keluarga berkeperluan untuk membetulkan barangan elektrik di rumah-rumah mereka.

"Kebanyakan murid-murid saya tidak mencatat prestasi baik di sekolah, dan ada yang hadapi masalah di rumah. Jadi apabila mereka lihat mereka boleh manfaatkan kemahiran mereka di luar bilik darjah, keyakinan diri mereka meningkat," kata beliau.

Encik Khalid dan enam finalis lain akan menerima sijil masing-masing dalam satu majlis lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita