Skip to main content

Singapura

Edisi semakan Buku Statut S'pura akan dilancar pada 31 Dis

Sepanjang tempoh sekitar enam tahun, 30 penggubal undang-undang meneliti beribu-ribu muka surat statut Singapura untuk mengemas kini dan menjadikan bahasa kandungannya lebih mudah difahami oleh orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang tempoh sekitar enam tahun, 30 penggubal undang-undang meneliti beribu-ribu muka surat statut Singapura untuk mengemas kini dan menjadikan bahasa kandungannya lebih mudah difahami oleh orang ramai.

Prosesnya kini selesai dan Buku Statut yang disemak itu akan dilancarkan pada 31 Disember, meliputi lebih 500 Akta Parlimen yang terkandung dalam hampir 27,000 halaman.

Ia juga merupakan semakan menyeluruh yang pertama terhadap undang-undang Singapura sejak 1985. Edisi ketika itu, yang berkuat kuasa pada 1987, mengandungi 387 Akta dan sekitar 8,000 halaman.

Semakan itu dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Semakan Undang-Undang.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan tahap pembacaannya supaya lebih ramai yang faham tentang undang-undang tanpa perlu berbuat demikian melalui peguam, kata Ketua Peguam Perundangan AGC Jeanne Lee kepada Mediacorp.

Ciri-ciri baru dan dipertingkatkan termasuk penggunaan bahasa yang dipermudahkan, menurut AGC pada Ahad (19 Dis).

"Bahasa Inggeris biasa digunakan selagi boleh termasuk bahasa neutral jantina. Perkataan lapuk dan ungkapan panjang digantikan dengan alternatif yang lebih mudah tanpa menukar maksud sebenar," tambah AGC.

Perkataan "harus" misalnya, akan digantikan dengan perkataan "mesti" di mana bersesuaian, manakala seseorang yang berdepan dengan tuduhan dadah pula akan dirujuk sebagai "defendan" dan bukan lagi "dia".

Petikan teks juga akan diperhalusi agar lebih bermaklumat, menurut AGC.

Selain itu, sejarah undang-undang yang lebih menyeluruh bagi setiap Akta turut disemak.

Sekalipun sejarah undang-undang disediakan dalam edisi-edisi lalu, edisi terkini mengandungi maklumat tambahan mengenai perkembangan rang undang-undang, pindaan yang dibuat terhadap sesuatu Akta dari semasa ke semasa dan butiran-butiran lain.

Maklumat tentang akta-akta lalu yang sudah dimansuhkan turut disertakan dan dipaparkan dalam bentuk gambar rajah supaya lebih mudah difahami.

ASAL USUL PROJEK

Asal usul inisiatif untuk menyemak bahasa yang digunakan dalam undang-undang Singapura bermula dengan projek PLUS atau 'Plain Laws Understandable by Singaporeans' yang dimulakan pada 2013.

Walaupun tarikh mula rasmi bagi semakan itu adalah pada 2017, lebih daripada 60 pegawai mula meletakkan asas bagi semakan tersebut sejak 2015.

Matlamat keseluruhan projek itu adalah untuk memastkan undang-undang Singapura boleh difahami dan diakses oleh orang awam, kata Cik Lee kepada Mediacorp.

"Kami sudahpun mula mengubah cara menggubal undang-undang baru. Namun, semakan terhadap keseluruhan buku statut ini merupakan satu-satunya cara kita boleh cuba mengemas kini kesemua undang-undang lama dan terkini," katanya lagi.

Beliau menambah bahawa semakan itu tepat pada masanya kerana kali terakhir semakan menyeluruh seumpama itu dijalankan adalah pada 1985.

Banyak Akta baru sudah dikuatkuasakan dan akta-akta sedia ada pula sudah dipinda secara menyeluruh sejak itu.

Edisi Semakan 2020 boleh diakses menerusi laman Singapore Statutes Online dan dalam bentuk salinan keras.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita