Skip to main content

Singapura

Edisi Raikan Ilmu 2026 terbesar dianjurkan sejak lebih dua dekad; diperluas ke 11 bandar M³ bagi perkukuh akses pembelajaran

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 May 2026 04:07PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:34AM
SINGAPURA: Edisi Raikan Ilmu tahun ini mencatat sejarah sebagai yang terbesar sejak ia diperkenalkan pada 2002, dengan penganjuran paling lama selama lebih tiga bulan, liputan paling meluas serta penglibatan lebih 90 rakan kerjasama.

Edisi tahun ini turut menyaksikan program Raikan Ilmu@Heartlands diperluaskan ke 11 bandar M³, selain menampilkan empat acara utama di peringkat nasional.

Keseluruhan inisiatif ini bakal menampilkan lebih 100 kegiatan interaktif dan praktikal berkaitan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI), robotik, pembangunan kerjaya, kemampanan dan seni yang bertujuan memperkasakan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam masyarakat Melayu/Islam di seluruh Singapura.

Demikian diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Feroz Akber, semasa Sidang Media Raikan Ilmu 2026 di Wisma MENDAKI pada Sabtu (30 Mei).

Beliau berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Yayasan MENDAKI untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses dan relevan kepada masyarakat.

"Sejak 2002, Raikan Ilmu telah menjadi satu gerakan penting dalam masyarakat Melayu/Islam untuk meraikan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Kami mahu masyarakat melihat pembelajaran sebagai sesuatu yang dekat dan bermakna di setiap peringkat kehidupan, sambil menyemarakkan rasa ingin tahu melalui aktiviti interaktif yang menggalak pembelajaran sepanjang hayat," kata Encik Feroz.

RAIKAN ILMU@HEARTLANDS, PASTIKAN SETIAP INDIVIDU REBUT PELUANG PEMBELAJARAN

Buat julung-julung kalinya, Raikan Ilmu akan diperluaskan ke 11 lokasi kejiranan di seluruh Singapura menerusi Raikan Ilmu@Heartlands, yang akan berlangsung dari 13 Jun hingga 4 Oktober 2026, bagi memastikan setiap individu dapat merebut peluang pembelajaran di kawasan masing-masing.

Setiap lokasi Raikan Ilmu@Heartlands akan menampilkan empat zon utama yang sejajar dengan Pelan Kerja MENDAKI 2030 iaitu pelajar yang berkeyakinan, keluarga yang kukuh, pekerja yang bersedia untuk masa hadapan dan masyarakat yang terus berkembang maju.
Menurut Encik Feroz, pendekatan itu diambil selepas MENDAKI menerima maklum balas dari masyarakat yang inginkan lebih banyak program di kawasan kejiranan masing-masing.

"Kami juga ingin memastikan lokasi-lokasi yang dipilih meliputi pelbagai kawasan secara menyeluruh, supaya setiap orang berpeluang merasai pengalaman pembelajaran sama ada di rumah atau di kejiranan mereka sendiri," kongsi Encik Feroz.

Beliau menegaskan bahawa objektif utama adalah untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses buat semua lapisan masyarakat.

Encik Feroz berkata fokus Raikan Ilmu kekal konsisten dengan Visi MENDAKI 2030 yang menekankan kepentingan pembelajaran sebagai satu proses sepanjang hayat.

“Pembelajaran itu bermakna dan pelajaran itu adalah penting bagi setiap peringkat kehidupan. Dan itu tidak tukar dalam apa kita lakukan untuk meraikan ilmu,” kata Encik Feroz.
Related article image
(Dari kiri) Dr Noraslinda Zuber, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI dan Pengerusi Raikan Ilmu 2026, serta Encik Feroz Akber, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, di Sidangan Media Raikan Ilmu 2026. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
4 ACARA UTAMA DALAM RAIKAN ILMU 2026

Selain aktiviti-aktiviti di kawasan kejiranan, Raikan Ilmu 2026 turut menampilkan empat acara utama yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Expo Marina Bay Sands dari 9 hingga 11 Julai.

“Acara Simposium MENDAKI, #MakingConnections, YOUth@M³+ dan Wacana Kita akan menghimpunkan penggubal dasar, karyawan, belia dan pemimpin masyarakat untuk membentuk idea, memperkukuh kerjasama dan menentukan hala tuju masa hadapan masyarakat Melayu/Islam," kongsi Encik Feroz.

Menurutnya setiap acara mempunyai objektif tersendiri namun berkongsi matlamat yang sama iaitu menyediakan ruang dialog dan pertukaran idea yang bermakna.

“Setiap acara utama itu ada objektifnya sendiri, iaitu memberi kesempatan untuk berdialog, untuk mendengarkan pertengahan idea-idea supaya masyarakat boleh bersatu-padu.

“Pertukaran idea itu sangat penting dan intipati yang kita mahu dipertengahkan dalam acara ini adalah penting supaya masyarakat Melayu/Islam boleh maju ke hadapan dengan hala tuju yang sama," kata Encik Feroz.

JANGKAUAN LEBIH LUAS, KERJASAMA DENGAN 90 RAKAN KONGSI

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Dr Noraslinda Zuber, berkata peluasan program ke kawasan kejiranan membolehkan lebih ramai anggota masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif pembelajaran tersebut.

Beliau berkata landskap kejiranan yang pelbagai membolehkan program disesuaikan untuk ibu bapa, pelajar, belia serta golongan pekerja.

“Apabila kami membawa acara-acara ini dengan rakan-rakan kongsi kami daripada korporat, daripada masyarakat dan juga agensi nasional, membawanya ke kawasan kejiranan memberikan kami keupayaan untuk lebih memberikan kami jangkuan kepada masyarakat di sana," kata Dr Noraslinda.
Related article image
Keluarga berinteraksi dengan aktiviti simulasi dron oleh Politeknik Ngee Ann, rakan kongsi baharu Raikan Ilmu@Heartlands, untuk membina masyarakat yang berdaya tahan melalui pendedahan kepada idea-idea baharu, kemahiran serta perspektif global.(Gambar: Yayasan MENDAKI)
Dengan lebih 90 rakan kongsi daripada sektor masyarakat, korporat, institusi pengajian tinggi dan media, Raikan Ilmu 2026 dijangka menjadi antara platform pembelajaran masyarakat yang paling komprehensif di Singapura.

Antara rakan kongsi utama termasuk Families for Life, Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), SkillsFuture Singapore, VM Education, PPIS, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan rakan media seperti BERITA Mediacorp.

Seiring usaha memperluas akses pembelajaran di peringkat kejiranan, rakan kerjasama turut menyambut baik penganjuran Raikan Ilmu 2026.

"Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada Raikan Ilmu 2026. Kerjasama ini merupakan usaha berterusan kami dengan MENDAKI dalam membawa peluang pembelajaran, kemahiran dan pembangunan kepada penduduk.

"Kami harap keluarga dan penduduk akan merebut peluang ini untuk belajar bersama dan membina kemahiran baharu," kata Pengerusi M³@Geylang Serai, Firdaus Ghazali.

Pelancaran rasmi Raikan Ilmu 2026 akan berlangsung di Our Tampines Hub pada 13 Jun sebelum siri aktiviti diteruskan ke 11 kawasan kejiranan lain termasuk Tampines, Jurong, Toa Payoh, Nee Soon, Woodlands dan Punggol sehingga Oktober.
Related article image
(Gambar: Yayasan MENDAKI)
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita