Edisi ketiga siri video Taman Warisan Melayu papar 4 tokoh kraf seni Melayu SG
(Dari kiri atas ke kanan bawah) Yaziz Hassan, Tumadi Patri, Abdul Wahab Abdullah dan Hamzah Mohamad adalah empat tokoh kraf Melayu yang diketengahkan dalam edisi ketiga Siri Warisan Budaya Tidak Ternilai oleh Taman Warisan Melayu (TWM). (Gambar: TWM)
SINGAPURA: Meskipun hasil seni seperti gendang, songkok dan batik tulis tidak asing dalam masyarakat Melayu, tidak ramai menyedari betapa tinggi nilai kemahiran dan ketelitian yang diperlukan untuk menghasilkannya.
Namun, dengan jumlah pengamal yang kian menyusut, warisan itu berkemungkinan menghilang ditelan arus masa.
Bagi menggalak penghargaan terhadap seni warisan Melayu itu, Taman Warisan Melayu (TWM) kembali dengan edisi ketiga Siri Warisan Budaya Tidak Ternilai (ICH).
Inisiatif yang dimulakan pada 2023 itu melibatkan penerbitan video yang meraikan, memelihara dan menonjolkan kekayaan warisan budaya masyarakat Melayu Singapura.
Edisi kali ini menyusuri kisah dan sumbangan empat tokoh kraf seni Melayu tempatan, iaitu:
- Yaziz Hassan: Pengarah kumpulan muzik Nadi Singapura yang aktif dalam seni gendang Melayu mahupun pembikinan alat muzik tradisional sejak berusia 13 tahun.
- Hamzah Mohamad: Nelayan asal Pulau Sudong yang mahir membuat bubu - perangkap ikan tradisional daripada dawai ayam - dan masih turun ke laut pada setiap hujung minggu.
- Abdul Wahab Abdullah: Pembuat songkok terakhir di Singapura dengan lebih 40 tahun pengalaman.
- Tumadi Patri: Artis batik yang mempunyai lebih empat dekad pengalaman dan aktif menganjurkan bengkel di bawah jenama perniagaannya, "Tumadi Traditional Batik Painting".
Mengulas mengenai pemilihan fokus bagi edisi ketiga, Pengurus Besar TWM, Hafiz Shariff menjelaskan bahawa "edisi kali ini menonjolkan kemahiran dan amalan tradisional yang semakin berkurangan bilangan pengamalnya".
"MHC ingin menonjolkan ketabahan dan semangat para pengamal dalam meneruskan kraf seni mereka, agar warisan budaya ini terus hidup dan diwarisi," kata beliau.
BELIA SASARAN UTAMA INISIAITIF INI
Bak pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Bagi menarik minat golongan belia, TWM memilih menghasilkan format video pendek agar lebih mudah mendapat perhatian penonton dan memudahkan belia menghayati kisah tokoh yang diketengahkan.
Malah, TWM bekerjasama dengan beberapa Sahabat Sastera yang dilantik Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) untuk menulis karya mengenai tokoh yang dipaparkan.
Sebagai Sahabat Sastera, mereka digalak menganjurkan perbincangan kritis tentang sastera dan bahasa Melayu di Singapura.
Justeru, inisiatif TWM menyediakan wadah yang sesuai untuk membangkitkan semangat belia dalam memperkaya wacana tersebut. Ia juga selaras dengan usaha mendokumentasikan inisiatif ICH.
"Menerusi siri ini, MHC berharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menghargai seni dan kraf seni tradisional Melayu dengan mendekatkan mereka kepada kisah-kisah tokoh-tokoh ini," terang Encik Hafiz kepada BERITA Mediacorp.
"Matlamatnya adalah untuk memastikan amalan warisan ini kekal hidup dan relevan, agar ia terus berkembang serta dihargai oleh generasi akan datang."
Kisah empat tokoh yang ditampilkan dalam edisi ketiga ICH boleh ditonton menerusi wadah Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube TWM, dari 12 September hingga hujung Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.