Skip to main content

Singapura

Edisi keempat Perbincangan Rangkaian Karyawan MENDAKI tekankan peranan bimbingan, rangkaian dalam pembangunan bakat

Anggaran Waktu Membaca:
Edisi keempat Perbincangan Rangkaian Karyawan MENDAKI tekankan peranan bimbingan, rangkaian dalam pembangunan bakat

Siri Perbincangan Rangkaian Karyawan MENDAKI turut menyediakan wadah bagi peserta berinteraksi dengan pelajar, penyelidik dan karyawan lain, sekali gus membina rangkaian baharu serta bertukar pandangan mengenai kerjaya, inovasi dan peluang dalam sektor sains hayat. (Gambar: MENDAKI)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 06:58PM
SINGAPURA: Akses kepada bimbingan dan rangkaian profesional perlu diperluas bagi memastikan lebih ramai belia Melayu/Islam dapat merebut peluang dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi di Singapura.

Demikian antara tumpuan edisi keempat Siri Perbincangan Rangkaian Karyawan MENDAKI, yang menghimpunkan sekitar 100 belia, pelajar, penyelidik dan karyawan bagi meneroka peluang dalam bidang sains hayat serta mendapatkan pandangan daripada tokoh industri.

Diadakan di The Exchange Auditorium, Singapore Land Tower pada 28 Ogos, sesi berjudul 'Beyond Breakthroughs: Inspiring Leadership, Innovation and Impact' itu memberi peserta peluang mendapatkan pandangan mengenai kepimpinan, inovasi dan pembangunan bakat, selain membina hubungan dengan mereka dalam industri.

Antara fokus utama perbincangan ialah peranan pembangunan bakat dan kerjasama dalam membentuk masa depan sektor sains hayat.

Para peserta memperoleh pandangan berharga tentang cara membina kemahiran yang bersedia menghadapi masa depan, menjalin kerjasama bermakna serta membangunkan rangkaian profesional yang kukuh bagi memacu inovasi dan mewujudkan peluang untuk generasi akan datang.

Sokongan sedemikian, menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, semakin penting sedang Singapura terus mewujudkan peluang dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi.

“Sedang Singapura terus mewujudkan peluang dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi, kita perlu memastikan masyarakat kita mempunyai akses kepada bimbingan, rangkaian dan sokongan yang diperlukan untuk merealisasikan aspirasi mereka,” ujarnya.

BIMBINGAN BUKA PINTU KEPADA PELUANG

Encik Zaqy turut memetik hubungan antara Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi di Hospital Pakar dan Pusat Penyelidikan King Faisal, Profesor Jackie Ying, dan penyelidik Dr Nadjad Abdul Rahim, sebagai contoh bagaimana bimbingan dapat membuka jalan kepada peluang lebih besar.

Menerusi Project Protégé pada 2012, Prof Ying membimbing golongan muda Muslim Singapura termasuk Dr Nadjad, sekali gus membantu mereka melihat potensi untuk membina kerjaya dalam bidang penyelidikan, sains dan inovasi.

Semasa pandemik COVID-19, kedua-duanya kemudian mendapat pengiktirafan atas pembangunan CEPAT, kit ujian COVID-19 pantas dan kos rendah yang mampu memberikan keputusan dalam kira-kira lima minit.

Menurut Encik Zaqy, perjalanan mereka menunjukkan bahawa bimbingan melangkaui perkongsian ilmu.

“Bimbingan adalah tentang membuka pintu, membina keyakinan dan membantu golongan muda melihat apa yang mampu mereka capai,” katanya.

Usaha membina ekosistem sokongan sedemikian turut diteruskan menerusi Rangkaian Karyawan MENDAKI yang ditubuhkan pada 2022.

Ia kini merangkumi 16 rangkaian dengan lebih 1,300 anggota, termasuk Rangkaian Sains Hayat yang menghubungkan karyawan dalam bidang tersebut.

Antara usaha yang dijalankan Rangkaian Sains Hayat termasuk sesi bersama pengamal industri daripada Novartis, Amgen dan GSK, lawatan pembelajaran ke Protein Innovation Centre serta penerokaan kerjaya menerusi Bengkel Nadi Innovasi di Raikan Ilmu.

RANGKAIAN BUKA RUANG TEROKA KERJAYA

Peluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang itu turut memberi manfaat kepada golongan muda yang masih menentukan langkah kerjaya masing-masing.

Antaranya Cik Nur Syuhadaa Ahmad Burhaanuddin, 23 tahun, lulusan Bioperubatan yang kini mengambil tahun jeda untuk menimba pengalaman menerusi kerja sukarela, pekerjaan dan peluang mengikuti petugas di hospital sebelum mengejar cita-citanya untuk menjadi doktor.

Bagi Cik Nur Syuhadaa, perkongsian Prof Ying mengingatkannya tentang pentingnya mempunyai hala tuju, namun pada masa yang sama kekal terbuka terhadap laluan berbeza untuk mencapai matlamat.

“Ia mengingatkan saya bahawa mengejar sesuatu yang bermakna tidak semestinya bermakna mengambil laluan paling konvensional dan tidak mengapa sekiranya perjalanan saya mengambil masa lebih lama daripada orang lain,” katanya.

Beliau memilih untuk melihat tahun jedanya sebagai peluang untuk meneroka dan mengumpul pengalaman yang dapat membantunya menentukan langkah seterusnya.

Bagi Encik Zaqy, usaha membina generasi pelapis itu juga memerlukan mereka yang sudah berjaya untuk terus memainkan peranan.

Beliau berharap lebih ramai karyawan, mentor dan sukarelawan tampil berkongsi masa, kepakaran dan rangkaian mereka untuk membimbing golongan muda serta menyokong rakan profesional.

“Kekuatan masyarakat kita bukan sahaja terletak pada kisah kejayaan individu, tetapi pada kesediaan kita untuk mengangkat orang lain sepanjang perjalanan,” katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita