Skip to main content

Singapura

Edisi kedua SELOKAL lebih panjang, promosikan produk peniaga Melayu tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
Edisi kedua SELOKAL lebih panjang, promosikan produk peniaga Melayu tempatan

(Gambar: DPPMS)

Diterbitkan : 02 Dec 2024 06:59PM
SINGAPURA: Edisi kedua pasar SELOKAL anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kembali lebih meriah tahun ini dengan acara diperluaskan kepada tiga hari berbanding dua hari tahun lepas.

Inisiatif pasar SELOKAL itu memberi peluang kepada syarikat dan usahawan Singapura dan baru menapak untuk menampilkan produk atau khidmat masing-masing.

Di samping itu, usaha itu diharap dapat membantu memperkasa daya keusahawanan serta menggalakkan daya inovasi dalam kalangan peniaga Melayu tempatan.

Acara yang berlangsung di Hab Tampines Kita (OTH) pada hujung minggu lalu (29 Nov hingga 1 Dis) itu turut menawarkan pilihan perkhidmatan dan produk yang lebih pelbagai.

"Pasar SELOKAL tahun ini menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang lebih luas, termasuk tawaran unik seperti perkhidmatan sulaman yang disesuaikan dan bengkel mini melukis akrilik pada barangan peribadi," kongsi Timbalan Presiden DPPMS, Azhar Othman.

Beliau yang juga Presiden Pusat SME @ SMCCI berkongsi bahawa konsep reruai tahun ini lebih terbuka dengan kadar sewa yang lebih rendah supaya dapat menarik lebih ramai peniaga untuk menyertai acara.

"Tujuan utama SELOKAL adalah untuk menyokong perniagaan Melayu/Muslim tempatan di Singapura dengan menyediakan platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

"Acara ini bertujuan untuk memupuk semangat komuniti, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan memberi peluang jaringan kepada usahawan kecil dan sederhana (SME)," kata Encik Azhar.

Menurutnya, selain dapat meningkatkan pendedahan bagi perniagaan mereka melalui interaksi langsung dengan para pengunjung, para peniaga juga dapat meluaskan lagi jaringan kenalan perniagaan.

ENCIK MASAGOS GALAK PENIAGA GUNA MEDIA SOSIAL SECARA KREATIF UNTUK MEMPERKASA PERNIAGAAN

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut hadir dan sempat beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung pada hari terakhir acara (1 Dis).
Related article image
(Gambar: DPPMS)
Dalam satu catatan di Facebook, Encik Masagos berkata beliau sangat menggalak para peniaga untuk merebut peluang menerusi kemudahan teknologi media sosial.

"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka atas penyertaan dalam acara ini dan menggalakkan mereka untuk memanfaatkan media sosial secara kreatif bagi memperluaskan jangkauan serta menarik pelanggan yang lebih luas.

"Langkah ini juga akan membantu mengukuhkan daya tahan perniagaan kerana mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada model perniagaan tradisional," tulis Encik Masagos.

Beliau juga memberi penghargaan kepada DPPMS atas peranan penting mereka dalam memperkasa perniagaan tempatan dan menyediakan wadah bagi para peniaga untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan unik mereka.

"SELOKAL bukan sahaja mengeratkan semangat kemasyarakatan malah mengukuhkan ekonomi dengan mempromosikan barang buatan tempatan dan menawarkan peluang kepada usahawan kita untuk mengembangkan karya mereka.

"Saya memuji usaha DPPMS dalam menyokong para usahawan, menyediakan peluang untuk mereka berkembang, menjalin rangkaian, dan mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi dalam pasaran Singapura," kata Encik Masagos.

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dapat terus memberi sokongan kepada usahawan Melayu/Islam dan jenama tempatan kerana ia turut menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan perusahaan kecil dan sederhana di sini.

16 RERUAI DISEDIAKAN, 2 PENIAGA PERNAH SERTAI SELOKAL 2023

Seramai 16 peniaga mengambil serta tahun ini dan dua daripadanya pernah terlibat dalam SELOKAL 2023.

Antaranya ialah Cik Azie’zah Abu yang menawarkan produk daripada Iman’s Creation.

Beliau terdorong untuk sertai lagi SELOKAL setelah melihat peningkatan dalam penjualan mereka selepas menyertai acara itu.

"Kami telah menyertai SELOKAL tahun lepas dan Alhamdulillah kami mendapat sambutan dan sokongan yang menggembirakan dari para pembeli dan disebabkan sambutan yang baik, kami membuat keputusan untuk menyertai SELOKAL sekali lagi,"kata Cik Azie'zah.

Beliau yang menjual kelengkapan dan keperluan Muslimah selama 11 tahun berkongsi antara cabaran yang dihadapi perniagaannya sejauh ini.

"Cabaran yang dihadapi oleh peniaga Melayu adalah kebanyakan antara kami menjual barang-barang atau keperluan yang sama. Namun cara kami mengatasinya adalah dengan sokongan yang diberi oleh para pelanggan kami.

"Kami cuba untuk melihat pada keinginan dan keperluan mereka dengan itu kami menjual seperti apa yang mereka cari," ujar Cik Azie'zah.

Sebuah lagi perniagaan yang meraih manfaat daripada acara tahun lepas adalah Panna Cotta by Rohmini.
Related article image
(Gambar: DPPMS)
Pemiliknya, Muhammad Rauf Razali dan Eka Rohmini berkongsi bahawa acara tahun lepas memberi jenama mereka lebih banyak pendedahan kepada masyarakat umum.

Selain itu, mereka juga berpeluang menimba ilmu dan nasihat daripada peniaga berpengalaman lain termasuk Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan yang juga merupakan pemilik Selera Rasa Nasi Lemak dan CRAVE.

"Kami memilih untuk menyertai acara ini sekali lagi tahun ini kerana kami bersyukur atas apa yang kami peroleh dan pelajari dari acara tahun lalu. Kami berharap dapat mencipta lebih banyak kenangan indah tahun ini dan menjadikan acara ini sebagai inspirasi untuk kami terus berkembang.

"Melihat kembali, acara ini ibarat buku laporan kami yang mempamerkan pencapaian dan kemajuan kami sepanjang setahun ini," kongsi Cik Eka.

Antara yang menyertai acara SELOKAL buat kali pertama adalah syarikat Lina Mos Pte Ltd milik Azlina Mohamed Osman.

Beliau yang menjual minyak wangi mesra haiwan selama tiga tahun berharap acara itu dapat memberinya peluang untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Saya membuat keputusan untuk saya kembangkan perniagaan saya dari wadah online ke 'offline' dan juga berkenalan dengan para peniaga yang lain untuk bekerjasama pada masa hadapan.

"Saya berharap ramai orang dapat kenal dan ketahui produk tempatan buatan anak jati Singapura yang ada kepakaran tersendiri," kongsi Cik Azlina.

DPPMS AKAN ANJUR LEBIH BANYAK PROGRAM BANTU USAHAWAN MELAYU/ISLAM

Melangkah ke hadapan, DPPMS berkongsi akan menganjurkan lebih banyak program untuk membantu usahawan Melayu/Islam.

"DPPMS dijangka akan menganjurkan lebih banyak program seperti bengkel keusahawanan, sesi jaringan perniagaan dan inisiatif pemasaran digital untuk membantu peniaga Melayu/Islam mengembangkan kemahiran dan membina rangkaian. Acara-acara seperti bazar khas atau program mentor dan menti juga boleh diterokai bagi memberikan bimbingan kepada usahawan baharu," kata Encik Azhar.

Bulan lalu, DPPMS memperbaharui sijil Perusahaan Milik Muslim keluarannya bagi membantu perniagaan-perniagaan Muslim di negara ini.
Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita