Edisi ke-5 Bulan Bahasa @ Marsiling catat jumlah peserta paling tinggi tahun ini
SINGAPURA: Edisi kelima Bulan Bahasa @ Marsiling mencatat jumlah peserta yang tertinggi tahun ini sejak mula diadakan pada 2019.
Acara yang berlangsung di Pusat Sivik Woodlands pada Sabtu (31 Ogos) itu berjaya menarik penyertaan sekitar 1,600 pelajar daripada sepuluh sekolah di kawasan utara Singapura.
Jumlah itu tidak termasuk sokongan sekitar 200 relawan belia daripada sekolah-sekolah dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) GRC Marsiling.
MEMASTIKAN BAHASA MELAYU KEKAL RELEVAN
Di acara itu, sepuluh reruai disediakan para pelajar untuk mempamerkan penggunaan bahasa yang pelbagai dan memanfaatkan teknologi untuk menjadikan bahasa Melayu kekal relevan buat generasi muda.
Antaranya, reruai yang dikendali oleh Sekolah Rendah Fuchun di mana mereka menggunakan alat teknologi seperti 'Kahoot!' untuk permainan kata seerti atau seiras dan kata berlawan.
"Kita ada sekolah-sekolah yang menunjukkan bagaimana mereka dapat menyesuaikan penggunaan Bahasa Melayu dan juga mempelajari Bahasa Melayu dalam arena digital melalui media sosial, aplikasi dan sebagainya.
"Ia penting hari ini kerana walaupun kita mendapatkan informasi melalui saluran tradisional, kita juga mahu anak-anak kita menggunakan Bahasa Melayu dalam platform-platform media sosial dan internet dengan selesa," kata Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee, Zaqy Mohamad.
Beliau turut menekankan peri pentingnya kebolehan untuk berdwibahasa dalam kalangan golongan muda.
"Penting supaya kita selesa dengan prinsip dwibahasa di Singapura di mana walaupun kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pekerjaan ataupun bahasa di sekolah, penting untuk kita cinta dan mempraktikkan bahasa Melayu dalam pekerjaan ataupun kehidupan seharian kita," kata Encik Zaqy.
Tambah beliau, acara sebegini memberi ruang kepada para pelajar untuk saling berkongsi bagaimana bahasa boleh dipraktikkan dengan cara yang lebih seronok.
ACARA DI KAWASAN KEJIRANAN SOKONG USAHA DAN INISIATIF BULAN BAHASA
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim turut hadir untuk menyerikan acara.
"Saya berbesar hati kerana dengan inisiatif ini di dalam kawasan kejiranan seperti Woodlands dan Marsiling, kita telah menyaksikan perhimpunan terbesar daripada peserta daripada sekolah menengah, sekolah rendah, institut pengajian tinggi yang terbesar di kawasan utara kita," kata Encik Zhulkarnain.
Beliau menambah bahawa acara itu dapat menyokong dan memperkasa inisiatif dan usaha Bulan Bahasa dengan tema 'Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita'.
"Tema Bulan Bahasa ini untuk mendekatkan diri dengan lebih rapat lagi dengan golongan belia kita. Jadi dengan para peserta melibatkan unsur-unsur elemen seperti bahasa, budaya dan nilai masyarakat kita, kita dapat lebih menyantuni belia kita supaya lebih dekat dengan bahasa kita dan mendalami minat dalam bahasa Melayu kita," tambah Encik Zhulkarnain.
PARA PELAJAR TERUJA DAPAT TURUT SERTA
Para pelajar yang ditemui Berita Mediacorp teruja dengan kegiatan yang disediakan dan ilmu-ilmu yang dapat mereka raih daripada acara tersebut.
"Saya rasa sangat bertuah untuk mewakili sekolah saya. Saya juga dapat berkongsi apa yang saya belajar di sekolah. Saya juga dapat pelajari perkara-perkara lain daripada reruai-reruai lain," kata pelajar dari Sekolah Menengah Marsiling, Md Anshari Sarioon.
Seorang lagi pelajar dari Sekolah Menengah Marsiling, Maria Dabus Davinsa Danggus berpendapat bahawa ia penting untuk melestarikan bahasa Melayu.
"Pada pendapat saya, ia sangatlah penting kerana jikalau kita merupakan orang Melayu yang tidak boleh berbahasa Melayu itu sangatlah memalukan dan saya juga ingin orang Melayu untuk melestarikan budaya kita supaya ia tidak pupus," katanya.
Muhammad Arif Zikry Muhamad Azrin dari Sekolah Rendah West View pula berkata acara itu memberinya peluang untuk mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayu beliau.
Katanya, "Saya berpeluang untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan mereka yang datang ke reruai sekolah saya. Pada pendapat saya, bahasa Melayu penting kerana bahasa Melayu merupakan warisan kita"
Selain sekolah rendah dan menengah, acara itu turut disertai Politeknik Ngee Ann dan Tadika Masjid An-Nur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.