Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Edisi ke-4 kuiz Cepat Tepat kembali semula di Suria selepas 10 tahun

Menguji minda dan penguasaan Bahasa Melayu para pelajar sekolah rendah dengan cara interaktif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menguji minda dan penguasaan Bahasa Melayu para pelajar sekolah rendah dengan cara interaktif.

Itulah matlamat edisi ke-4 Kuiz Cepat Tepat anjuran Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) sempena Bulan Bahasa tahun ini.

Kali terakhir ia dianjurkan ialah pada 2012.

Para pelajar dari lapan buah sekolah rendah akan bersaing dalam pusingan suku akhir Cepat Tepat yang akan disiarkan di saluran Suria pada malam ini (19 Ogos) dan 26 Ogos.

Mereka dipilih daripada 84 sekolah dari seluruh Singapura dalam pusingan pertama pertandingan itu.

Para peserta akan diuji daripada segi kemahiran dan pengetahuan budaya dan juga bahasa Melayu dalam suasana yang kreatif dan menyeronokkan.

"Cepat Tepat bertujuan untuk para pelajar memperdalamkan pengetahuan mereka dalam bahasa dan budaya Melayu. Dalam setiap pusingan, para pelajar akan menjawab soalan dalam pelbagai bentuk seperti melengkapkan ayat dan soalan aneka pilihan.

"Ada juga soalan yang memerlukan pelajar untuk menyatakan peribahasa yang sesuai berdasarkan senario yang diberikan," kata Sekretariat MLLPC, Encik Mohammad Fahmy Abdul Ghani.

Salah satu sekolah yang mara ke peringkat suku akhir adalah Sekolah Rendah Naval Base.

Guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Naval Base, Cikgu Rohani Ahmad Asi berkata murid-muridnya mengambil masa tiga minggu untuk mempersiapkan diri untuk bertanding dalam peringkat suku akhir.

"Kami mengadakan beberapa tahap bagi persiapan ini iaitu pada tahap yang pertama, kami berikan mereka bahan penggayaan di mana ia mencakupi aspek Bahasa, sastera, budaya dan juga sejarah.

"Pihak sekolah berharap dengan peluang ini murid dapat memperkasa Bahasa mereka dan dapat membina keyakinan diri. Pada masa yang sama, ini adalah satu pendedahan yang baik kepada mereka supaya ini adalah satu pengalaman yang mereka tidak akan dapat dalam situasi bilik darjah," kata Cikgu Rohani.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Bagi dua murid sekolah itu yang mengambil bahagian, peluang ini satu pengalaman yang bernilai.

"Sebagai salah seorang peserta dalam pertandingan Cepat Tepat, saya berasa syukur kerana diberi peluang untuk mengharumkan nama sekolah dan juga membanggakan ibu bapa saya," kata murid Darjah 6, Qistina Zahra.

"Saya berasa gembira dapat mengalami pengalaman ini pada masa yang sama saya juga berasa takut kerana soalan-soalannya agak mencabar," kata murid Darjah 6, Nur Qistina Erwan.

Sekolah-sekolah yang akan bersaing dalam pusingan suku akhir Cepat Tepat adalah:

- Sekolah Rendah Perempuan Raffles
- Sekolah Rendah Hougang
- Sekolah Rendah Telok Kurau
- Sekolah Rendah Qihua
- Sekolah Rendah Henry Park
- Sekolah Rendah Marsiling
- Sekolah Rendah Naval Base
- Sekolah Rendah Bukit View

Beberapa lagi sekolah yang tidak berjaya mara ke peringkat suku akhir pula berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan Cepat Tepat di stesen radio Ria 897 dan Warna 942 pada 12 hingga 16 September.

Rancangan Kuiz Cepat Tepat akan disiarkan di saluran Suria pada setiap hari Jumaat mulai 19 Ogos hingga 16 September pada pukul 8.30 malam.

Pusingan akhirnya akan disiarkan pada 16 September.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan