Skip to main content

Singapura

Edisi ke-23 'Ramadan On Wheels' 4PM bantu 575 keluarga, naik 20%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Mar 2024 07:37PM Dikemas Kini : 29 Mar 2024 11:51PM
SINGAPURA: Edisi ke-23 program Roda-Roda Ramadan (ROW) anjuran 4PM tahun ini membantu 575 keluarga dan warga tua memerlukan.

Bilangan itu adalah 20 peratus lebih banyak berbanding penerima tahun lalu.

Acara pengagihannya di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) petang Jumaat (29 Mac) diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee.

Seramai 150 relawan ditugaskan untuk mengagih-agihkan hamper dan baucar kepada lebih 400 penerima di merata negara.

Mereka dalam kalangan 300 relawan yang menyumbang masa dan tenaga sepanjang hari bagi usaha murni ini.

Setiap keluarga menerima hamper Hari Raya dan baucar barangan runcit berjumlah $300 kesemuanya.

Ia mengandungi barangan keperluan asas seperti beras dan minyak, antaranya juga juadah lebaran seperti serunding, kuih-muih dan ketupat segera.

Selain itu, kira-kira keluarga memerlukan yang hadir petang tadi juga berpeluang memilih barangan asas lain tambahan mengikut keperluan mereka di kaunter-kaunter yang disediakan.
Related article image
JUMLAH BANTUAN DIPERLUASKAN

Pengerusi Jawatankuasa Ramadan On Wheels 2024,Nurul Eriyanie Mohd Nazri, berkongsi bersama wartawan Nurfazirah Azman bahawa bantuan yang dipertingkat itu bagi memenuhi permintaan jumlah permohonan bantuan yang meningkat.

"Tahun ini, 4PM mendapat permohonan bantuan yang tertinggi. ROW tahun ini akan membantu lebih daripada 575 keluarga yang kurang berkemampuan yang mempunyai anak-anak yang bersekolah dan warga emas yang memerlukan sokongan," kata Cik Eriyanie.

Cik Eriyanie turut berkongsi bahawa ada penerima bantuan daripada tahun-tahun yang lalu yang tampil menjadi sukarela tahun ini.

"Ini adalah sesuatu yang amat menyayat hati untuk kita di 4PM kerana kami menyasarkan untuk membantu mereka tetapi mereka juga mendapat inspirasi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kongsi Cik Eriyanie.
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Ramadan On Wheels 2024,Nurul Eriyanie Mohd Nazri.
RELAWAN TERUS TABUR BAKTI SELAMA HAMPIR 2 DEKAD

Encik Bahari Rajab yang sudah menjadi relawan ROW sejak usianya 19 tahun, berbesar hati dapat terus menabur bakti dalam usaha murni ini.

"Bagi saya antara amalan yang mulia semasa bulan Ramadan ialah kita menderma ataupun berbakti. Bagi saya antara cara untuk bersedekah ialah saya memberikan tenaga dan juga masa saya kepada projek yang baik seperti ini.

"Saya mula dengan mengikut pemandu menghantar makanan. Di situ saya lihat mereka berinteraksi dengan penerima dan saya rasa teruja dengan cara mereka berkomunikasi," kongsi Encik Bahari.

Beliau turut berkongsi kepuasan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Apabila saya hantar barangan kepada penerima, mereka akan sentiasa tersenyum dan mengucapkan terima kasih dan sangat-sangat bersyukur dengan apa yang diberikan.

"Walaupun pada saya habuan itu tidaklah seberapa tetapi dengan kesyukuran yang mereka ucapkan dengan doa yang mereka berikan sangatlah mengharukan diri saya, kata Encik Bahari.

Tambahnya acara itu juga salah satu cara beliau dapat bertemu lagi dengan rakan-rakan lama dan baharu.

Encik Bahari berharap usaha itu dapat menarik lebih ramai relawan muda untuk menyumbang kembali kepada usaha ROW.
Related article image
Bahari Rajab, Relawan Ramadan On Wheels.

USAHA TARIK RELAWAN BAHARU, INGIN PERKUKUH KERJASAMA

Di samping itu, 70 relawan baharu dari syarikat Warees Investments turut mengambil bahagian.

"Kami mendapati bahawa arah 4PM memang sepadan dengan Warees Investments iaitu mereka fokus kepada para pelajar dan juga para pemuda pemudi.

"Kami berharap sumbangan kami tahun ini boleh memberikan pertolongan kepada golongan yang memerlukan supaya mereka tidak ketinggalan dan mereka boleh memperbaiki diri mereka sendiri. Dan sudah tentu kami juga mengharapkan usaha tahun ini boleh memberikan kebahagiaan dan keselesaan terhadap keluarga-keluarga tersebut," kata Pengurus Pembangunan Korporat, Warees Investments, Zaki Masturi.

Related article image
Relawan Warees Investments
Melihat sambutan yang memberangsangkan, para relawan syarikat itu berharap dapat terlibat lagi dalam inisiatif serupa dalam tahun-tahun mendatang.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita