The Edge mohon maaf 2 Menteri SG berhubung rencana banglo GCB
Laman berita perniagaan The Edge Singapore memohon maaf kepada Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Selasa (24 Dis) berhubung rencana Bloomberg yang diterbitkan semula oleh The Edge di laman webnya.
Artikel bertajuk 'Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy', menjadi tajuk yang dikenakan arahan pembetulan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) yang dikeluarkan kepada beberapa entiti pada Isnin (23 Dis).
Artikel itu menyentuh tentang urus niaga Banglo Kelas Baik (GCB) di Singapura dan artikel tersebut turut menyelitkan beberapa kenyataan yang kemudian dikenal pasti oleh pemerintah sebagai kepalsuan.
Encik Shanmugam dan Dr Tan, yang disebut dalam artikel itu, menyifatkan artikel tersebut mencemarkan nama baik mereka dan menyatakan pada 16 Dis - empat hari selepas artikel itu mula-mula diterbitkan di Bloomberg - bahawa mereka akan mengeluarkan Surat Tuntutan kepada Bloomberg dan agensi berita lain yang menerbitkan semula artikel berkenaan secara keseluruhan atau sebahagian daripadany.
Pada Selasa (24 Dis), The Edge menyatakan bahawa ia sedia maklum mengenai artikel yang diterbitkan semula itu dan catatan yang dimuat naik ke Facebook "bermaksud dan difahami bermaksud bahawa (Encik Shanmugam/Dr Tan) mengambil kesempatan daripada tiada semakan atau keperluan untuk mendedahkan mereka membeli hartanah dengan cara yang tidak telus dan (Encik Shanmugam/Dr Tan) ingin menyembunyikan transaksi (mereka) dan mengelakkan penelitian, termasuk tentang kemungkinan berlaku pengubahan wang haram".
Catatan Facebook itu berbunyi: "Bloomberg menyatakan lebih ramai orang membeli rumah menggunakan kuasa amanah, menyembunyikan identiti pemilik."
The Edge mengakui bahawa "dakwaan tersebut adalah palsu dan sama sekali tidak berasas".
Ia juga memohon maaf kepada kedua-dua menteri tersebut atas "kesulitan dan rasa malu" yang ditimbulkan oleh artikel dan catatan Facebook itu kepada mereka.
"Kami telah menggugurkan artikel dan catatan itu dan berjanji tidak akan membuat sebarang dakwaan atau menerbitkan sebarang artikel dan/atau catatan yang mengandungi sebarang dakwaan yang mempunyai kesan yang sama atau serupa," menurut The Edge.
Mediacorp telah menghubungi The Edge, serta Encik Shanmugam dan Dr Tan, untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.