Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

EDB, Enterprise SG dapat ketua baru

Anggaran Waktu Membaca:
EDB, Enterprise SG dapat ketua baru

Encik Png Cheong Boon (kiri) dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), manakala Encik Lee Chuan Teck (Kanan) akan mengambil alih sebagai CEO Enterprise Singapore mulai 1 Mei 2023. (Gambar: PSD)

SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Isnin (27 Mac) mengumumkan beberapa perubahan pucuk kepimpinan di peringkat kementerian dan badan berkanun. 

Encik Png Cheong Boon, Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore (ESG), dilantik sebagai Pengerusi baru Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB). 

Jawatan beliau  di ESG diambil alih oleh Encik Lee Chuan Teck, yang akan melepaskan jawatannya  sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). 

Encik Png, 53 tahun,  menyertai EDB pada 1993, dan memegang pelbagai jawatan di agensi tersebut termasuk menjadi Timbalan Ketua Eksekutif SPRING Singapore dari 2003 hingga 2008 dan Ketua Eksekutif dari 2008 hingga 2013.

Beliau dilantik sebagai CEO JTC pada 2013 sebelum memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kedua MTI pada 2017 sebelum menjadi CEO ESG pada 2018. 

Encik Lee yang dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua MTI pada 2018 dan kemudian sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) MTI pada 2019, menyertai Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 1992. 

Encik Lee, 55 tahun, memegang beberapa jawatan di MAS sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Tanah dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 2014, menurut PSD. 

PELANTIKAN SETIAUSAHA TETAP

PSD turut mengumumkan, Dr Beh Swan Gin dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MTI. Beliau  adalah pengerusi EDB sejak 2014.

Dr Beh, 55 tahun, memulakan kerjayanya di EDB pada 1992 dan merupakan seorang doktor perubatan.

Dr Beh memegang beberapa jawatan di EDB, MTI dan Agensi bagi Teknologi dan Kajian Sains (A*STAR). Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan EDB pada 2008 sebelum menyandang jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Undang-Undang pada 2012. 

Encik Gabriel Lim yang kini memegang jawatan Setiausaha Tetap MTI, kini menjadi    Setiausaha Tetap (Dasar) MTI. 

Pada 2011, Encik Lim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Beliau kemudian dilantik sebagai CEO Penguasa Pembangunan Media pada 2014 sebelum menjadi Setiausaha Tetap Kedua Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan CEO Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) secara serentak pada 2016. 

Encik Lim, 47 tahun, kemudian dilantik sebagai Setiausaha Tetap MCI pada 2017 dan mengambil alih sebagai Setiausaha Tetap MTI pada 2019. 

Tiga lagi setiausaha tetap akan menerima jawatan baru, menurut PSD. 

Cik Teoh Zsin Woon, 49 tahun, akan menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Setiausaha Tetap (Pembangunan) PSD. 

Beliau menyandang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kedua MND dan Setiausaha Tetap Kedua PSD sejak 2021. 

Cik Teoh dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kesihatan (MOH) pada 2013, sebelum menjadi Timbalan Setiausaha (Transformasi) PSD pada 2018. 

Sementara itu, Cik Lim Wan Yong akan menjalankan tanggungjawab sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Pendidikan) di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). 

Cik Lim, 46 tahun, kini menyandang jawatan  Setiausaha Tetap Kedua MOE dan Setiausaha Tetap Kedua MSF. 

Encik Chng Kai Fong, yang kini memegang jawatan  Setiausaha Tetap Kedua di Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dan Setiausaha Tetap Kedua di MCI serta Setiausaha Tetap Kedua (Keselamatan Siber) di PMO, juga akan menggalas tanggungjawab baru. 

Encik Chng, 44 tahun, akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MCI, Setiausaha Tetap (Pembangunan) di SNDGG dan Setiausaha Tetap (Pembangunan) (Keselamatan Siber) di PMO. 

Encik Chng merupakan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri dari 2014 hingga 2017 sebelum menyertai EDB sebagai Pengarah Urusan EDB pada 2017. 

Semua pelantikan Setiausaha Tetap akan berkuat kuasa mulai 1 Mei.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan